BAB 22
CINCIN UNTUK SEROJA
DISAAT si gadis membuka kelopak mata, kelihatan ibu dan abah sedang duduk di kerusi menemani dirinya. Dia mengukir senyuman nipis sebelum menggerakkan badan untuk bersandar di kepala katil. Kelihatan drip air masih lagi mengalir laju memasuki tubuhnya.
"Seroja rasa macam mana sekarang? Sakit kepala lagi ke?" Cik Kuntum melontar soalan setelah dia mendapati anak sulungnya itu sudah mula menyandar badan di kepala katil.
"Hmm.. dah rasa okay sikit bu." Serak basah suara Seroja menjawab lemah soalan ibunya.
"Baguslah tu. Doktor cakap demam kamu dah kebah. Lepas habis air drip tu, nanti dah boleh balik rumah." Cik Kuntum bersuara ceria sambil sebelah tangannya naik menepuk peha Seroja.
"Okay. Ibu dan abah datang dengan siapa tadi?" Seroja berbasa basi. Sementara matanya mula melilau mencari kelibat susuk tubuh seseorang.
"Oh, Pak Tahir, pemandu Wildan yang datang jemput." Sahut Cik Kuntum sambil tersengih senang hati.
"Err... Wildan pergi mana bu?" Akhirnya tidak betah berbolak balik di dalam hati, si gadis memberanikan diri bertanyakan perihal si jejaka yang setia menemaninya malam tadi. dirasakan pipinya sudah berona merah tatkala teringat layanan mesra Wildan semalam. Sungguh dia tidak menyangka, tunangnya yang kelihatan agak garang dan dingin itu sebenarnya ada juga sisi baik dan prihatinnya. Masih jelas terpahat di ingatan sewaktu jemari panjang si Wildan memicit kepalanya semalam. Sekali lagi dia tertunduk malu sendiri dengan kelemahan hatinya.
"Si Wildan tu pergi pejabat, katanya ada urusan penting." Cik Kuntum menjawab selamba sambil sepasang matanya bagaikan dapat menangkap riak malu dan segan yang terpamer di raut wajah anaknya itu. Dia mengerling sekilas ke arah si suami sebelum mengangkat kening bertanya melalui sinar matanya.
"Oh..." Seroja masih menundukkan kepalanya sambil merenung jemari yang berada di atas ribanya itu. Ada rasa kecewa yang mula menyelinap masuk ke kamar hatinya. Si anak dara semakin tidak memahami perasaan dirinya sendiri. Kenapa sejak dua menjak ini fikirannya selalu berpusat ke arah pemuda itu? Sepertinya benak fikirannya tidak dapat berhenti berfikir tentang lelaki itu. Sesungguhnya siapakah pemuda itu sebenarnya masih lagi menjadi tanda misteri untuk dirinya. Dia perlukan masa untuk menyelongkar segenap ceruk hati lelaki itu sebelum membuka pintu hatinya. Ish... Seroja ingin membuka pintu hatinya untuk Wildan? Segera dia mengingatkan dirinya bahawa dia hanyalah bakal isteri upahan kepada Wildan. Lelaki itu tidak inginkan dirinya sebagai isteri yang sebenar. Lantas ada rasa sedih dan terkilan yang mula menghimpit sekeping hatinya. Dia mengebam bibir cuba menahan resah di hati. Kenapakah dia mula merasai sesuatu yang sepatutnya tidak hadir di dalam sekeping hati kecilnya? Dia semakin keliru dengan perasaan sendiri.
"Kenapa tunduk sedih pulak ni Seroja? Takkanlah si Wildan tu tinggal sekejap saja kamu dah mula rindu?" Kedengaran cukup nakal suara si ibu menyakat anak gadisnya yang tertunduk sedih memandang jari jemari sedari tadi.
"Err...mana ada ibu." Bagaikan tersedar dari lamunan yang panjang, si gadis mula bersuara gugup cuba menutup keresahan di hati.
"Ish ibu kamu ni... pagi-pagi buta dah menyakat si Seroja tu. Sabar-sabarlah sikit..." Tegur Saleem dengan suara yang agak mendatar. Dia tidak mahu anaknya itu mati segan hidup tak mahu saja kerana disakat oleh isterinya. Maklumlah si Kuntum ni pantang ada modal, mulalah mulutnya akan berceloteh, menyakat ataupun membebel si anak gadisnya itu.
Cik Kuntum mencerlung geram ke arah suaminya yang masih mempamerkan muka kosong tiada riak saja gayanya. Hilang sudah modalnya untuk menyakat Seroja sebentar tadi. Dia kembali memandang raut wajah Seroja yang kelihatan agak sedih itu.
YOU ARE READING
Cincin Untuk Seroja (READY STOCK)
RomanceSinopsis "Blurb" Cincin Untuk Seroja Wildan, CEO JK Holdings diberi kata dua. Berkahwin atau pun harta pusakanya diwariskan ke badan amal. Terdesak. Dia ingin menyunting Seroja, gadis penjual nasi lemak yang viral di media sosial itu. Sangkanya, sam...