Chapt. 13

155 28 10
                                        

"Ian... hati-hati," ujar Ayuni perlahan.

Ian sekadar mengangguk dan terus berjalan turun menuju ke tengah gelanggang. Jantungnya bergetar hebat seperti ingin melompat keluar. Tetapi, digagahkan jua kakinya untuk melangkah.

Di seberang sana pula berjalan seorang remaja lelaki dengan langkah yang berani serta berwajah beku. Dengan melihat penampilannya sahaja sudah cukup menambah debaran Ian. Tetapi, lawannya itu agak unik. Rambutnya di sebelah kanan berwarna merah sementara rambutnya sebelah kiri pula berwarna biru. Tubuh lelaki itu seperti terbahagi kepada dua bahagian.

Ian berdiri menghadap lawannya itu dalam jarak tiga meter. Pengadil berdiri di tengah-tengah bersedia untuk memulakan perlawanan. Wajah lelaki berambut campuran itu beku sahaja seperti tidak berperasaan. Ian pula sudah semestinya jelas terpancar kegusaran. Ian memasang kuda-kuda.

"Tiga... dua... mula!"

Lawan Ian itu terus mengeluarkan gelung coraknya. Dan sebagaimana rambutnya, gelung coraknya juga berwarna merah di sebelah kanan dan biru di sebelah kiri. Ian berundur ke belakang sedikit. Lelaki itu tidak terus menyerang Ian apabila dilihat Ian tidak mengeluarkan gelung sihir. Namun begitu, Ian tetap berjaga-jaga.

Setelah beberapa ketika, lelaki itu mula menyerang. Bosan barangkali menunggu Ian bertindak. Dia menggerakkan tangan kanannya lalu Ian dapat rasakan tubuhnya dikelilingi oleh hawa yang panas. Ian menyangka lelaki itu akan menyerangnya dengan api. Tetapi, jangkaan Ian nyata meleset apabila tiba-tiba sahaja muncul ceracak ais di udara sekelilingnya. Mujur sahaja dia sempat membuat lompatan ke belakang dengan pantas.

Lelaki itu mendecit. Tiba-tiba sahaja dia menjadi sakit hati kepada Ian. "Kau sengaja kan nak memperlekehkan aku dengan tak gunakan sihir kau?"

"Tak, mana ada..." Tidak sempat Ian memberitahu perkara sebenar, tiba-tiba sahaja muncul api betul-betul di hadapan mukanya. Ian terus mengelak ke sisi.

"Kau jangan fikir kau mampu kalahkan aku tanpa guna sihir kau!" Lelaki itu masih marah.

Ian kini bertekad untuk berterus-terang sahaja dengan lawannya itu. Tiada guna kalau dia terus-terus bertarung yang jelas sekali berat sebelah. Tetapi, tiada langsung peluang untuk Ian membuka mulut. Lawannya itu betul-betul menyangka dirinya memperkecilkan kemampuan lelaki itu.

Sebaik sahaja Ian mengelak daripada satu serangan ais, tiba-tiba muncul lingkaran api di sekeliling tubuhnya yang menghalang pergerakannya. Dengan tidak semena-mena api itu bertukar pula menjadi ais yang tajam dan tepat menghunus tubuh Ian. Kini pergerakan Ian terkunci. Lawannya itu mendekati Ian.

"Masih lagi tak nak gunakan sihir kau, hurm?" soal lelaki itu tak puas hati. "Tunjukkan kemampuan kau yang sebenar!"

Renik-renik peluh terbit di dahi Ian. "Macam mana aku nak keluarkan sihir kalau aku tak..."

"Sudah! Baik kau menyerah jer," balas lelaki itu pantas sebelum sempat Ian habis bersuara.

Ian melepaskan nafas berat. "Baik, aku menyerah." Ian mengangkat tangannya ke atas.

Pengadil pun terus mengumumkan pemenangnya yang disambut dengan tepukan gemuruh para pelajar di kiri dan kanan gelanggang. Ada juga antara mereka yang saling berbisik antara mereka dan memandang pelik ke arah Ian. Ian pula memandang sahaja langkah lawannya itu sebelum dia juga keluar daripada gelanggang.

Naik sahaja ke atas astaka, Ian terus disambut oleh Ayuni.

"Ian, awak tak apa-apa?! Ada cedera tak?" Ayuni nampaknya begitu cemas.

"Yuni, saya tak apa-apa. Jangan risau, saya tak apa-apa. Sekarang ni, baik awak bersedia untuk giliran awak." Ian melabuhkan duduk di kerusinya untuk melepaskan lelah.

Awak Ada Saya!Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang