Bab 2

851 49 3
                                    

BAB 2

CINCIN UNTUK SEROJA

Tangannya menarik bagasi keluar dari balai ketibaan di KLIA. Matanya melilau mencari kelibat pembantu peribadinya yang sudah lama tidak ketemu. Hampir dua minggu dia menghabiskan masa bersama adik kesayangannya, Warda dan adik iparnya, Jake serta dua anak saudaranya di Kota Melbourne. Jauh daripada masalah syarikat dan jauh daripada desakan datuknya yang mahu melihatnya mendirikan rumah tangga di dalam waktu yang terdekat. Dia rimas didesak datuk. Dia rimas menjadi mangsa datuk meneruskan legasi perniagaannya. Dia menarik nafas panjang, lantas dihembus keluar sambil matanya masih mencari kelibat Tariq yang selalu menemaninya sejak dia menyandang gelaran CEO di syarikat turun temurun, legasi kebanggaan Tan Sri Jalil itu.

Dia menarik telefon pintar di dalam kocek seluar jeansnya dan segera mendail nombor telefon Tariq. Rasanya pemuda itu tahu akan ketibaannya di KL pagi itu. Beberapa kali dia menunggu, talian di hujung sana masih belum bersambung. Dia mematikan talian dan meneruskan langkah ke kaunter teksi KLIA. Setelah memberitahu destinasi yang ingin dituju, dia mula menarik bagasi ke ruang menuggu. Tidak sampai sepuluh minit, badannya sudah berada di dalam perut teksi menuju ke penthouse miliknya. Dia sudah lama tidak tinggal bersama dengan datuknya kerana rimas asyik didesak supaya mendirikan rumah tangga. Dia sedar legasi keturunan datuknya terletak di pundak dirinya. Warda sudah lama memilih untuk hidup di samping suaminya di Kota Melbourne. Tiada gaya adik kesayangannya itu akan pulang kembali ke KL. Hanya dia menjadi sandaran impian datuknya untuk bermain dengan cicit sekarang. 'Hish! Kenapalah datuk tak ambil saja anak yatim sebagai cucu cicit kesayangannya?' Gerutu Wildan sedikit geram dengan keinginan datuknya itu.

Beberapa minit di dalam perut teksi, terasa telefonnya bergetar hebat minta diangkat. Dia merenung skrin telefon pintarnya sebelum mengeluh kasar. Ditekan butang okay dan segera dia melampiaskan rasa marah yang terkumpul di hatinya.

"Hmm...Tariq! kau kat mana? Kenapa aku call kau tak angkat?" Bertalu-talu soalan ditujukan kepada Tariq, pembantu peribadinya yang sepatutnya menjemputnya di balai ketibaan sebentar tadi.

"Sorry, Boss! Tadi saya kat basement parking. Tak sempat sampai on time. Bangun lambat." Tutur Tariq di hujung talian, cuba memberi penjelasan atas kelewatannya itu. maklumlah hari Ahad, dia terlewat bangun akibat keluar lepak malam semalam.

"Huh! I hate people who are late!" Wildan merungut kasar. Bebola matanya dilemparkan keluar tingkap, memerhati bangunan tinggi yang berceracak di kiri kanannya itu.

"So sorry, Boss! Sekarang Boss kat mana?" Soalan Tariq membuatkan Wildan sekali lagi mengeluh kasar. Sedikit rimas dan panas terasa tubuh badannya yang masih disaluti jaket tebal itu.

"Dalam teksi." Dia menjawab ringkas seraya memutuskan talian telefon. Dia sedar, sudah pasti Tariq akan serba salah dan takut dengan tindakannya itu. Namun, dia malas hendak melayan kekhilafan pembantunya itu. Sepatutnya Tariq sedar akibat jika mencari pasal dengan Wildan. Dia tidak akan teragak-agak memecat sesiapa saja yang dirasakan kurang cekap dalam menjalankan tugas mereka.

Sampai di penthouse, dia segera menapak ke bilik tidurnya yang dirasakan sudah lama tidak dihuninya itu. Segera tangannya menarik kasar jaket kulit hitam yang tersarung di badannya itu. Selepas itu, dia melangkah ke dalam bilik air untuk membersihkan diri di bawah pancuran air paip. Lama dia menyendiri, cuba memikirkan jalan keluar daripada masalah utama hidupnya itu. Desakan dan ugutan datuknya semakin menjadi realiti. Dia tidak ingin mengikut telunjuk datuknya dan menerima sesiapa saja calon isteri yang dicari oleh datuknya itu. Huh! Jiwa Wildan begitu rimas diberi tekanan sebegitu rupa. Jujur dia masih belum bersedia untuk berumah tangga. Jiwa lelakinya masih belum bertemu dengan gadis pilihan hatinya.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now