Chapt. 01

418 37 61
                                    

Pada pagi itu, kelihatan seorang gadis dengan pakaian sekolah berjalan kaki memasuki pintu pagar sekolah. Wajahnya yang redup begitu sukar untuk ditafsir perasaannya. Pelajar-pelajar lain berjalan bersama-sama kawan sambil bergelak ketawa. Paling tidak setiap wajah pasti terbias sinar keceriaan. Tetapi tidak bagi gadis itu.

Itulah Ayuni Afya. Seorang pelajar Tingkatan Empat yang sentiasa keseorangan. Tiada sesiapa pun yang ingin dekat dengannya. Ayuni sendiri pun sudah tahu akan hal itu.

Ayuni terus sahaja berjalan menuju ke blok kelasnya. Sebaik sahaja dia membelok ke arah tangga untuk naik ke kelasnya di tingkat tiga, tiga sosok sudah sedia menantinya di situ. Ayuni mengeluh berat. Dia menggenggam erat tali beg galasnya. Nampaknya nasib dia tidak berapa baik hari ini.

Ayuni menundukkan kepalanya. Namun, dia menjeling sekilas ke arah tiga orang pelajar perempuan di hadapannya itu yang sengaja menghalang laluannya dengan gaya gangster. Ayuni menggigit bibir. Dia tidak mampu untuk melawan tiga gadis itu. Sudah tiga tahun dia asyik menghadapi masalah ini. Sampailah sekarang dia sudah Tingkatan Empat.

"Dah lama kan kau tak belanja kami?" soal Janna Nini dengan penuh sinis.

Janna Nini. Apa ke pelik nama tersebut. Mungkin dia merasakan nama itu sungguh gempak barangkali. Antara tiga orang gadis itu, Jannalah ketuanya. Ayuni berdiam diri sahaja. Langsung tiada sepatah pun perkataan keluar daripada mulutnya.

"Berapa banyak kau bawak hari ni?" soal Janna lagi seraya berjalan mendekati Ayuni.

Ayuni melangkah ke belakang.

"Eh, kau nak pergi mana? Duk diam!" Chacha Embong pula bersuara.

Chacha Embong ini anak orang berada. Katanya Embong itu nama keturunannya dan dia sangat berbangga dengannya.

Kini, Ayuni tidak lagi dapat bergerak apabila kedua-dua bahunya dipegang oleh Chacha dan seorang lagi gengnya, Bella Astila. Bibirnya dikemam kuat. Matanya mulai terasa pedih. Itulah kelemahannya, terlalu mudah untuk mengeluarkan air mata.

"Eh, cepat sebelum pengawas nampak! Bagi duit kau. Aku tak nak cakap banyak, cepat!" arah Janna tegas.

Ayuni segera menggelengkan kepalanya dan tangannya menggenggam kedua-dua poket bajunya.

"Bella, Chacha, ambik duit dia cepat."

Bella dan Chacha terus sahaja menyelongkar kedua-dua saku baju kurung sekolah Ayuni. Tangan Ayuni yang cuba menghalang ditepis begitu sahaja. Tiada apa lagi yang mampu Ayuni lakukan selain nenangis dan merelakannya sahaja. Air mata mengalir lesu menuruni lekuk pipinya.

Tangannya menggeletar menahan rasa. Marah, takut, sedih semuanya bercampur baur. Namun, dia tiada kekuatan untuk menunjukkan perasaannya itu. Sebaik sahaja dapat apa yang mereka inginkan, Janna, Bella dan Chacha terus beredar meninggalkan Ayuni keseorangan. Gadis itu pula melangkah anak tangga satu persatu sambil tangan mengelat air mata yang tersisa.

'Ayuni, kenapa kau nangis? Kau tak bosan ke nangis selalu? Bukannya kau tak biasa macam ni,' monolog Ayuni.

Itulah kata-kata yang selalu berlegar di benaknya setiap kali dia lepas menangis. Langkahnya yang lesu dibawa ke kelas. Masuk sahaja ke dalam kelas, gelak tawa lelaki menusuk ke pendengarannya. Pandangan Ayuni terus terpaku ke arah satu wajah. Wajah yang selama ini menimbulkan satu perasaan aneh di hatinya.

Rasanya seperti dia ingin selalu memandang wajah tersebut. Wajah yang mampu membuatkan jiwa galaunya menjadi tenang. Ayuni tidak pasti perasaan apakah itu. Tetapi, apa yang pasti Ayuni suka individu tersebut. Individu tersebut ialah Ben Amri. Pelajar lelaki yang terkenal di sekolah.

Sejak di Tingkatan Dua lagi Ayuni meminati Ben. Ben sememangnya pelajar yang pintar, ramah dan penampilannya juga boleh tahan menarik. Jadi, tidak hairanlah kalau Ben menjadi kegilaan pelajar perempuan termasuklah Ayuni. Pada tahun lepas, Ayuni pernah memberitahu perasaannya itu kepada Najah. Najah semestinya menyuruh Ayuni untuk meluahkan perasaannya tetapi dunia kiamat pun belum tentu Ayuni akan lakukan.

