Bab 11

700 43 6
                                    

           

BAB 11

 

SEROJA hanya menuruti langkah kaki tegap Wildan yang menapak ke arah Grand Ballroom di Sime Darby Convention Centre (SDCC) yang terletak di Bukit Kiara itu. Sampai di pintu dewan yang cukup besar dan luas itu, hampir saja mulut Seroja terlopong melihat dekorasi yang tampak cukup ekslusif dan elegan itu. Majlis istiadat perkahwinan pasangan yang hanya dikenali namanya sebagai Zara Aleeya Tan Sri Hakim dan Muhammad Zarul Datuk Zaki itu bertemakan perkahwinan ala-ala zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kebanyakan tetamu yang hadir menggayakan kebaya, songket dan batik. Hanya dia dan Wildan saja tampil sedikit berlainan kerana Wildan memakai suit biru gelap sementara dia menggayakan gaun sifon princess cut.

Sekilas matanya sempat mencuri pandang siling dewan yang dihiasi payung-payung bewarna jingga dan kuning diraja itu. Kemudian sepasang matanya tertancap ke arah pelamin diraja yang tersergam indah di atas pentas. Sekali lagi Seroja rasa amat terpegun. Agak-agaknya habis berapa ratus ribu ringgitkah untuk membiayai majlis gilang gemilang seperti ini? Segera dia menggeleng kepala tidak percaya. Betapa jauh jurang perbezaan antara golongan atasan jika dibandingkan dengan rakyat marhaen yang hanya kais pagi makan pagi itu. Kalaulah Seroja ada duit sebanyak itu, sudah tentu dia akan gunakan untuk mengubati penyakit abah dan menjamin Azran yang masih meringkuk di dalam lokap itu. Dia mengeluh lelah dengan ujian kehidupan. Entah kenapa, darah gemuruhnya semakin mencengkam dirinya. Terasa kerdil sungguh dirinya di celah-celah golongan orang kaya raya itu. Sekali lagi dia menghembus nafas resah.

Bagaikan dapat merasai kegelisahan gadis di sisinya itu, Wildan mengerling sekilas melalui ekor matanya untuk memerhati raut wajah mendung Seroja. Bibir merah jambu milik bakal isterinya itu tersimpul serta dahinya berlapis-lapis. Tanpa berfikir panjang, dia merapatkan tubuhnya cukup hampir dengan tubuh Seroja sebelum berbisik perlahan di cuping telinga gadis itu.

"Seroja, smile please...don't scowl like that..." Lambat-lambat Seroja menguntum senyum kekok, namun cukup untuk menggetarkan naluri lelaki Wildan. Lesung pipit di pipi Seroja itu amat menarik perhatiannya. 

"Jom." Dia menunjuk tangan ke arah meja yang dikhaskan untuk dirinya dan pasangannya itu. Seroja mengangguk lemah sementara Wildan mengoyak senyuman senang hati. Sebelah tangannya masih setia di belakang Seroja. Walaupun tidak bersentuh dengan belakang gadis itu tapi ini adalah sebagai tanda dia sentiasa bersedia untuk melindungi Seroja. Bimbang juga andai gadis itu terpeleot jatuh dari kasut tumit tinggi yang dipakai oleh gadis itu. Sempat lagi matanya mengerling langkah kaki Seroja. Namun, dia mengeluh hampa kerana impiannya hancur begitu saja. sepasang kaki Seroja yang memakai kasut tumit tinggi itu tenggelam disebalik gaun princess cut yang labuhnya hampir mencecah lantai itu.

Masih jelas di ingatan Wildan, muka merah Seroja kerana memberontak marah apabila dia menyuruh gadis itu memakai kaust tumit tinggi berwarna silver. Si gadis merungut marah kerana tumit tinggi empat inci itu dikatakan terlalu tinggi untuknya. Jelas Seroja tidak biasa memakainya. Namun, demi memuaskan fantasinya yang amat gemar melihat gadis menggayakan kasut tumit tinggi kerana tampak sungguh seksi dan menawan, dia sengaja berkeras dengan Seroja. Akhirnya Seroja mengalah. Namun, semua usahanya itu hanya sia-sia.

Di saat merapati meja bulat yang diduduki Izwan Fadli dan Nuzul Harissya itu, dia menyentuh lembut lengan Seroja. Seperti terkena renjatan elektrik, gadis itu menepis sentuhannya. Sepasang mata cantik Seroja mencerlung marah ke arahnya. Wildan tersengih bagai kerang busuk dan menjungkit bahu. 'Oh, garangnya Cik Seroja ni.' Getus suara hati Wildan.

"Assalamualaikum, Izwan, Isya." Wildan menepuk bahu teman rapatnya dan mengangguk kepala kepada isteri rakannya itu. Segera sapaannya itu bersahut dengan senyuman lebar pasangan bahagia itu.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now