Bab 37

173 32 10
                                    

           

BAB 37

 

WIldan berbaring santai di ruang tamu sambil matanya ralit menonton rancangan kegemarannya di kaca TV. Kedengaran telefonnya yang tersadai sepi di atas meja kecil itu mula berdering nyaring minta diangkat. Dengan malas-malas, dia bingkas bangun sebelum mencapai telefon. Senyumannya melebar tatkala melihat nama Rania yang tertera di skrin telefon.

            "Rania, kenapa call?" Dia kembali menyandarkan belakangnya ke sofa sambil matanya kembali ditala ke arah kaca TV.

            "Abang Wil. Please open the door. Rania kat depan penthouse Abang Wil ni." Kedengaran sedikit kalut suara Rania di hujung talian sehingga membuatkan dia mula mengerutkan dahi mendengar permintaan luar biasa si Rania itu. Seingatnya, dia tidak pernah memberitahu Rania sejak bila dia berpindah ke penthouse. Memang sengaja dirahsiakan kerana tidak mahu si Rania mengganggu privasinya. Sedari dulu, hobi Rania ialah menempel dengan dirinya. Mujurlah Rania didesak Mak Su supaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Barulah dia boleh menarik nafas lega. Manakan tidak, dirasakan si Rania itu terlalu manja dengan dirinya. Kekadang dia sendiri naik rimas melayan keletah Rania itu.

            "Err... Rania datang dengan siapa?" Sedikit cuak, dia kembali bertanya. Mungkin saja Rania datang dengan Mak Su.

            "Please Abang Wil, I've big problem. But first of all, boleh bukakan pintu?" mendayu-dayu suara si anak gadis menggamit simpatinya. 

            "Uh. Okay. Kejap." Wildan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sebelum melangkah longlai ke arah pintu utama.

            Daun pintu dibuka luas sebelum membenarkan Rania masuk ke dalam rumahnya.

Rania melangkah masuk dengan muka yang mendung bagaikan ditimpa masalah besar. Tiada senyuman ceria si gadis remaja. Dia turut mengeluh resah. Sudah pasti ada masalah peribadi yang ingin dikongsi sepupunya itu.

            "Kenapa Rania datang sini? Ada hal penting ke?" Dia menyaingi langkah kaki Rania yang sedang menapak ke arah sofa panjang tempat dia berbaring santai sebentar tadi.

            "Ya. Rania nak tanya pendapat Abang Wil." Rania menghela nafas berat sebelum berpaling ke arahnya. Kelihatan berkaca-kaca mata si anak remaja di depannya itu. Wildan mula naik hairan melihat aksi luar biasa si gadis yang selalunya ceria berceloteh manja dengannya. Sudah pasti ada yang tidak kena.

            "Pasal apa?" Keningnya terangkat sedikit, mula berminat untuk mengambil tahu apakah yang memberat di benak Rania itu. Manalah tahu jika dia dapat membantu atau sekurang-kurangnya memberi nasihat. Dia sudah kembali melabuhkan punggung di sofa.

            "Pasal cinta. Err...Tapi sebelum tu Rania dahaga." Rania masih berdiri sambil tangannya naik mengurut tengkuk. Kelihatan ada peluh kecil meniti di dahi gadis itu.

            Tanpa menunggu jawapan Wildan, Rania bergerak ke bahagian dapur. Wildan hanya membiarkan aksi Rania yang berlagak selamba itu. Matanya kembali fokus ke arah skrin TV yang menyiarkan rancangan dokumentari tentang migrasi burung itu. Sudah lama dia tidak melayan dokumentari dek kerana jadual hidupnya yang terlalu ketat itu. Namun, dua hari sebelum majlis pernikahannya, dia mengambil cuti kahwin selama seminggu. Jadi adalah masa terluang untuk berehat seketika.

            Sementara itu, mata Rania melingas memantau keadaan sekeliling. Setelah pasti Abang Wil tidak mengekori langkahnya ke dapur, barulah dia melajukan langkah membuka pintu peti sejuk. Sekali lagi dia memanjangkan leher mengawasi persekitarannya itu. Dengan debaran hebat di ruang dada, dia menelan air liur kelat sebelum mencapai kotak perahan jus oren berjenama twister itu. Dalam nafas yang tertahan-tahan, dia membuka kotak jus sebelum sekali lagi dipanjangkan leher meninjau ke ruang tamu. Bimbang andai aksinya itu diketahui oleh Abang Wil.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now