Kejohanan itu kemudian diteruskan lagi dengan perlawanan kumpulan-kumpulan lain pelajar Tahun 1. Sementara itu, melihat kepada kemenangan Ian melawan Hadric pelajar nombor dua Waltfield Wizard Academy, Pengetua Iduna dan barisan guru mengadakan perbincangan ringkas dan satu kata sepakat telah diputuskan.
"Perhatian kepada semua pelajar Tahun 1, anda semua diharapkan dapat bertarung dengan bersungguh-sungguh kerana satu kumpulan yang menang sahaja akan dipilih untuk ke Hutan Jewelbonia." Pengacara menghebahkan keputusan perbincangan barisan guru itu.
Para pelajar tertanya-tanya kenapa boleh terjadi sedemikian. Namun, apa yang diputuskan oleh pihak akademi tidak dapat mereka sanggah.
Sebenarnya, pihak akademi telah bersetuju untuk memilih terus kumpulan Ian tanpa perlu bertarung sekali lagi. Jadi, satu kumpulan sahaja lagi yang diperlukan. Kumpulan-kumpulan yang bertarung pula nampak begitu bersungguh-sungguh. Segala kemampuan yang mereka ada mereka akan keluarkan untuk menjadi juara. Keinginan mereka untuk menjalankan misi di Hutan Jewelbonia itu sangat tinggi walaupun mereka tidak tahu apakah misi yang bakal dihadapi.
•••••
Ayuni duduk di sisi katil yang mana Ian terbaring tidak sedarkan diri. Di dalam bilik rawatan itu hanya ada mereka berdua. Ian telah diperiksa oleh penyihir medis dan Ian hanya kehabisan tenaga sahaja. Mungkin kerana sihirnya yang keluar secara tiba-tiba. Tadi, Shawn dan Nedely ada datang namun mereka telah kembali ke colloseum untuk menyaksikan perlawanan yang sedang berlangsung.
Sudah hampir sejam Ian kaku tidak bergerak. Sedikit sebanyak rasa risau timbul di hati Ayuni. Dia tidak henti-henti berdoa agar Ian segera sedar. Terlalu banyak benda yang dia ingin beritahu kepada lelaki itu.
"Hmmm..." Suara kecil Ian itu menyentakkan Ayuni daripada lamunan.
"Ian! Awak dah sedar?" Ayuni terus dihambat rasa teruja.
Mendengar suara Ayuni itu, terus mata Ian terbuka luas. Dia bangkit dalam keadaan duduk. Ayuni terkejut dengan reaksi Ian itu.
"Eh, Ian, awak tak sihat lagi ni. Baring du..."
Tanpa kata Ian terus merangkul tubuh Ayuni. Ayuni terkedu. Tindakan spontan Ian itu betul-betul membuatkan jantungnya berdegup laju. Kenapa dengan lelaki ini?
"Yuni! Awak masih hidup. Saya ingat awak dah pergi tinggalkan saya. Saya betul-betul takut Yuni, saya betul-betul takut kalau saya kehilangan awak." Ian mengeratkan lagi pelukannya.
Ayuni mati kata. Dia terus menjadi kekok. Beberapa ketika kemudian, Ayuni berjaya mengawal rasa gemuruhnya dan mula berfikir secara rasional. "Ian, saya ada dekat awak sekarang. Tak payah takut, sekarang baring dulu. Awak baru sedar ni. Mari, saya ambilkan awak air." Ayuni menolak sedikit tubuh Ian untuk melepaskan pelukan lelaki itu.
Ayuni bingkas untuk mengambil air mineral di atas almari kecil di sisi katil. Gelas segera dihulurkan kepada Ian namun lelaki itu yang masih lemah agak sukar untuk minum sendiri. Jadi, Ayuni terpaksa membantu Ian untuk minum.
"Terima kasih," gumam Ian perlahan.
Ayuni lantas tersenyum dan kembali duduk. Ian memandang ke arahnya dan dibalas Ayuni. Masing-masing tidak tahu apa yang ingin diperkatakan dan suasana menjadi sedikit canggung. Keadaan yang sepi menimbulkan sensasi yang berbeza di dalam bilik sederhana besar itu.
"Err..." Suara seakan tersekat di kerongkong. Ayuni berdehem kecil. "Ehem... err... macam mana rasa sekarang?"
"Lebih baik. Apa yang berlaku dekat saya?" Ian tidak berapa jelas tentang kejadian tadi.
Mendengar soalan itu, Ayuni tiba-tiba disuntik semangat untuk mula bercerita. "Awak tahu tak? Persembahan awak tadi hebat gila! Mula-mula tu kan awak nampak macam tak fokus jer, awak kena sepak, kena tumbuk, kena terajang. Pastu awak macam jerit yang bukan-bukan. Dan, saya rasa masa tu awak ada dalam ilusi yang Hadric cipta."
"Saya tengok awak kena tikam dengan Hadric."
