Chapt. 20

143 24 7
                                    

Sekarang sudah genap dua minggu Ayuni dan Ian belajar di Waltfield Wizard Academy. Sistem pembelajaran di sini adalah 30% belajar di dalam kelas dan 70% belajar di lapangan. Di dalam kelas, mereka cuma belajar sejarah, teori sihir dan asas Sains dan Matematik. Di lapangan pula, mereka akan belajar seni mempertahankan diri dan belajar mengembangkan sihir mereka.

Sepanjang tempoh itu juga Ayuni dan Ian tidak menyertai rakan-rakannya apabila tiba waktu belajar di padang. Sebaliknya mereka berdua akan disuruh ke perpustakaan dan mentelaah buku-buku lama tentang sihir. Kesempatan itu digunakan oleh dua orang pelajar itu untuk mendapatkan maklumat tentang Roman Nova dan gadis luar. Usaha mereka ternyata sia-sia apabila sejarah itu memang tiada tercatat dalam mana-mana buku.

Namun, pada minggu kedua pula mereka telah diajar seni mempertahankan diri oleh Pengetua Iduna sendiri. Ayuni yang langsung tiada latar belakang dalam bidang itu sangat terseksa dengan latihan itu. Tetapi, dia sebenarnya lebih terseksa menanggung perasaan ingin tahu tentang gadis luar yang dimaksudkan oleh Pengetua Iduna.

Berita tentang mereka yang dilatih oleh pengetua akademi itu sendiri telah tersebar ke seluruh akademi. Terdapat segelintir pelajar yang cemburu dan iri hati terhadap mereka terutamanya pelajar-pelajar Tahun 2, 3, 4 dan 5.

Pada pagi itu, Pelajar Tahun 1 telah dikumpul di dataran di hadapan bangunan akademik. Pelajar-pelajar senior yang lalu-lalang memerhati sahaja perhimpunan yang diselia oleh Miss Fiona, Sir. Arya dan Sir. Donnie itu.

"Selamat pagi, semua." Sir. Arya memulakan bicara. "Kami mengumpulkan kamu semua pada pagi ini kerana kami ada satu pengumuman penting untuk kamu semua. Mungkin juga berita gembira." Sir. Arya tersenyum. "Esok, kamu semua akan dibawa melawat ke luar akademi."

Seorang pelajar Kelas Victoria mengangkat tangan. "Sir., kenapa tak umum dalam kelas masing-masing?"

"Bagus. Saya perlu mengumumkan di sini kerana ini merupakan satu sejarah di Waltfield Wizard Academy. Dalam sejarah WWA sejak dibuka, akademi tidak pernah lagi membawa pelajar ke luar. Jadi, tahun kamu sangat beruntung mendapat peluang ini."

"Tapi, apa untungnya dapat keluar akademi? Inikan memang tempat kami," soal pelajar lain pula.

Sir. Donnie berjalan ke hadapan. "Kamu beruntung kerana kamu bukan dibawa ke tempat yang biasa, tetapi ke Waltfield Great Muzium."

"Apa?!" Satu jeritan terkejut jelas terdengar. Tetapi, ia bukan datang daripada pelajar Tahun 1 sebaliknya daripada seorang pelajar senior di bangunan akademik. Pelajar itu segera melarikan diri.

Pelajar-pelajar Tahun 1 juga sudah berbisik-bisik dengan penuh keceriaan. Jelas masing-masing teruja dengan berita itu.

Ayuni mencuit Ian. "Waltfield Great Muzium tu apa? Istimewa ke tempat tu?"

"Saya pun tak tahu. Ni pertama kali saya dengar nama muzium tu."

"Eh, seriuslah awak tak tahu?" soal Nedely agak terkejut.

"Hump... apa jer yang dia tahu?" sampuk Shawn tiba-tiba.

"Diamlah kau." Ian memang selalu tidak berpuas hati dengan Shawn.

"Kalau awak nak tahu, Waltfield Great Muzium ni satu muzium yang paling terkenal di Waltfield yang menyimpan beratus-ratus barangan sihir kuno, unik dan sangat berharga. Tapi sayangnya, muzium ni tidak dibuka bebas kepada awam untuk jaga keselamatan barang-barang tu semua. Kalau tak silap saya sehari hanya 20 orang yang dibenarkan masuk ke muzium tu. Dan sistem keselamatannya pun sangat ketat," terang Nedely panjang lebar.

Ayuni mengangguk faham. "Tapi kita semua 60 orang. Boleh ke semua sekali masuk esok?"

Nedely menjongketkan bahunya. Mereka berhenti bercakap apabila Miss Fiona pula yang bersuara.

