Bab 32 : Musuh dalam selimut

155 23 17
                                    

"A-akan ada se-seorang dari kau se-semua yang akan mengkhianati kau dari belakang. Di-diam-diam dia rancang sesuatu untuk musnahkan kepercayaan kau semua."

"Dan tuan aku akan tiba untuk musnahkan akademi dan anak-anak muridnya dan juga dunia-dunia lain!"

"Siapa tuan kau!" bentak Aiman padanya.

"Zegrath..." Terus dia rebah dan perlahan-lahan badannya berubah menjadi abu hitam dan diterbangkan oleh langit. Lepas sahaja kejadian itu terjadi, mereka sama-sama terpaku.

"Pengkhianat...," kata Lokman.

"Diantara kita?" sambung Faris.

"Ta-tapi takkanlah kita nak khianat sesama kita betul tak! Hahaha!" Haikal tahu mereka dalam situasi yang janggal sekarang tapi dia sedaya upaya membina tembok dalam minda mereka supaya tidak termakan kata-kata Pupa.

Malangnya, cara halus itu gagal. Mereka masih melayani pertanyaan dalam diri mereka.

'Betul ke apa yang Pupa cakap. Aku perlu percaya atau tidak? Tak mungkin dia orang akan memusnahkan kepercayaan kita... Tapi itu semua boleh jadi...'

Shafiq dan yang lain pulang semula ke akademi dengan wajah sugul. Kata-kata Pupa di penghujung nyawanya masih terngiang-ngiang di telinga mereka. Aiman duduk di atas katil dengan kaki terjuntai.

Dia tunduk memandang lantai sambil bermain dengan jarinya. Shafiq pula sedang berbaring merenung siling di atas katil yang sama. Lokman dan Haikal membuat hal masing-masing.

Amirul dan Raul pula duduk bertentangan antara satu sama lain. Amirul dengan wajah berkerut, ditambah pula dengan fikirannya yang sedang kusut.

Namun begitu, Raul tidak menunjukkan sebarang ekspresi. Dia menelaah telefon dengan fon telinga bersambung ke telinganya. Faris, Zul dan Faiz tiada di dalam dorm kerana keluar mencari Wan.

"Kenapa kau relaks sangat ha!" tegur Amirul setelah mengangkat kepalanya dan terlihat Raul yang dengan tenang bermain telefon.

Raul yang sedar Amirul ada bercakap sesuatu kepadanya mengalihkan perhatian sebentar daripada telefonnya. Dia mencabut sebelah fon telinganya dan mengangkat keningnya.

Amirul tidak berkata apa-apa sebalik hanya merenungnya tajam. Raul malas untuk mengambil tahu maka dia kembali melihat telefon dan memakai fon telinganya.

"Apa yang kau nak!" tengking Raul apabila Amirul secara tiba-tiba menampar tangannya menyebabkan telefonnya jatuh ke atas lantai. Suara Raul menyebabkan yang lain terus memandang mereka berdua.

"Kenapa kau tenang sangat!" Amirul berdiri daripada duduknya dan turut meninggikan suaranya. Mukanya penuh dengan kebencian yang membuak-buak.

"Jadi, apa yang kau harapkan? Muka aku berkerut seribu? Rambut kusut dengan muka pucat macam orang tak ada oksigen?" balas Raul dengan nada sarkastik.

"Aku tak harapkan sampai macam tu pun. Cuma boleh tak kau sekurang-kurangnya ambil tahu atau tunjukkan yang kau pun terkesan! Atau kau pengkhianat yang Pupa cakapkan!" tuduh Amirul.

"Orang yang menuduh orang lain nilah yang biasanya jadi musuh dalam selimut? Atau kau tuduh aku semata-mata untuk sembunyikan identiti sebenar kau? Rancangan kau nak buat yang lain ragu-ragu dengan aku untuk selamatkan diri kau dan pastikan rahsia kau tak terbongkar, betul?" dalih Raul. Sengaja sebutan 'kau' ditekan untuk menyakitkan hatinya.

"Antara semua orang, kau paling tak layak nak cakap begitu kat aku, pengkhianat!" ujar Amirul.

"Jadi, apa bezanya dengan apa yang kau lakukan sekarang?" Raul sekali lagi tenang membidas segala kata-kata yang keluar daripada mulut Amirul.

Akademi Axis : Wira & MagisWhere stories live. Discover now