Serentak dengan bunyi deringan loceng itu, kedengaran satu suara mula mengira daripada corong pembesar suara.
"Sepuluh... sembilan... lapan..."
Ayuni terus menunduk apabila gerombolan remaja itu berlari dan merempuh untuk memasuki pintu pagar itu. Tubuh kurus Ayuni dirempuh kasar menyebabkan gadis itu terdorong ke hadapan. Kini dia terpisah daripada Ian.
"Yuni!" jerit Ian kuat apabila kelibat Ayuni semakin hilang di sebalik keributan yang berlaku.
Ian bersusah payah menyeberangi kelompok manusia yang seperti binatang ternakan dihalau masuk ke kandang itu. Setelah berjaya mencapai lengan Ayuni, Ian terus memeluk tubuh Ayuni dengan niat ingin melindungi gadis itu daripada dirempuh, jatuh dan dipijak orang.
"Tiga... dua... satu..."
Sreet..!! Degang..!!
Pintu pagar kini ditutup!
Keadaan telah pun reda. Ian melepaskan rangkulannya dan mereka berdua terpinga-pinga. Di hadapan mereka kelihatan para remaja yang berjaya melepasi pintu pagar yang masing-masing penuh kegirangan. Mereka melihat ke arah pintu pagar yang kini ditutup. Terdapat dua orang pengawal yang sedang memegang tombak. Mereka terus menyilangkan tombak dengan maksud tidak membenarkan sesiapa untuk keluar.
"Bala apa pulak ni?" getus Ian perlahan.
Ayuni pula sudah menelan liur. Mana portal untuk dia pulang?
"Perhatian! Perhatian!"
Suara wanita yang kedengaran jelas daripada pembesar suara itu menarik perhatian Ian dan Ayuni. Mereka terus menyertai kumpulan remaja itu.
"Selamat datang ke Waltfield Wizard Academy!"
"What?!" Ayuni nyata terperanjat.
Namun, remaja-remaja yang lain bersorak kegembiraan.
"Tahniah diucapkan kepada kamu semua kerana telah berjaya menempatkan diri di akademi sihir nombor satu di Waltfield!" Suara wanita itu sekali lagi disambut dengan tepukan dan sorakan.
Ayuni segera merapati Ian. "Awak, apa semua ni?"
Ian menelan liur dan menggeleng perlahan. "Sekarang kita dah jadi pelajar di Waltfield Wizard Academy."
"Apa? Tapi..."
"Sekarang semua diminta ke Dewan Winter untuk sesi taklimat pelajar baru."
Setelah itu semuanya berpusu-pusu menuju ke tempat sebagaimana yang diarahkan. Mahu tidak mahu Ayuni dan Ian juga terpaksa bergerak mengikuti yang lain. Sampai sahaja di dewan tertutup itu, terus semua menggigil kesejukan. Rupa-rupanya nama Dewan Winter bukan sekadar nama, tetapi juga menerangkan tentang dewan yang besar itu.
Ayuni dan Ian mengambil tempat duduk di belakang sekali. Sesi taklimat pun bermula.
"Hai, selamat petang semua. Saya Iduna, pengetua Waltfield Wizard Academy." Seorang wanita berambut putih dalam lingkungan 30-an itu memulakan bicara.
"Tahniah saya ucapkan kepada kamu semua kerana berjaya melayakkan diri menjadi salah seorang pelajar WWA. Saya yakin kamu semua yang berjaya melepasi pintu masuk tadi, memang berbakat dan layak untuk berada di sini sekarang."
Mendengar bicara Pengetua Iduna itu terus membuatkan Ayuni dihambat ketakutan. Dia memandang wajah Ian dan ternyata wajah lelaki itu turut dihiasi riak bimbang.
"Misi akademi ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli sihir yang handal dan mampu melawan segala kejahatan yang ada di Waltfield. Kamu semua yang dilahirkan dengan sihir yang hebat dan unik memang sepatutnya menjadi seorang ahli sihir yang kuat, jadi sihir kamu tidak akan menjadi sia-sia."
"Ian, macam mana ni?" soal Ayuni yang tidak dapat lagi menahan kegalauan jiwanya.
"Yuni, saya faham perasaan awak sebab saya pun macam awak. Tapi, awak tenang dulu ya. Kita harungi benda ni sama-sama." Ian mencuba menenangkan Ayuni biarpun hakikatnya jantungnya juga berdegup kencang
"Baiklah, sebagai ahli sihir yang hebat, kita perlu bersedia untuk apa-apa sahaja kemungkinan tanpa mengira masa dan tempat. Jadi, sekarang telah bermulanya sesi pemilihan kelas untuk pengajian kamu selama lima tahun di WWA."
