Ayuni berhenti seketika di depan pagar sekolah. Dia menguatkan lagi azamnya untuk bersua muka dengan Ben pada hari ini. Dia pasti dia akan dapat lakukan. Setelah itu, dia terus membuka langkah.
Pada hari ini dia tidak boleh melalui ikut laluan kebiasaannya untuk ke kelas. Dia perlu melalui tangga di sebelah bilik guru. Bimbang dia kalau-kalau Janna, Chacha dan Bella menunggunya di tangga itu. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia mesti menukar laluan. Biar jauh asalkan tidak dibuli.
Tiba di dalam kelas, seperti pagi-pagi sebelumnya Ben pasti sudah sampai bersama-sama dua orang teman rapatnya, Fattah Aman dan Haqiem Ruslan. Nampaknya Janna dan gengnya tidak ada di dalam kelas. Ayuni tidak tahu di mana mereka dan dia tidak ingin ambil tahu pun.
Melihat sahaja wajah tampan Ben, terus Ayuni berasa gementar. Dia berasa sangat takut untuk berdepan dengan Ben. Bagaimana kalau dia hanya bertepuk sebelah tangan? Apakah reaksi Ben nanti? Macam mana pula kalau ada orang tahu tindakannya itu? Sejuta persoalan hadir di benaknya yang sedikit sebanyak menggugat tekadnya.
"Waktu rehat nantilah aku jumpa dia." Ayuni berkata perlahan kepada dirinya sendiri.
"Woi, kau gila ke cakap sorang-sorang ni?"
Terhinjut bahu Ayuni apabila disergah begitu. Janna berdiri di belakangnya sambil bercekak pinggang. Ayuni terus menggelabah dan dia segera menggelengkan kepalanya. Beberapa orang pelajar di kelas itu memandang ke arah mereka.
"Dah tu? Eh, kau ingat muka kau cantik sangat? Kau ingat kau model yang duk halang muka pintu ni?!" soal Bella dengan mengherdik.
Baru Ayuni perasan yang dia masih lagi berdiri di muka pintu. Dia terus membuka langkah ke arah mejanya. Ada beberapa orang pelajar yang ketawa ke arahnya. Rasa malu yang tidak tertahan kini dia rasai. Perbuatan pembuli itu semakin menggugah keberanian yang Ayuni kumpul untuk meluahkan perasaan kepada Ben.
Ayuni menggenggam kedua-dua tangannya. Dia tidak boleh berhenti. Dia tidak boleh mengalah sebelum berjuang. Dia mesti berterus-terang dengan Ben. Apa nak jadi pun jadilah. Belum cuba belum tahu.
•••••
Ayuni masih lagi berada di kantin sedangkan pelajar yang lain sudah sedikit demi sedikit beredar. Dia mengerling jam tangan hadiah hari lahirnya yang diberikan ayah tirinya pada tahun lepas. Masa yang tinggal lebih kurang sepuluh minit sahaja lagi sebelum waktu rehat berakhir.
Pada waktu ini Ayuni pasti bahawa Ben sudah berada di dalam kelas. Dan kemungkinan yang lain ialah Janna dan gengnya juga mungkin sudah berada di dalam kelas. Namun, Ayuni tidak mahu memikirkan tentang tiga orang gadis itu. Ayuni terus bangkit dan menuju ke kelasnya.
Apabila Ayuni hampir tiba di kelas, langkahnya menjadi perlahan apabila kelihatan Janna, Bella dan Chacha sedang melepak di muka pintu. Mengalahkan pelajar lelaki. Ayuni menggenggam erat beg kertas yang dipegangnya. Dengan sisa keberanian yang ada, Ayuni meneruskan langkah.
"Eh, apa kau bawak tu?" soal Chacha apabila Ayuni tiba di muka pintu.
Ayuni tidak bersuara melainkan menggelengkan kepalanya sahaja.
"Bak sini aku nak tengok!" Janna ingin merampas beg kertas yang dipegang Ayuni tapi cepat-cepat Ayuni larikan.
Ayuni ingin segera masuk ke dalam kelas apabila kelibat Ben yang melepak di tepi dinding arah sana kelihatan. Sebaik sahaja dia melangkah muka pintu, kaki kirinya dihadang oleh Bella.
Debukkk..!
Ayuni jatuh tersembam ke hadapan. Beg kertasnya terlucut dari tangan. Rasa sakit serta-merta menjalar di lututnya. Dia mula ingin menangis. Tidak menghiraukan rasa sakit itu, Ayuni cepat-cepat mengambil beg kertasnya yang terletak beberapa inci di hadapannya.
YOU ARE READING
Awak Ada Saya!
FantasyAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...