Chapt. 17

140 29 6
                                        

Hari ini merupakan hari pertama belajar di dalam kelas. Ayuni dan Ian memilih tempat di belakang sekali dan paling hujung. Berada di sini sungguh membuatkan mereka berasa kerdil. Masuk ke akademi sihir nombor satu di Waltfield tetapi tidak mempunyai sihir.

Ayuni melihat rakan-rakan sekelasnya. Semuanya nampak hebat dengan rekaan pakaian yang pelbagai. Masing-masing kelihatan ceria sahaja.

"Selamat pagi semua." Miss Fiona melangkah masuk ke kelas.

Guru wanita ini kelihatan masih muda. Pada perkiraan Ayuni mungkin usianya dalam 20-an. Rambutnya yang berwarna ungu panjang berkilat itu memang cantik. Air mukanya yang tenang juga menambahkan lagi daya tarikan guru itu. Ayuni tertanya-tanya bagaimanakah sihir guru ini?

Miss Fiona pun memulakan pembelajaran yang pertama. Perkara pertama yang wajib dipelajari oleh pelajar WWA adalah sejarah sihir di Waltfield.

"Pada awalnya, masyarakat Waltfield bergantung kepada grimoire untuk menggunakan sihir. Tanpa grimoire, sesiapa pun tidak dapat menggunakan sihir. Di mana sekalipun dalam dunia ni pasti akan ada kejahatan. Begitu juga dengan Waltfield. Heraku, putera raja bunian kegelapan tidak suka melihat manusia yang terus berkembang maju dengan bantuan sihir. Jadi, Heraku bertindak kejam dengan memusnahkan grimoire-grimoire warga Waltfield. Siapa yang melawan pasti akan dibunuh. Pada ketika itu, separuh daripada grimoire telah musnah dan ketika itulah munculnya pahlawan lagenda Waltfield. Siapa tahu beliau?" Miss Fiona menanti jawapan daripada para pelajar.

Senyap. Tiada sesiapa yang menjawab soalan tersebut.

Miss Fiona menarik senyuman nipis. "Anak-anak muda sekarang nampaknya semakin lupakan sejarah. Takpalah, beliau itu ialah Roman Nova. Beliaulah yang berusaha sedaya upaya untuk menentang Heraku. Tetapi, Heraku jauh lebih kuat. Roman sedar yang dia tidak mampu untuk mengalahkan Heraku. Tapi, Roman yang memiliki sihir pengikat suci masih ada cara untuk menyelamatkan Waltfield. Apa yang beliau buat, para pelajar sekalian? Beliau telah mengerah 90% tenaganya untuk mengikat tenaga sihir terus ke dalam tubuh setiap seorang manusia di Waltfield. Beliau berjaya apabila grimoire tidak lagi diperlukan untuk menggunakan sihir.

Tetapi, pengorbanan Roman hanya mendatangkan mudarat kepada diri beliau sendiri. Nak tahu apa yang jadi?" soal Miss Fiona yang nampaknya agak beremosi.

Para pelajar begitu fokus kepada cerita Miss Fiona dan mereka menjawab soalan tersebut hanya dengan anggukan.

"Setelah itu, Heraku datang menyerang Roman. Heraku sangat marah kerana sihir tidak lagi dapat dihapuskan. Dengan tenaga yang tidak seberapa, mustahil untuk Roman melawan Heraku. Dan akhirnya, Roman gugur di tangan Heraku," Miss Fiona mengakhiri ceritanya dengan nada yang begitu memilukan.

Ayuni entah kenapa berasa sebak. Padahal dirinya langsung tiada kaitan dengan Waltfield. Mungkin kisah pengorbanan itu yang menyentuh hati tisunya. Tetapi, tidakkah Roman itu mempunyai orang yang tersayang atau keluarga?

"Miss, Roman ada pewaris tak?" soal seorang pelajar lelaki berambut kuning.

"Eh, mungkin Sir. Arya tu keturunan Roman? Kan Sir. pun ada sihir pengikat," ujar seorang pelajar perempuan yang berambut hijau pula.

Kata-kata pelajar itu mendapat tindak balas positif daripada beberapa orang pelajar lain. Miss Fiona terus tersenyum.

"Bukan, Sir. Arya tu, Arya Viktor. Bukan Arya Nova. Jadi, Sir. Arya bukan keturunan Roman. Baiklah pelajar semua, pengajaran hari ni, bersyukurlah dengan nikmat dan kesenangan yang kamu ada hari ni. Hargailah pengorbanan orang-orang dahulu untuk kita sekarang dan jadikan sejarah dulu sebagai pedoman untuk kita mengharungi masa-masa yang mendatang. Kita berhenti di sini dahulu dan kamu boleh rehat. Kita jumpa lagi lepas rehat di padang latihan."

Mendengar perkataan padang latihan disebut terus bersorak para pelajar Kelas Excelle kecuali dua orang manusia. Siapa lagi kalau bukan Ayuni dan Ian. Masing-masing sudah menepuk dahi.

