BAB 27

244 36 13
                                    

BAB 27

CINCIN UNTUK SEROJA

USAI menunaikan solat maghrib di surau Suria KLCC, pasangan itu akhirnya menapak ke dalam lif menuju aras 39. Keluar dari pintu lif, Seroja hanya menuruti langkah kaki si tunang yang melangkah gagah ke arah restoren mewah The 39 Restaurant. Mukanya masih masam mencuka gara-gara gagal menang debat dengan si jejaka. Puas dia mengajak Wildan untuk makan malam di kedai mamak atau restoren biasa kerana risau dia tidak mampu untuk membayar harga juadah yang pastinya amat mahal di restoren mewah yang ditempah Wildan itu.

Namun, usahanya itu hanya sia-sia. Akhirnya dia terpaksa mengalah dan menurut saja kehendak lelaki itu. Dia bukannya keras kepala. Sebaliknya, dia hanya ingin menunaikan permintaan si jejaka agar dia belanja lelaki itu sekali sekala. Itupun kerana dia rasa bersalah tidak dapat menemani Wildan untuk makan tengah hari siang tadi. Sebab itulah juga dia begtu bersungguh-sungguh untuk belanja makan si CEO kaya itu. Akhirya lelaki itu meminta agar dia menyediakan lunch box untuk makan bersama esok hari.

Huh! Ada saja idea gila Wildan untuk mengenakan Seroja! Marah betul si gadis dengan aturan Wildan. Seingatnya jarang benar lelaki itu mengalah dengan dirinya. Huh! Seroja sakit hati. Selebihnya Seroja geram dengan diri sendiri kerana gagal berdebat dengan pemuda itu.

Dia mengerling sekilas ke arah si lelaki yang berdiam diri sedari tadi. Adakah Wildan terasa hati? Dia menggigit bibir bawah. Segalur arus penyesalan mula singgah di dalam diri. Kekok sungguh rasanya berada di sisi Wildan. Lelaki itu masih berlagak selamba. Namun, Seroja tahu si jejaka masih marahkan dirinya. Mungkin kerana dia selalu berdegil dan bertekak dengan apa saja kata-kata yang meluncur keluar daripada mulut lelaki itu.

Seroja sendiri kurang pasti kenapakah dia selalu saja gagal mengawal emosi di depan Wildan. Lelaki itu sering saja menyentuh hatinya yang paling dalam. Cukup dengan renungan pemuda itu saja, jantung hati miliknya akan melantun melompat tak ingat dunia. Cukup dengan larikan senyuman di dua ulas bibir si jejaka, nafasnya singkat bagai diserang asma. Cukup dengan suara rendah si teruna, jiwanya hampir terpegun dan terpesona. Benteng hatinya yang dibina teguh hampir saja roboh dipalu oleh kehadiran lelaki berkarisma itu. Jadi salahkah dirinya mencari onar dalam setiap tindakan si pemuda? Jadi salahkah dia memberontak, defensif demi melindungi sekeping hatinya sendiri?

Sungguh dia tidak ingin jatuh ke lembah cinta. Dia tidak ingin melangkah ke alam rindu yang sudah pasti bakal melapah-lapah sekeping hatinya. Dia tidak ingin menanam kasih di tempat yang salah lagi. Jadi salahkah dia andai dia nekad membenteng hatinya?

Dalam kalut perasaan membela tindakan sendiri, mereka dibawa ke satu sudut restoren yang sedikit jauh dari orang ramai. Dalam kalut dia mencari justifikasi bagi menyangga akal fikiran sendiri, pandangannya disajikan dengan keindahan langit malam yang membaluti bandaraya Kuala Lumpur. Sesaat dua dia terpegun dengan pemandangan yang amat mempesonakan matanya itu. Manakan tidak, inilah kali pertama dia berada setinggi ini. Simbahan cahaya lampu neon serta bangunan tampak kecil di pandangannya saat ini. Ditambah pula dengan kerlipan bintang di dada langit serta puputan bayu yang lembut menyentuh pipinya, perasaanya terbuai lama. Tenggelam dalam akal fikirnya sendiri sehinggalah si pemuda menegur agar dia memilih menu di depan mata.

Lama juga dia termenung menatap menu, gagal membuat pilihan sehinggalah sekali lagi si jejaka membuat keputusan sendiri. Dia sekali lagi menebar pandangan ke dada langit yang amat mendamaikan jiwa itu. Segaris senyuman mula terbit di bibirnya. Tangan kanannya naik menopang dagu. Menghayati keindahan alam ciptaan tuhan.

Sementara si jejaka menjadi terlalu asyik memerhati aksi si gadis di depan mata. Hatinya tertarik untuk mengabadikan memori di saat si gadis ralit, tenggelam dalam dunianya sendiri. Perlahan-lahan tangannya mencapai iPhone miliknya dan mula mengambil beberapa foto jarak dekat, merakam detik indah di saat si gadis menikmati keindahan alam ciptaan tuhan. Syukur juga dipanjat ke hadrat Ilahi kerana suasana romantik yang diingini akhirnya berjaya membuai perasaan Seroja. Tunangnya itu sering saja resah dan gelisah sepanjang masa sewaktu berada di depannya. Atau si gadis akan cuba bertengkar atau bertikam lidah mencari silapnya setiap masa.

Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)Where stories live. Discover now