Para pelajar baharu mula bercakap-cakap antara satu sama lain.
"Saya tahu, pasti kamu semua tertanya-tanya bagaimana kaedah pemilihan kelas? Baik, sekarang di kerusi masing-masing terdapat nombor, dan itulah nombor kamu. Jadi, pemilihan kelas diadakan melalui pertarungan spontan. Apabila nombor kamu disebut, sila turun ke tengah gelanggang."
Terus bingit dewan itu dengan suara-suara para pelajar. Ada yang menjerit kegembiraan dan tidak kurang juga yang merungut. Ayuni melihat nombornya, 59 dan nombor Ian pula ialah 60. Sekarang semuanya tertanya-tanya di manakah gelanggang perlawanannya.
"Sir. Donnie, silakan." Pengetua Iduna mempersilakan seseorang lalu naiklah seorang guru lelaki ke atas pentas.
Guru yang dikenali sebagai Sir. Donnie itu pun mengeluarkan gelung coraknya yang berwarna kuning. Dia lalu menyilangkan tangannya dan diikuti dengan pergerakan yang lain. Dengan tidak semena-mena kerusi para pelajar terangkat ke udara, dinding dewan pula bergerak menjadi condong ke luar. Bumbung dewan terbuka dan kerusi para pelajar bergerak ke kiri dan kanan dewan. Pelajar kini terbahagi kepada dua bahagian dan kerusi pelajar terhenti di atas dinding dewan yang condong itu. Kemudian, lantai dewan pula berubah menjadi terbalik lalu membentuk sebuah gelanggang. Kini, Dewan Winter telah bertukar menjadi sebuah arena pertarungan yang sederhana besar.
Semua pelajar bersorak kagum melihat perubahan itu. Tetapi tidak bagi Ayuni dan Ian. Masing-masing sudah diselimuti dengan debaran yang sangat luar biasa. Ayuni terlalu takut sehingga dia merasakan ingin menangis.
"Ian, macam mana ni? Saya tak nak berlawan, saya lemah. Saya takda sihir!" rengek Ayuni kepada Ian.
"Yuni, saya pun takda sihir. Dah tentu saya pun tak nak berlawan. Tapi, saya betul-betul tak tahu apa nak buat." Ian menggenggam kepalanya dan mengusutkan rambutnya yang sudah sedia kusut.
"Macam mana kalau kita lari sekarang?" Ayuni memberikan idea ceteknya. Dalam keadaan genting sebegini, otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik.
Ian memandang dalam ke dalam mata Ayuni. "Baik, jom!"
Sebaik sahaja mereka berdiri, terdengar satu suara garau berdehem dengan sengaja. Tanpa menunggu masa mereka kembali duduk. Kini, barulah mereka sedar bahawa di setiap barisan kerusi terdapat seorang penjaga yang bererti mereka tidak lagi dapat ke mana-mana.
Kini mata Ayuni mula berair. Dia betul-betul takut. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah pasrah sahaja.
"Semua pelajar diharap mengeluarkan seluruh kemampuan. Jangan takut untuk cedera. Sekarang, nombor 11 dan nombor 41, sila turun ke tengah gelanggang."
Lalu turunlah seorang remaja perempuan dan lawannya pelajar lelaki. Masing-masing nampaknya berdiri di tengah-tengah gelanggang dengan begitu yakin sekali.
"Baiklah, tiga... dua... mula!"
Masing-masing mengeluarkan gelung bercorak dan mula menyerang. Ayuni tidak tahu sihir apakah yang mereka miliki tetapi pelajar perempuan yang berambut merah jambu itu mengeluarkan buih yang pelbagai fungsi seperti melantun dan meletup. Sementara pelajar lelaki yang berambut perak itu pula mengeluarkan pelbagai senjata tajam secara berterusan.
Pertarungan itu begitu sengit. Berderau darah Ayuni menyaksikan perlawanan itu. Setelah lebih kurang lapan minit perlawanan, akhirnya pelajar perempuan itu menang apabila lawannya terperangkap di dalam buih sihirnya dan tidak dapat keluar.
Setelah itu, sepasang demi sepasang pelajar dipanggil. Ayuni sudah terasa ingin pitam akibat terlalu berdebar menanti gilirannya. Tidak tahulah bagaimana dia ingin berlawan nanti tanpa apa-apa ilmu seni mempertahankan diri apatah lagi kuasa sihir.
"Nombor 30 dan nombor 60, sila turun ke tengah gelanggang."
Ayuni lantas berpaling ke arah lelaki di sebelahnya. "Ian!"
Ian hanya mampu menelan liur.
Bersambung.....
YOU ARE READING
Awak Ada Saya!
FantasiaAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...