"Kamu semua patut bersyukur kerana atas budi bicara Pengetua Iduna dengan pihak pengurusan muzium, kamu semua 60 orang dibenarkan masuk ke muzium esok," beritahu Miss Fiona yang tidak lekang dengan senyuman.

Para pelajar terus bertepuk tangan. Kemudian Miss Fiona menutup perhimpunan ringkas itu dengan menitipkan beberapa pesanan sebelum melepaskan pelajar masuk ke kelas.

•••••

Ayuni, Ian, Shawn dan Nedely berjalan beriringan menuju ke dewan makan. Sepanjang perjalanan itu, mereka akan berasa pelik apabila berselisih dengan pelajar-pelajar senior. Bukan itu sahaja, mereka merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena antara pelajar senior dan pelajar Tahun 1. Mereka meneruskan sahaja langkah ke dewan makan.

Ayuni mengambil dahulu makanan sebelum berjalan menuju ke meja. Tiba-tiba, langkahnya terbejat apabila seseorang berdiri di hadapannya yang menghalang laluan. Ayuni kenal pelajar lelaki senior itu. Pelajar itulah yang ditemuinya tempoh hari sewaktu ingin bertemu dengan pengetua. Pelajar lelaki berambut biru gelap dengan wajah dingin.

"Kaulah budak takda sihir tu kan?" soal pelajar itu dengan wajah menyampah.

Ayuni diam. Dia tidak tahu apa yang perlu dia jawab.

"Kenapa kau diam, hah?! Bisu?" soalnya lagi.

"Aku pelik apa istimewanya kau ni, hah?" Pelajar itu berjalan mengelilingi Ayuni.

Ian kemudian merapati Ayuni yang mengurangkan rasa takut gadis itu.

"Ada apa ni?" soal Ian yang tidak tahu apa yang terjadi.

Ayuni sedar bahawa dia kini menjadi perhatian semua pelajar di dewan itu dan masing-masing saling berbisik antara satu sama lain.

"Hah, bagus cukup dua orang kat sini." Lelaki itu memasang wajah meluat. "Aku sebenarnya menyampah gila dengan kau dua orang tahu tak? Sudahlah takda sihir, berlagak pulak nak masuk akademi ni. Apa yang kau boleh buat?!"

"Apa sekali yang kami boleh buat pun, takda nenyusahkan abang pun kan?" Ian bersuara dengan sopan.

"Eh, berani kau menjawab eh? Ni aku nak tanya budak, apa istimewanya kau dua ni sampai pengetua sendiri yang ajar korang?!" Marah betul nampaknya pelajar itu.

Nedely dan Shawn pula bergegas ke arah mereka. "Ian, Yuni, kenapa..."

"Kau dua orang diam! Aku takda urusan dengan korang." Pelajar itu pantas memotong soalan Nedely. "Oh, lupa aku memang ada urusan dengan kau dua orang jugak. Aku tak puas hati dengan semua pelajar Tahun 1!!" jeritnya kuat.

"Apa istimewanya korang semua ni sampai akademi bawak korang keluar?!" Jelas di matanya api kemarahan yang membara.

Pelajar-pelajar Tahun 1 di dewan makan terus menikus.

"Terutamanya kau dua orang ni yang takda sihir!!" Tanpa terkawal pelajar itu menolak dulang yang dipegang Ayuni sehingga habis makanan tertumpah ke baju gadis itu.

Tindakan biadab pelajar senior itu telah menyebabkan kesabaran Shawn hilang. "Hoi, kau jangan ingat kau senior, boleh buat sesuka hati!"

Tindakan Shawn itu pula ternyata menyebabkan pelajar-pelajar lain terkejut.

"Jadi, kau nak cabar aku?!"

"Sikit pun aku tak takutlah!" balas Shawn berani.

"Shawn, jangan!!" Namun, tidak sempat Nedely ingin menghalang, lelaki itu telah pun meluru ke arah pelajar senior itu dan mengeluarkan gelung corak sihirnya.

Pelajar senior itu juga meluru ke arah Shawn. Namun, tidak sempat mereka menyerang, tubuh masing-masing tertarik kembali ke belakang seperti baju yang mereka pakai ditarik seseorang. Shawn dan pelajar senior itu terpisah dalam jarak 10 meter. Kemudian, simen lantai dewan makan yang mereka pijak bergerak lalu mengikat kedua-dua kaki kedua-dua pelajar itu.

Shawn terpinga-pinga dan terkejut dengan apa yang berlaku. Sihir siapakah itu? Dalam masa yang sama pelajar senior itu berusaha untuk menghancurkan cengkaman simen itu dan sebelah kakinya berjaya dilepaskan.

"Cukup!" jerit satu suara perempuan.

Bersambung.....

Awak Ada Saya!Where stories live. Discover now