•••••

Ayuni dan Ian sudah berkumpul di padang latihan bersama-sama dengan rakan sekelasnya. Ayuni sudah keresahan dan tidak kurang juga dengan Ian. Otak Ayuni ligat memikirkan idea untuk melepaskan diri daripada latihan ini. Tiba-tiba satu idea menerjah di benaknya. Terus dia berbisik kepada Ian.

"Ian, apa kata kalau saya pura-pura jatuh sakit dan awak sambut saya. Saya rasa mesti cikgu akan suruh awak yang bawak saya ke bilik rawatan. Jadi, kita berdua tak perlu..."

"Ayuni, Ian, mari sekejap," panggil Miss Fiona tiba-tiba.

Ayuni terus menelan liur.

"Alamak, dia nak tengok sihir kita dulu ke, Yuni?" soal Ian gusar.

Mereka melangkah ke arah Miss Fiona dengan berdebar-debar.

"Ada apa Miss?" soal Ayuni gugup.

"Kenapa kamu berdua nampak pucat ni? Apa yang kamu takutkan, hurm?" Miss Fiona memicingkan matanya seketika sebelum melepaskan tawa kecil. "Pengetua Iduna nak jumpa kamu di pejabat. Sekarang. Jadi kamu berdua tidak perlu ikut kelas latihan ni."

Ayuni dan Ian tidak pasti sama ada mahu berlapang dada ataupun bertambah gusar. Mengapakah Pengetua Iduna sendiri mahu bertemu dengan mereka? Tidak mahu melengahkan masa, Ayuni dan Ian terus menuju ke bangunan pentadbiran.

Bangunan tiga tingkat itu begitu besar dan luas. Walaupun begitu, ianya lengang sekali dan sunyi. Seperti tiada sesiapa di dalam bangunan itu. Ayuni dan Ian tercongak-congak tidak tahu di mana letaknya bilik pengetua.Tiada pula penanda arah mahupun papan tanda yang boleh mereka jadikan petunjuk.

Tiba-tiba, mereka terdengar suara beberapa orang yang sedang bercakap. Derap kasut juga kedengaran. Kemudian terlihatlah empat orang pelajar senior, tiga orang lelaki dan seorang perempuan yang sedang berjalan.

"Eh, pelajar Tahun 1 ke?" sapa pelajar senior perempuan yang berambut hijau muda itu dengan mesra.

Ayuni segera mengangguk.

"Ada urusan apa datang sini? Cari siapa?" soal senior lelaki yang berambut merah jambu pula.

"Kami nak jumpa Pengetua Iduna," jawab Ian.

"Hah?!" Senior lelaki yang berambut kuning pula bereaksi terkejut. "Kenapa nak jumpa Pengetua Iduna?"

"Kami tak tahu kenapa tapi Miss Fiona bagitahu kami yang Pengetua Iduna nak jumpa kami," beritahu Ayuni jujur.

"Oh, kalau macam tu korang naik ke tingkat 3, bilik pertama belah kanan," beritahu kakak senior itu.

"Terima kasih," Ayuni dan Ian segera berterima kasih seraya mengerling ke arah seorang lagi senior yang berambut biru gelap. Wajah pelajar senior itu ketat sahaja dan langsung tidak dipandangnya Ayuni dan Ian.

Pelajar dua orang itu terus menuju ke bilik pengetua berpandukan arah sebagaimana diberitahu oleh seniornya tadi. Sampai sahaja Ian terus mengetuk pintu.

"Masuk," suara seseorang dari dalam memberi izin masuk.

Ayuni dan Ian menapak masuk ke dalam bilik yang berhawa sejuk itu dengan jantung yang berdegup kencang. Demi sahaja memijak kaki ke dalam bilik itu, terus berdiri bulu roma mereka. Aura di dalam bilik itu terasa begitu lain sekali.

Seorang wanita berambut putih kelihatan sibuk membaca sesuatu dan tidak memandang lagi ke arah tetamunya. Selesai membaca, dia menyusun kertas-kertas di tangannya sebelum memanggung kepala.

Demi sahaja memandang Ian dan Ayuni, terus Pengetua Iduna berdiri dengan laju. Kerusi berodanya tertolak ke belakang sebelum melanggar dinding dengan agak kuat yang menghasilkan bunyi bising. Ayuni dan Ian terperanjat besar dengan tindakan reflek wanita itu.

"Kamu dua orang..." Pengetua Iduna tidak meneruskan kata-katanya sebaliknya tersenyum. Beliau kemudian membetulkan bajunya dan kembali duduk.

"Kamu tahu kenapa saya panggil kamu berdua ke sini?" soal Pengetua Iduna tenang.

"Sebab... kami takda sihir?" jawab Ayuni ragu-ragu.

"Hurm..." Pengetua Iduna ketawa kecil. "Tak sangka takdir yang sama berulang... Ian Nova dan gadis luar."

Ian dan Ayuni terkedu.

Bersambung.....

P/s : Grimoire kalau ada yang tak tahu ialah buku mantra sihir. Okay, enjoy reading!

Awak Ada Saya!Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang