Pak Cik Suhaimi, pengawal keselamatan sekolah memandang Ian dan Ayuni dengan wajah yang sangat terkejut. "Ya, Allah! Kamu berdua buat apa dalam ni?! Astaghfirullahalazim..." Dia terus beristighfar.
Ayuni kaget dan Ian memasang wajah naif. Dia tidak faham apa-apa.
"Nak, kamu tak fikir panjang ke sebelum buat kerja ni? Kamu tak fikir dosa pahala ke? Dengan imej bertudung macam ni, kamu sepatutnya berasa malu kepada diri sendiri. Malulah kepada Allah." Tanpa bicara panjang, Pak Cik Suhaimi terus memberikan ceramah percuma.
"Pak Cik, Pak Cik salah faham ni." Ayuni lekas-lekas menafikan sangkaan lelaki itu.
Ayuni buntu. Macam mana dia mahu menerangkan tentang perkara ini? Mustahil untuk dia menceritakan kisahnya dan Ian yang datang dari dunia lain itu. Langsung tidak masuk dek akal lebih-lebih lagi kepada Pak Cik Suhaimi.
"Pak Cik, panjang cerita dia. Tapi, saya tak rasa Pak Cik boleh faham. Saya bersumpah dengan nama Allah, kami tak buat apa-apa pun. Walaupun saya bukanlah baik sangat yang patuh segala tuntutan agama, tapi saya langsung tak terfikir untuk buat semua benda terkutuk tu. Jauh sekali berzina, nauzubillah. Percayalah saya Pak Cik," rayu Ayuni bersungguh-sungguh.
Pak Cik Suhaimi memandang wajah jernih Ayuni. Memang gadis itu kelihatan seperti gadis yang baik-baik.
Ayuni menyambung lagi. "Pak Cik, petang tadi saya... maksud saya kami. Kami kena kurung dengan pelajar nakal dalam ni. Pak Cik pun tahu kan pintu ni kena kunci dari luar. Percayalah kami Pak Cik."
Akhirnya, Pak Cik Suhaimi melepaskan Ayuni dan Ian. Ayuni betul-betul berterima kasih kepada pengawal keselamatan itu. Dua remaja itu lalu beredar.
"Yuni, kenapa pak cik tu berleter tadi? Apa yang tak kena?" soal Ian sewaktu mereka berjalan pulang.
"Ian, benda ni agak rumit. Saya perlu ruang dan waktu yang tepat untuk bercerita dekat awak. Ia ada kaitan jugak dengan kain yang saya pakai untuk tutup kepala ni. Ini bukan sekadar fesyen sebenarnya. Memandangkan sekarang awak dah ada dekat dunia saya ni, saya kena berterus-terang dengan awak." Berhati-hati Ayuni menyusun ayat untuk merungkai kekeliruan lelaki itu.
Ian terus mengangguk tidak mahu terus mendesak gadis itu. "Tapi, kita nak pergi mana sekarang?"
Ayuni tersenyum lebar. "Sekarang, kita pergi rumah saya! Jom, kita lari. Dah lama kita tak lari-lari macam waktu mula-mula kita mengembara dulu."
Ian juga tersenyum lebar seraya membuka langkah yang semakin laju. Mereka berlari-lari sambil ketawa yang memecah kesunyian malam.
"Dah sampai. Assalamualaikum!" Ayuni memberi salam.
"Eh, ayah! Kakak dah balik!" jerit satu suara budak perempuan di dalam rumah.
Pintu terbuka lalu terpampang wajah En. Fauzi, Azim dan Emily di muka pintu.
"Ayu?" Suara En. Fauzi jelas gembira. "Ayu pergi mana ni? Ayah dah fikir nak buat report polis kamu tahu tak? Ayah risau sangat kamu tak balik-balik."
Emily pula terus memeluk kakak tirinya itu. Ayuni lantas menggosok-gosok kepala adik kesayangannya.
"Kakak, siapa abang ni? Kawan kakak ke?" soal Azim tiba-tiba.
Ayuni tersedar. Dia menggenggam buku 'Waltfield' yang dibawa balik itu dan mengerling ke arah Ian sekilas.
"Ayah, Ayu ada nak cerita sesuatu dekat ayah. Boleh tak saya bawak kawan saya ni masuk rumah?"
En. Fauzi kelihatan teragak-agak sebelum mengangguk. Ian pula kelihatan kekok. En. Fauzi kemudian menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Ian. Ian yang tidak tahu untuk berbuat apa terus menyambut salaman itu. Ayuni tersengih.

ANDA SEDANG MEMBACA
Awak Ada Saya!
FantasyAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...