Membulat terus mata Ayuni. "Apa? Mana adalah. Saya tengok jer pertarungan awak dengan dia dari atas tu."
Ian tidak membalas.
"Tulah, awak masa tu ada dalam sihir ilusi mamat berlagak tu. Tapi kan, lepas awak jerit, 'tidakkk!!!' awak macam kena rasuk dengan satu semangat baru. Sanctus menyala pastu semua orang teruja nak tengok apa jadi. Tapi, awak dengan Hadric tiba-tiba ghaib. Lepastu awak muncul balik dan ghaib balik. Bila muncul kali kedua tu, Hadric menyerah diri dan awak menang!" cerita Ayuni penuh penghayatan.
Ian tersenyum. Dia memandang kedua-dua tangannya. "Saya pun tak tahu apa yang saya buat."
"Takpalah... jangan fikir lagi pasal tu. Yang penting sekarang awak dah menang, awak dah dapat buktikan diri awak, dan awak selamat. Saya tahu hero saya ni memang hebat." Ayuni memberi kata-kata lembut yang datang ikhlas daripada sudut hatinya yang dalam.
Ian cuba menggapai tangan Ayuni namun cepat-cepat Ayuni larikan. "Tak boleh pegang suka-suka," bisik Ayuni perlahan. Ingin meletus tawanya melihat wajah Ian yang kemerahan. Malu barangkali.
"Terima kasih, Yuni. Sebab selalu bagi semangat untuk saya. Sekarang sebab awaklah saya dapat jadi lebih kuat."
"Kan saya dah cakap, kalau saya ada awak, awak pun ada saya jugak."
Kemudian bermulalah sesi renung-merenung antara dua orang anak muda itu. Tiada kata yang terbit daripada mulut namun hati mereka seakan saling berbicara. Melihat pandangan redup Ian hanya membuatkan degupan jantung Ayuni hilang ritma.
"Phomm!!"
"Opocot kau handsome! Kenapalah kau ni helok sangat sampai aku cair, ohh babeh I love you babeh..." Ayuni pantas menekup mulutnya. Dia terus berpaling ke belakang.
Shawn dan Nedely dilihat ketawa terbahak-bahak mendengar latah Ayuni sehingga gamat bilik tersebut dengan tawa mereka. Wajah Ayuni sudah kemerahan akibat terlalu malu bercampur dengan geram. Ayuni lantas menampar bahu Nedely bertubi-tubi.
"Awak jahat, awak jahat!"
Melihat Ayuni yang menampar Nedely, Minnercules turut melakukan perkara yang sama.
"Hei, sakitlah," Nedely mengaduh berselang tawa. "Shawn yang buat, kenapa saya yang kena?"
Ayuni memandang Shawn tajam. "Minnercules, tampar dia sekarang."
Patuh kepada arahan Ayuni, Minnercules terus menampar dada Shawn bertalu-talu. Shawn terus menggertak Minnercules menyebabkan jubah itu berhenti dan mengecilkan dirinya di belakang Ayuni. Mereka kemudian ketawa besar.
Nedely dan Shawn merapati Ian yang tersengih.
"Kau macam mana! Dah okay?" soal Shawn.
"Yeah... sangat okay. Hehe."
Nedely tersengih-sengih seraya memandang Ian dan Ayuni bersilih-ganti. Ayuni yang perasan menjegilkan biji matanya.
"Hah, kenapa tu tersengih-sengih? Apa pulak yang dia duk fikir tu?"
Nedely tersenyum lebar. "Awak dan Ian ni... bercinta erk?"
"Mana ada!!" jerit Ian dan Ayuni serentak.
"Alah kalau ya pun, apa salahnya. Nampak korang dua orang ni macam saling memerlukan jer," tambah Shawn yang membuatkan Ayuni tersipu-sipu. Ian pula sekadar tersenyum sumbing.
Tidak mahu topik itu terus dibincang, Ayuni bertanya tentang kejohanan pula. "Macam mana perlawanan tu, dah selesai ke?"
Nedely memicingkan mata seraya tersengih. "Pandai ya lari topik. Ha'ah, dah selesai. Kumpulan Eara yang menang. Suka sangatlah dia. Saya pun tak tahulah kenapa Eara tu selalu cari pasal dengan awak dua orang."
"Kat dalam dunia ni, mana-mana pun ada orang macam tu." Shawn mencebik.
Wajah Ian menjadi redup. "Hurm... jadi kita tak terpilihlah. Maaflah sebab saya, kita semua tak dapat pergi hutan tu."
"Eh, mana adalah. Sebab awaklah kami tak payah susah-susah nak berlawan. Sebab awak dah kalahkan Hadric perasan bagus tu, kumpulan kita automatik terpilih."
Mendengar bicara Nedely itu terus Ayuni melompat keterujaan. Mereka pun terus berbual dengan mesra.
Bersambung.....
YOU ARE READING
Awak Ada Saya!
FantasyAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...