Bab 34 : Hakikat Yang Sebenar

95 17 1
                                    

Raul berjalan laju di sepanjang kaki lima. Bunyi cengkerik serta burung hantu langsung tidak menggentarkan hatinya walaupun sedikit. Dalam kepalanya, dia cuma ingin Izz. Di mana Izz? Itu sahaja yang berada dalam kepala otaknya. Apabila susuk tubuh orang yang amat dicarinya dilihat, Raul terus menolak dia ke dinding dengan kuat membuatkan Izz mengaduh kesakitan. Sebelum badan Izz terkujur di atas lantai, Raul mencekik lehernya dan sekali lagi menghempaskan Izz ke dinding.

"A-apa ka-kau buat ni?" Izz menepuk-nepuk tangan Raul yang berada di lehernya dan menghayunkan kakinya yang tidak menjejak tanah untuk melepaskan diri.

Soalan Izz dibiarkan tidak terjawab. Raul semakin menguatkan cengkamannya membuatkan Izz sukar untuk bernafas. Muka Izz semakin pucat dan matanya semakin layu. Melihat keadaan Izz yang hampir pengsan itu, Raul menarik kembali tangannya daripada leher Izz. Izz jatuh tertiarap ke atas lantai sambil bernafas tercungap-cungap, cuba mengembalikan oksigen ke dalam badannya.

Raul yang masih dengan api amarahnya memusingkan badan Izz dengan kasar untuk menghadapnya. Pandangan tajam yang diberikan oleh Raul kepada Izz membuatkannya menggigil ketakutan. Tambahan pula, dia langsung tidak tahu apa sebab Raul berbuat sedemikian. Mereka berdua telah melakukan banyak benda bersama namun dia tidak pernah melihat keadaan Raul sebegitu. Raul yang amat tenang dan berpandangan jauh kini di matanya, dia cuma melihat keberangan dan tekanan.

"Apa kau buat ni?" Izz sekali lagi mengajukan soalan yang sama seperti sebentar tadi dengan nada yang agak lemah. Raul mengeluarkan sehelai kertas daripada poket seluarnya lalu membacanya.

"...Bergembiralah dengan kuasa baru masing-masing." Raul melipat kembali kertas atau secara jelasnya, surat Izz. Dia kemudiannya mengalihkan pandangan matanya ke arah Izz yang masih terbaring lemah.

"Kau tahu apa silap kau?" Raul mencangkung di sebelah Izz dan memberikannya pandangan yang jauh lebih menakutkan berbanding tadi. Otak Izz ligat memikirkan segala kemungkinan namun keadaannya yang tidak bermaya tidak membantunya.

"Macam mana kau boleh tahu kuasa kita orang tertukar?" soal Raul sambil mencengkam kedua-dua belah rahang Izz dengan tangan kanannya.

"Kau patut bersyukur aku yang sedar benda ni. Cuba bayangkan orang lain yang sedar ni, dia orang akan ragu-ragu dengan kau. Tanpa kau sedar, kau dah jadi buruan akademi. Itu pun Shafiq dah perasan ada benda pelik. Nasib baik aku terdengar semua perbualan dia." Raul meraup wajahnya dan mengeluh berat.

"Plamya ( Flame)." Tangan Raul mengeluarkan api yang sederhana saiz cukup untuk membuatkan surat Izz di tangannya hancur menjadi abu.

Ketika Raul sedang mengurut kepalanya yang tengah pusing demi mencari jalan penyelesaian, dia terlihat satu bayang di ekor matanya. Pada awalnya, dia meyakinkan dirinya yang itu hanya imaginasinya semata-mata. Namun begitu, sebahagian dirinya mengatakan yang dia perlu berhati-hati.

Jadi, dia kembali berdiri di sebelah Izz yang masih terbaring dan bercakap kepadanya walhal matanya tertumpu di sudut kelibat itu dilihat olehnya. Betul sangkaannya, sememangnya ada seseorang yang sedang memerhatikan dia dan Izz.

Raul terus memalingkan kepalanya untuk melihat siapa orang yang mengintai mereka tetapi dia sedikit lambat. Raul cuba mencari jalan lain dan dia bernasib baik, terdapat sebuah cermin bertentangan. Maka, dia mengambil keputusan untuk memanfaatkan kelebihan tersebut.

Jikalau orang tersebut tidak bermakna baginya, sudah pasti dia akan menjadi mangsa amarah Raul. Malangnya, orang itu ialah seorang lelaki yang rapat dengannya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengawal emosinya.

Di sebelah yang lain pula...

"Dia nampak aku tak rasanya?" Jantung lelaki itu berdegup kencang kerana rasa gementar. Namun, itu tidak menghalangnya daripada terus berada di situ.

Akademi Axis : Wira & MagisWhere stories live. Discover now