Ian dan Ayuni berdiri saling merapat. Mereka kini berjaga-jaga untuk menerima sebarang serangan daripada Heraku.
"Pastikan awak sentiasa ada di sisi saya, Yuni," bisik Ian kepada Ayuni.
Ayuni pantas mengangguk. Heraku pula sudah mencerlung ke arah kedua-dua remaja itu. Fikirannya sibuk mencari jalan untuk membuat serangan. Perkara yang paling merimaskan adalah semestinya Ayuni yang memiliki Minnercules.
"Awak, saya rasa awak boleh guna sihir awak sekarang. Bawak saya dan Heraku ke dimensi masa." Ayuni memberi cadangan.
Ian lantas bersetuju. Dengan sepantas kilat Ian mengeluarkan gelung corak sihirnya dan dalam sekelip mata keadaan terus menjadi kaku. Pokok-pokok langsung tidak bergoyang dan langsung tiada tiupan angin yang terasa. Suasana juga begitu sunyi sepi.
"Heh, apa kau buat ni?" soal Heraku bersahaja.
"Sekarang kau dah terperangkap dalam dimensi masa aku, Heraku!" Ian bersuara yakin.
Heraku langsung tidak kelihatan tergugat. Lelaki itu sekadar berdiri berpeluk tubuh. Ian menjadi sakit hati melihat keselambaan Heraku. Ian terus mempercepatkan waktu yang hanya difokuskan kepada Heraku tanpa menjejaskan Ayuni. Tetapi, Heraku sepertinya tidak mengalami apa-apa kesan. Ian dan Ayuni kaget.
"Kenapa?!"
Lantas Heraku ketawa berdekah-dekah. Lucu melihat wajah anak muda yang kebingungan itu.
"Kau melangkah waktu ya? Berapa ratus tahun, berapa ribu tahun?" soal Heraku.
Setitik peluh terbit di dahi Ian. "1000 tahun."
Sekali lagi tawa Heraku meledak. "Kau tak tahu ke budak? Bunian kegelapan hidup berjuta-juta tahun. Kau langkah 1000 tahun ke depan? Eh, bayi bunian yang baru lahir pun baru boleh merangkaklah! Hahahaha...!!!"
Sedarlah kini mereka kenapa sihir Ian tidak membawa apa-apa kesan kepada Heraku.
"Jangan terlalu bongkak, Heraku. Jangan ingat itu jer kemampuan Ian Nova!" laung Ayuni berani.
Ian kemudian mengundur waktu satu juta tahun ke belakang. Ian kini tercungap-cungap kelelahan. Memanipulasi waktu untuk jangka yang sepanjang itu betul-betul memakan tenaganya.
"Ah, aku rasa semakin muda! Tenaga aku lebih kuat!"
Bertambah terkejut lagi Ian dan Ayuni. Ian mendecit dan ingin mengundur lagi waktu. Dia bertekad untuk menukarkan Heraku yang sekarang kepada Heraku sewaktu bayi. Namun, Ayuni cepat menyedarinya.
"Jangan, Ian! Nanti awak pengsan. Undur waktu terlalu banyak akan gunakan banyak tenaga awak."
"Hahahaha...! Nampaknya kau belum betul-betul sedia lagi."
Demi sahaja habis berkata-kata, Heraku terus menerpa ke arah Ian dan Ayuni. Dengan pantas Ian mengangkat Ayuni dan melompat untuk mengelak tumbukan Heraku. Mereka tidak boleh berpisah. Andai saja Ayuni tidak ada di samping Ian, lelaki itu boleh dibunuh pada waktu itu juga oleh Heraku.
Ian kemudian menghapuskan sihir dimensi waktunya.
"Dah mengalah ke, Ian Nova?" soal Heraku penuh angkuh.
"Jangan harap aku akan mengalah! Aku akan balas perbuatan kau yang bunuh ayah aku!"
Ian lalu mengaktifkan sihir ruangnya. Keadaan sekeliling terus menjadi putih sepenuhnya namun masih lagi mengekalkan bentuk Hutan Jewelbonia.
"Heh, apa lagi ni?"
Tanpa menjawab soalan Heraku itu, Ian menghimpit Heraku dengan dinding halimunan. Dia mengerahkan tenaganya untuk terus menghimpit Heraku. Namun, ternyata Heraku jauh lebih kuat berbanding remaja itu. Heraku kemudian menolak dinding halimunan itu jauh.
YOU ARE READING
Awak Ada Saya!
FantasíaAyuni Afya gadis yang lemah-lembut. Tetapi yang paling dominan adalah LEMAH. Dia seorang gadis yang lemah, kurang keyakinan diri dan mudah dibuli. Bagaimana dia ingin menjelaskan perasaannya kepada Si Crush? Dengan keberanian yang tidak seberapa, Ay...