Ian berjalan dengan yakin menuju ke tengah gelanggang. Kini dia sudah berdiri setentang dengan Hadric dalam jarak lima meter. Wajah Hadric penuh dengan aura sinis dan angkuh. Melihatkan reaksi itu membuatkan Ian semakin bersemangat. Sanctus yang digantung di pinggang dipegang erat.
"Heh, kenapa? Takut?" Hadric tersengih jengkel.
Ian tidak menjawab. Sebaliknya wajah Hadric direnung tajam.
"Bersedialah untuk kalah, Ian Nova." Perkataan Nova itu sengaja dia tekankan.
"Baiklah, sudah bersedia?!" soal pengacara dengan penuh bersemangat dan disambut dengan sorakan para pelajar.
Ian mengemaskan kuda-kudanya sementara Hadric dilihat begitu bersahaja berdiri sambil berpeluk tubuh. Nampaknya pelajar senior itu begitu yakin bahawa dia dapat menguasai perlawanan ini.
"Tiga... dua... mula!!!"
Ian tidak tahu apa yang perlu dibuat. Adakah dia perlu meluru terus ke arah Hadric untuk menyerang menggunakan kekuatan fizikal? Hadric pula mengeluarkan gelung corak sihirnya. Dia menggerakkan tangannya dalam beberapa gerakan. Renik peluh mula keluar di dahi Ian. Dia terfikir-fikir apakah yang bakal dilakukan oleh lawannya itu.
Booommm!!!
Satu letupan yang kuat telah berlaku di tempat duduk penonton. Ian kaget. Sorakan para pelajar mula bertukar menjadi jeritan. Keadaan mula menjadi kucar-kacir. Asap hitam yang begitu tebal keluar berkepul-kepul di tempat letupan.
"Ada yang menyerang akademi ke?" soal Ian cemas.
Bokk!!
Satu tumbukan padu tepat mendarat di pipi Ian menyebabkan lelaki itu melayang ke belakang. Hadric tersenyum jengkel.
"Abaikan apa yang berlaku kat luar!! Sekarang ni kau sedang lawan aku!!" Hadric bersuara kuat melawan kekecohan di tempat duduk penonton.
Ian bangkit dengan pantas. Nampaknya dia memang perlu menyerang Hadric menggunakan tenaga fizikalnya. Buku lima digenggam kuat. Ian lalu meluru ke arah Hadric dan melayang satu tumbukan ke wajah Hadric namun tumbukan itu ditepis laju. Ian melompat ke udara dan menyasarkan kepala Hadric untuk diserang.
Booommm!!!
Sekali lagi letupan yang sangat kuat berlaku di tempat duduk penonton. Keadaan sangat kacau-bilau. Tumpuan Ian teralih kerana letupan itu berlaku di tempat rakan-rakannya. Ayuni!
Dusshh!!
Satu tendangan yang padu melekat kuat di perut Ian. Dia tercampak jauh ke belakang.
"Hahahaha... ini ke anak pahlawan lagenda?! Ha? Macam ni ke?!"
"Ah, lantaklah! Sekarang ni aku kena tengok kawan-kawan aku!" jerit Ian lantang.
"Apa?! Heh, sekarang ni kau tengah lawan aku!!" bentak Hadric.
"Ian!! Tolong saya!!"
Ian terkejut. "Ayuni!"
Ian ingin segera berlari naik ke tempat duduk Ayuni yang sekarang begitu kacau-bilau dan dipenuhi dengan asap hitam yang tebal. Namun, satu sepakan singgah di perutnya menyebabkan dia tercampak kembali ke belakang. Hidung dan mulut Ian kini sudah berdarah sedikit.
"Kau nak ketepikan aku untuk kawan kau yang tak guna tu?!" soal Hadric berang.
Ian tidak menjawab. Tubuhnya berasa sangat sakit sekarang. Dia mengerang sambil berusaha untuk bangun.
Hadric mengetap gigi kemarahan. "Baik, kau nak sangat kan?" Hadric kemudian melompat naik ke tempat Ayuni.
Ian melihat tindakan Hadric itu dengan cemas. Dia mengerahkan seluruh tenaganya untuk bangun. Kemudian, Hadric kembali ke gelanggang dengan memikul Ayuni yang meronta-ronta di atas bahu.
YOU ARE READING
Awak Ada Saya!
FantasyAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...