BAB 26

250 36 11
                                    

BAB 26

CINCIN UNTUK SEROJA

 

"ADA kerja kosong untuk saya?" Dia mengulang kembali berita yang disampaikan oleh Solihin di hujung talian. Dahinya mula berkerut, berlapis seribu. Dia rasa semakin serba salah. Tanpa sedar, dia menghela nafas berat. Kalaulah tawaran kerja itu menjelma sebelum dia menerima usul gila si Wildan, sudah pasti dialah orang pertama yang akan melompat gembira. Namun, semuanya sudah tiada makna. Dia tidak akan mampu merungkai perjanjian sulit dengan Wildan.

            "Kenapa awak macam tak gembira saja Seroja?" Suara garau Solihin menerjah pendengaran si gadis. Sekali lagi Seroja menghela nafas resah. Dia menggigit bibir bawah. Semakin serba salah.

            "Err... saya mintak maaf banyak-banyak, Solihin. Saya sebenarnya dah dapat kerja kat JK Holdings." Seroja bersuara lemah. Terpaksa memberitahu perkara sebenar. Kalau ikutkan rasa hatinya, mahu saja dia menamatkan perjanjian gila dengan Wildan dan menerima tawaran Solihin. Dapat digambarkan hidupnya akan lebih mudah jika bekerja bersama Solihin berbanding Wildan.

            "Oh! Bila awak dapat tawaran kerja kat JK?" Kini suara Solihin pula yang mula bersalut resah.

Si gadis memicit kepala beberapa kali. Dia menghenyak punggung di atas tilam nipis di dalam bilik tidurnya itu dengan sedikit kekecewaan di dada. Sungguh berselirat kisah hidupnya.

             "Tiga hari lepas. Saya memang kalau boleh nak sangat kerja dengan awak, Solihin. Senang sikit hidup saya." Seroja meluahkan isi hatinya yang tersirat penuh makna itu. Ingin saja dia memberitahu duduk pangkal hal sebenar kemelut dirinya itu. Namun itu adalah suatu perkara yang mustahil. Malah Orked, si adik yang cukup akrab dengan dirinya itu tidak tahu menahu tentang perjanjian sulit yang dipersetujui bersama Wildan. Inikan pula dia ingin berkongsi dengan Solihin? Harusnya dia menelan rasa sebal ini kerana ini adalah keputusannya sendiri.

            "It's okay, Seroja. Bukan senang nak dapat kerja kat syarikat besar macam JK Holdings tu. Awak kena ambil peluang ni untuk timba pengalaman." Rakannya itu memberi sokongan.

Seroja melarik senyuman nipis. Kalaulah si Solihin itu tahu apa yang terjadi sebenarnya. Dia sedar dia mendapat kerja di JK Holdings hanya kerana perjanjian gila itu. kalau tidak, mungkin resume kerjanya hanya layak disimpan di fail KIV saja.

            "Saya mintak maaf sekali lagi ya sebab terpaksa tolak tawaran kerja awak ni." Dia meminta maaf kerana terpaksa menolak bantuan ikhlas rakannya itu.

            "Tak apa. Nanti saya cakap kat kawan saya tu. Don't worries ya." Seroja menarik nafas lega mendengar bicara Solihin yang bagaikan memahami keresahan di hatinya itu.

            "Tapi saya serba salah sangat ni. Sudahlah awak tolong rekomenkan saya kat kawan awak tu. Sekarang saya terpaksa tolak pulak." Si gadis masih belum memadamkan rasa serba salah yang bermukim di dalam dirinya.

            "Tak apa. Rezeki tu bukan kita yang rancang. Allah yang tentukan Seroja." Lembut suara Solihin memujuk membuatkan hatinya sedikit tenang. Ya rezeki, ajal dan maut itu ketentuan tuhan.

            "Tahu." Sahut si gadis lemah.

            "Good! Memang kita kena selalu bersyukur. Lagipun, saya memang ikhlas nak tolong awak. Tapi kalau awak dah dapat kerja dulu, saya nak buat macam mana? Memang bukan salah awak. Jangan risau ya." Si rakan di hujung talian masih berusaha memberi sokongan. Entah mengapa, Seroja rasa tersentuh dengan kebaikan Solihin itu.

            "Betul, awak tak marahkan saya?" Dia masih mencari kepastian. Tidak mahu rakannya itu salah sangka kerana dia terpaksa menolak tawaran itu.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now