Bab 6

680 49 4
                                    

BAB 6

CINCIN UNTUK SEROJA

WILDAN memandu keretanya ke arah stesen minyak Shell, tempat di mana dia terpandang wajah cantik molek yang berjaya mencuri perhatiannya itu. Dia meletakkan kereta Ferrarinya di tempat letak kereta di kawasan stesen minyak sambil matanya tidak lepas memerhati pekerja stesen minyak Shell yang menyarung uniform merah kuning itu. Hampir 30 minit dia memerhanti, dia akhirnya memutuskan untuk bertanya saja kepada pekerja stesen minyak itu. Dia memanjangkan langkah ke arah kaunter pembayaran dan menghadiahkan senyuman nipis ke arah pekerja Shell di kaunter itu.

"Err...boleh saya tanya?" Gugup sungguh diri Wildan di saat melontar soalan kepada pekerja berbangsa Nepal itu. Entah hilang ke mana keyakinan di dada. Sudah lama dia tidak segemuruh ini ketika berdepan dengan orang asing. Semuanya kerana gara-gara mencari gadis itu, dia terpaksa menelan rasa segan dan memberanikan diri mencari maklumat.

"Ya, ada apa saya boleh tolong, encik?" Lelaki berbangsa Nepal itu mengukir senyuman ikhlas sementara Wildan menarik nafas dalam, cuba menenangkan darah gemuruh yang menyerbu dirinya itu.

"Err...awak kenal siapa gadis cantik semalam, kerja di stesen minyak ni. Dia tinggi-tinggi, putih, cantik..." Dia kehilangan kata-kata untuk menerangkan ciri-ciri gadis yang dicarinya itu.

Lelaki berbaju merah kuning itu tersengih luas sehingga menampakkan sebaris gigi kuningnya sambil matanya galak memerhati raut wajah Wildan. Dia pula yang rasa malu ditenung nakal sepasang mata lelaki berbangsa Nepal itu.

"Oh, maksud encik, Seroja?" Oh, nama dia Seroja... dup dap dup dap...jantungnya mula berubah rentak. Nama itu tidak pernah terpisah daripada benak fikirannya sejak berbelas tahun dulu. Ish, takkanlah Seroja, cinta pertama dirinya dulu.

"Err...ya Seroja!" Dia menyahut dengan suara yang cukup gugup. Matanya melilau ke sekeliling, cuba menghalau rasa darah panas yang mula naik ke muka.

Rakan kerja Seroja itu masih tersengih bagai kerang busuk. Sepasang matanya masih ralit menatap raut wajah Wildan.

"Dia tengah cuti sekarang. Bapak dia masuk hospital." Mendengar cerita yang keluar dari mulut lelaki berketurunan Nepal yang fasih berbahasa melayu itu membuatkan Wildan menelan air liur kesat beberapa kali.

"Masuk hospital? Kenapa?" Tangannya naik membetulkan cermin mata yang dirasakan melorot ke batang hidungnya. Matanya tunak memandang sinar mata lelaki itu yang berubah mendung secara tiba-tiba.

"Saya tak tahu, encik. Err... encik ni kawan Seroja ka?" Lelaki itu bagaikan sedar kesilapannya bercerita tentang Seroja kepada orang asing itu.

"Err... ya...tak..." Wildan tersenyum nipis, terasa cukup kekok sekali kerana dia tidak pernah berhubung dengan gadis bernama Seroja itu.

"Haha. Sejak Seroja datang kerja sini, ramai customer tanya sama saya pasal dia. Dia ramai peminat." Lelaki muda itu melebarkan senyuman sambil tertawa kecil.

Namun, hati kecil Wildan mula rasa sesuatu perasaan aneh. Dia rasa cukup tidak selesa tatkala mendengar perihal gadis yang dicarinya itu mempunyai ramai peminat. Terasa seperti ada sejalur rasa cemburu yang menyelinap masuk dan melingkari tangkai hatinya.

"Err... terima kasih ya." Dia sekali lagi menghadiahkan senyuman nipis dan mengangkat tangan sebagai tanda terima kasihnya kerana layanan mesra pekerja Shell itu.

Hatinya cukup berbelah bagi sewaktu memasuki perut kereta Ferrari miliknya itu. Dia menggeleng kepala beberapa kali sambil tertawa geli hati. Tidak mungkin Seroja yang dicarinya itu adalah orang yang sama. Kalau betul gadis itu adalah orang yang sama, sudah pasti Wildan akan melonjak gembira. Namun, dia sedar, tidak mungkin semua itu terjadi.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now