Ya, Najah Adwa. Gadis ini sahajalah satu-satunya rakan yang Ayuni ada. Tetapi, Najah sudah bertukar sekolah ke MRSM apabila mendapat keputusan Straight A's dalam peperiksaan PT3 pada tahun lepas. Najahlah satu-satunya rakan yang dia ada untuk dia mengadu nasib di sekolah. Najah jugalah yang membantunya setiap kali dia dibuli. Kini, dia betul-betul keseorangan. Setiap esak tangis hanya dia yang menanggung.

•••••

Ayuni menyalin nota-nota sejarah di dalam bukunya. Guru sejarahnya, Cikgu Suhana sekadar meninggalkan kerja sahaja kerana beliau terpaksa menghadiri mesyuarat guru. Sekarang kelas 4 Anggerik agak hingar-bingar dengan suara penghuninya. Namun, Ayuni langsung tidak menghiraukan keadaan tersebut.

"Hahaha... aku pun pernah..."

Ayuni memanggung kepala apabila suara itu begitu jelas di pendengarannya. Tumpuannya pada kerja menyalin nota kini teralih kepada pelajar lelaki yang sedang bersembang selang beberapa buah meja di hadapannya.

Beberapa orang pelajar perempuan mendekati pelajar lelaki itu. Dan seperti mana yang semua orang tahu, Ben Amri pasti akan melayan sesiapa sahaja dengan mesra berserta senyuman yang tidak lekang di bibir. Melihat kemesraan itu menimbulkan rasa yang tidak enak di hati Ayuni.

Tetapi, Ayuni terfikir juga mengapa Ben tidak pernah menegurnya? Ah, mungkin salah Ayuni juga yang tidak pernah menyapa lelaki itu. Itulah yang difikirkan Ayuni. Mungkin kalau Ayuni ada sedikit keberanian untuk menegur Ben, Ben akan membalas dengan mesra juga. Terus terukir senyuman di bibir Ayuni.

Ayuni memasang tekad. Esok juga dia ingin menegur Ben. Ah, bukan sekadar menegur tetapi dia ingin memberitahu lelaki itu tentang perasaannya. Dia tidak boleh menangguh lagi. Kalau nasibnya baik, Ben tidak akan menghampakannya.

'Okay, Ayuni. Esok kau mesti berterus-terang. Kau mesti buat! Kau boleh!' Ayuni memasang azam di hati.

•••••

Sewaktu berjalan menuju ke rumahnya, Ayuni melintasi sebuah kedai runcit. Melihat sekilas ke dalam kedai itu, satu idea berlegar-legar di kotak fikirannya. Sewaktu ingin melangkah masuk ke dalam kedai runcit, baru dia teringat bahawa tiada satu sen pun duit yang ada dengannya sekarang. Ayuni terus berpatah balik dan langkahnya diatur lebih laju.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Satu suara lelaki menjawab salam Ayuni dari dalam rumah.

Ayuni terus masuk ke dalam rumah.

"Ayah dah nak pergi kerja ni. Elok lah Ayu pun dah balik." En. Fauzi yang duduk di atas kerusi sambil menonton televisyen berdiri.

"Eh, dah nak pergi? Minum dulu, ayah. Biar Ayu buat air sekejap."

"Takpa, tak payah. Ayah dah minum dah. Nanti pukul 4 Azim balik," ujar En. Fauzi sambil menuju ke muka pintu.

"Azim ada kelas tambahan ke?"

"Ya."

Ayuni tidak lagi bersuara melainkan memandang sahaja ayah tirinya keluar rumah. Ya, En. Fauzi merupakan ayah tiri Ayuni. Ibunya, Pn. Suhaila telah berkahwin dengan En. Fauzi sewaktu Ayuni Darjah Enam. Dia tidak pernah tahu tentang ayah kandungnya selain nama sahaja. Ibunya pula tidak pernah bercerita tentang ayah kandungnya.

Ibunya pula sudah tiada. Pn. Suhaila meninggal dunia pada awal tahun lepas akibat langgar lari. Memang sedih yang teramat sangat dirasai Ayuni pada waktu itu. Sudahlah ayah kandung tidak pernah dia lihat paras rupanya, ibu kandung pula dijemput Ilahi. Tetapi hidup perlu diteruskan.

Sejak itu, En. Fauzilah yang menjaganya bersama dua orang adik tirinya, Azim yang sekarang Darjah Enam dan Amely yang berumur 10 tahun. Ayah tirinya memang baik. Tetapi, mereka bukanlah orang senang. En. Fauzi hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah rendah Azim dan Emily. Jadi, seboleh-bolehnya Ayuni tidak ingin menyusahkan ayah tirinya daripada pelbagai aspek.

Setelah selesai mandi dan menjenguk Amely yang sedang tidur di dalam bilik, Ayuni mengambil RM10 di dalam tabungnya dan terus ke kedai.

Bersambung.....

Awak Ada Saya!Where stories live. Discover now