"Jangan buat saya macam ni! Tolong bukak pintu ni!" jerit Ayuni sambil tangan mengetuk-ngetuk pintu dengan kuat.
Air matanya tidak henti-henti mengalir. Dia sudah penat untuk menyeka, jadi dibiarkan sahaja mutiara jernih itu menuruni lekuk pipi.
"Tolong! Tolong bukak pintu ni! Tolong!" Tangan kecilnya terus mengetuk-ngetuk daun pintu untuk meminta pertolongan.
Ayuni berdoa di dalam hati agar ada sesiapa yang lalu atau mendengar jeritannya. Sudahlah perpustakaan ini terletak di blok paling belakang berdekatan padang sekolah. Pada waktu begini, mustahil untuk ada sesiapa di kawasan sekitar melainkan pengawal keselamatan yang melakukan rondaan.
"Tolong...!!!" jerit Ayuni sekuat hati dengan air mata yang berlinang.
Degang!!! Degang!!! Degang!!!
Ayuni menghentak pintu bertalu-talu. Tekaknya sudah perit akibat menangis dan menjerit. Tangannya juga sudah penat. Malah rasa pedih mula menjalar pada kedua-dua tangannya. Tapi, dia terus juga mengetuk.
"Tolong...tolong... saya me-merayu..."
Ayuni terjelepok di pintu. Tangannya masih lagi menampar-nampar daun pintu kayu yang keras itu. Lemah. Dia betul-betul lemah sekarang. Jam tangan dikerling sekilas. Sudah pukul 4.30 petang. Pelbagai perkara hadir di benaknya sekarang.
Ayahnya perlu pergi bekerja. Sekarang sudah tentu Azim sudah pulang dari sekolah. Dia perlu memasak untuk adik-adiknya makan. Bagaimana Emily yang tinggal keseorangan sejak tadi?
Kini, pelbagai perasaan menyelubungi dirinya. Rasa yang paling mencengkam ialah rasa takut. Dia betul-betul keseorangan. Tiba-tiba sahaja dia merasakan hawa sejuk. Air mata yang masih mengalir dibiarkan tanpa diseka. Ayuni bergerak perlahan ke tepi rak buku yang paling dekat dengannya.
Ayuni duduk memeluk lutut dengan kepala yang disandarkan pada rak buku. Dia betul-betul sedih bercampur dengan takut. Dia betul-betul buntu sekarang.
"Kalau bukan sebab perasaan bodoh tu... mesti aku tak jadi macam ni," ujar Ayuni perlahan.
Pak!
Sebuah buku jatuh betul-betul di hujung kakinya. Ayuni merenung seketika buku tersebut sebelum mengambilnya. Dia menyeka saki baki air matanya.
Dia meniup perlahan buku tersebut yang kelihatan agak berhabuk.
"Waltfield." Ayuni membaca tajuk buku tersebut.
Buku itu kelihatannya seperti buku cerita kanak-kanak sahaja. Nipis dan berwarna biru cerah. Tetapi tidak banyak ilustrasi pada kulit buku tersebut. Tiada juga nama penulis. Ayuni langsung tidak mengetahui tentang buku ini.
Dia terus membuka buku tersebut pada helaian pertama.
•••••
Ayuni tersedar apabila rasa sakit terasa menjalar di pahanya secara tiba-tiba. Silau cahaya menyebabkan matanya sukar untuk dicelik. Tetapi satu suara garau memaksanya untuk bangun.
"Oi, kenapa kau baring kat sini?" soal lelaki itu seraya sekali lagi kakinya menyepak paha Ayuni dengan kuat.
"Aduh!" Ayuni mengaduh kesakitan.
Matanya diliarkan ke sekeliling. Dia terkesima kerana dia tidak lagi berada di perpustakaan sebaliknya berada di suatu tempat yang tidak dia ketahui.
"Hei, kau makhluk sesat mana ni? Ha?" soal lelaki itu lagi.
Ayuni memandang ke arah wajah lelaki itu yang nampak seperti sebaya dengannya. Di sisi lelaki itu berdiri tiga orang lagi lelaki muda. Ayuni memandang sahaja tanpa bersuara kerana dia langsung tidak mengenali mereka.

ANDA SEDANG MEMBACA
Awak Ada Saya!
FantasyAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...