BAB 23

222 37 4
                                    

BAB 23

CINCIN UNTUK SEROJA

Tangan Seroja terhenti tatkala telinganya dapat menangkap bunyi pintu rumah dibuka dan tertutup. Dahinya berkerut sedikit kerana menyangka ibu dan abah sudah pulang ke rumah pada waktu itu. 'Eh, cepat pulak ibu dan abah balik rumah? Tadi katanya nak melawat kawan abah di Taman Medan?' Segera Seroja memanjangkan leher menjenguk dari balik pintu dapur, namun tidak ternampak kelibat ibu dan juga abah. Lantas dia meninggalkan kain-kain lembap yang sedang dikeluarkannya dari mesin basuh itu.

Dia memanjangkan langkah bergerak ke ruang tamu sebelum berselisih bahu dengan Iris. Semakin dahinya berkerut seribu melihat muka masam mencuka milik Iris yang bergerak laju ke arah bilik tidurnya itu. Memang sedari dulu dia berkongsi bilik dengan Iris memandang rumah flat yang disewanya itu hanya mempunyai tiga bilik saja. Bilik utama untuk ibu dan abah, sementara bilik tengah untuk Orked, Hazeem dan si anak kecil, Darwisy yang sudah berumur 2 tahun lebih itu. Azran terpaksa berkelana tidur di ruang tamu kalau dia pulang ke rumah. Memang terpaksa berhimpit dan bersesak kerana kekangan hidup mereka.

Seroja merenung tajam melihat aksi selamba si Iris yang cukup sombong tidak ingin bertegur sapa dengan dirinya itu. Segera dia membontoti langkah kaki Iris dengan hati yang semakin terbakar.

"Iris, kenapa dah lama sangat kau tak balik rumah? Kenapa waktu akak telefon kau tiga minggu lepas kau tak angkat? Kau tahu tak abah masuk hospital kena heart attack?" Bertubi-tubi Seroja menyerbu Iris dengan soalan mautnya itu. Dia mencerlung geram melihat Iris menolak daun pintu bilik dengan agak kasar sekali.

"Tahu akak. Aku baca whatsapp akak tu. Aku tak ada masa nak balik jenguk abah saja." Tanpa memalingkan wajahnya, si Iris menjawab geram dengan pelbagai soalan maut yang keluar dari mulut kakak sulungnya itu. Dia mendengus marah sebelum menhenyak punggung ke atas katil usang yang sudah berkeriut bunyinya itu. Tilam nipis yang menjadi alas tidur si kakak sudah terlalu nipis dan usang untuk dijadikan alas tidur. Namun, si kakak masih setia menggunakannya. Huh! Memang si kakak tu terlalu berjimat cermat! Tangannya menghempap beg tangan di tepi bucu katil. Dia memejam mata rapat cuba mencari ketenangan di dalam diri. Namun, dia yakin ketenangan yang dicari tidak akan ditemuinya di rumah buruk yang disewa keluarga mereka itu. Rasa menyesal mula menjalar hebat ke dasar hatinya. Lantas sekali lagi dia menghela nafas kasar.

"Hei, Iris. Kau tak sayang kat abah ke? Kenapa kau tak datang jenguk abah kat hospital?" Bingit suara Seroja mencari jawapan daripada si adik yang masih berlagak selamba bagaikan tidak pernah membuat salah saja lagaknya itu. Hati Seroja sudah membara hebat. Kalau diikutkan hatinya yang sedang panas itu, mahu saja dia tunjal dahi si adik. Biar Iris tahu dia memang sakit hati dan marah dengan perangai Iris sejak kebelakangan ini.

"Kan aku dah balik ni!" Iris mendengus marah dan akhirnya mengangkat wajahnya berlawan pandang dengan Seroja yang sedari tadi bagaikan memancar api laser dari sinar matanya. Huh! Macamlah Iris takut. Dia mencebikkan bibir bagaikan mengejek aksi Seroja yang sudah bercekak pinggang itu.

Sementara kesabaran Seroja semakin menipis melihat reaksi yang dipamerkan oleh Iris. Rasa marah, geram dan sakit hati semakin kuat bergaul hebat di dadanya di saat berdepan dengan perangai kurang prihatin adiknya itu. Puas dia menelefon dan menghantar mesej dan pesanan ringkas untuk memujuk dan merayu agar Iris pulang melawat abah, namun batang hidung adiknya itu tidak pernah kelihatan. Kenapa sekarang baru berani tunjuk muka? Seroja mengetap bibir geram sambil hidungnya sudah kembang kempis menahan marah. Sepasang matanya tidak lepas merenung tajam muka Iris yang kelihatan agak kebiru-biruan itu. Segera mindanya mula berfungsi di luar kawalan. Imaginasinya mula meliar membayangkan perkara yang bukan-bukan. Apakah yang terjadi kepada Iris? Rasa marah yang membuak-buak sebentar tadi mula berganti dengan rasa risau dan bimbang.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now