Aiman [2] : Segunung Harapan

34 6 1
                                    

"Buat masa ni, kamu berehat dulu. Kalau ada apa-apa masalah, boleh panggil saya," pesan jururawat yang bertugas. Melihatkan pesakitnya yang telah terlelap, dia menarik nafas lega dan meregangkan badannya.

"Dalam masa seminggu ni, banyak sangat benda jadi. Akademi terdesak sangat sampai panggil bekas pelajar datang sini," keluh jururawat itu.

Dengan pelbagai isu yang timbul sejak akhir-akhir ini, pengetua Vincent telah memanggil beberapa bekas pelajar akademi untuk mengisi kekosongan. Sebahagiannya untuk mengisi kekosongan sebagai tenaga pengajar. Ada juga yang ditempatkan di sekitar akademi untuk mengawal pergerakan dan mengelakkan pencerobohan. Tidak lupa juga ada yang ditempatkan di bahagian kesihatan jika berlaku perkara tidak diingini seperti jururawat ini.

"Aku harap tak ad-"

Belum habis berkata-kata, tiba-tiba 'BAM!'. Bunyi pintu diterjah oleh seseorang kedengaran. Seorang lelaki berambut biru berlari melepasinya menuju ke arah katil pesakit tadi.

"Zul, tolonglah jangan mati dulu. Hutang aku kau tak bayar lagi," ujar Amirul yang tidak henti menggoncang badan rakannya itu.

Jururawat itu hanya mampu mengeluh melihat situasi itu. Dia melangkah ke arah pintu yang terbuka luas akibat diterjah oleh Amirul lalu menutupnya dengan perlahan. Baru tiga langkah dan 'BAM!', pintu itu sekali terbuka luas. Kali ini, tiga wajah terpapar. Tanpa sebarang permohonan maaf, mereka bertiga turut meluru ke arah katil yang sama.

"Kau okay tak?" soal Shafiq yang ditemani oleh Haikal dan Lokman.

Jururawat itu hanya mampu melihat dengan pandangan yang kelam. Dia sekali lagi mengeluh sebelum menutup kembali pintu tadi. Lima langkah dan dia terdengar bunyi pintu diketuk.

"Masuk," arah jururawat itu.

Pintu dikuak perlahan sehingga wajah seorang pelajar lelaki dapat dilihat olehnya. Di tangannya terdapat buah tangan; kemungkinan besar untuk rakannya yang berada di sini. Jururawat itu terharu kerana akhirnya, ada juga pelajar yang cukup beradab untuk mengetuk pintu sebelum masuk.

"Saya Aiman. Saya datang untuk melawat Z-"

"Zul!" Faris muncul daripada belakang Aiman dan terus menerjah masuk.

"Saya minta maaf untuk semua ni," ucap Aiman bukan sahaja memohon maaf tentang kelakuan Faris tadi, malah rakan-rakannya yang lain yang turut berada di situ.

"Tak apa. Saya dah biasa dengan semua ni." Satu penipuan yang amat jelas, lebih jelas berbanding televisyen berdefinisi tinggi.

Aiman hanya melemparkan satu senyuman manis sebelum melangkah ke arah katil Zul. Jururawat turut membalas senyuman itu namun ianya tidak kekal lama melihatkan pintu yang ternganga luas. Baru sahaja ingin melangkah ke arah pintu, seorang lagi remaja lelaki muncul.

"Zul mana?" Jururawat menjawab soalan itu dengan menuding jarinya ke arah katil yang sedang dikerumuni oleh sebilangan pelajar.

"Faiz, pergi tutup pintu. Tu-" Belum sempat Aiman menyampaikan arahan, Faiz sudah bertindak. 'BAM!', bunyi pintu bergema dari koridor ke bangunan sebelah.

"-tup elok-elok." Aiman hanya mampu mengurut dahinya, dia sendiri hilang semangat ingin memarahi rakannya itu.

"Zul, apa jadi?"

"Kau okay tak?

"Weyh, Aiman ada bawa buah tangan ni."

"Jangan mati dulu, bayar hutang aku lepastu buatlah suka hati kau."

Situasi yang agak huru-hara itu bukan sahaja memeningkan kepala Aiman malah jururawat juga hanya mampu menggelengkan kepalanya. Aiman ingin rakan-rakannya agar beradab sedikit namun dia sendiri tidak mampu mengawal situasi ini.

Akademi Axis : Wira & MagisWhere stories live. Discover now