Susuk perempuan yang sedang duduk di bangku luar bilik wad itu di dekati. Laikha pasang senyuman sebelum kakinya benar-benar dipasakkan di hadapan perempuan itu.
"Errr..."
Perempuan itu mengangkat muka. Melihat Laikha yang sudah sedarkan diri itu membuatkan wajahnya disimbah rasa lega yang teramat.
"Alhamdulillah, awak tak apa-apa?" Laju sahaja dia bangun dari duduk.
Seraut wajah gadis itu ditatap. Ada calar di tepi dahi, namun syukurlah tak teruk mana.
Melihat keprihatinan perempuan itu, Laikha mengulum senyuman. Ya Allah, baiknya dia. Tak kenal pun, tapi prihatinnya mengalahkan orang terdekat.
"Alhamdulillah, saya dah tak apa-apa. Terima kasih ya risaukan saya." Laikha tersenyum manis.
Kemudian, matanya terus melilau ke belakang perempuan itu. Tiada siapa.
"Awak cari apa?" soal perempuan itu bingung. Melihat ulah Laikha, dia juga turut serta menoleh belakang.
Seakan tersedar dengan sikap sendiri, Laikha terus menggeleng. "Errr...tak ada apa-apalah." Aduh, sikit lagi kantoi!
Perempuan itu senyum. "Awak dah okey ke ni?"
Mendengar itu, Laikha mengangguk.
"Tak perlu risaulah. Saya dah sepenuhnya okey. Maaf kalau saya banyak menyusahkan awak. Kalau awak nak balik, baliklah. Saya boleh jaga diri saya sendiri." Lembut sahaja suara Laikha berkata.
"Betul ni?" Perempuan itu meminta kepastian.
Laikha mengangguk, yakin!
"Baiklah kalau macam tu, saya balik dululah ya. Jaga diri elok-elok. By the way, nama saya Cyra."
Jabatan tangan itu disambut dengan senyuman di wajah.
"Laikha."
*****
Syukurlah, dia dah boleh keluar dari hospital ni. Walaupun tak sampai tujuh jam dia sedar, tetap saja dia tak betah berlama-lama di sini. Sesak!
Cuma satu masalahnya. Dia nak pergi mana?
Jujurnya, tergerak juga hatinya nak lari dari rumah. Tapi dia tak sanggup. Nampak macam tak tahu nak bersyukur dan berterima kasih pula bila buat begitu.
Tidak, Laikha bukanlah jenis yang suka bertindak melulu. Hanya sahaja sekarang ni dia perlukan masa untuk bertenang. Bahu dan telinga ni juga ada limit. Mungkin Tuhan sengaja berikan dia ujian ini untuk kebaikannya sendiri.
Ya, dia rasa bebas sekarang. Tapi tidak dengan fobia yang perlu dia hadapi saat ini.
Perlahan-lahan, Laikha berlalu ke pintu keluar utama hospital itu. Jantungnya berdetak kencang. Keringat dingin mula menghiasi tepi dahinya.
Setiap kali ada lelaki melintasinya, lututnya terasa lemah. Ringan sahaja mulutnya ingin menjerit tapi digagahkan juga diri untuk menahan fobia ini.
Kenapalah ketakutan ni ada padanya? Boleh gila Laikha begini kerana kumbang di dunia ni bukan seekor!
Sebaik sahaja dia berada di perhentian bas yang terletak di hadapan hospital itu, Laikha terus duduk di bangku tersedia. Dengan otak yang berserabut, wajahnya ditekup menggunakan kedua telapak tangan.
Beberapa lama begitu, Laikha akhirnya mengangkat wajahnya. Pandangan kini dilemparkan ke hadapan jalan. Kosong. Sekarang dia nak pergi mana?
Tiba-tiba, air mata kembali bergenang saat mengenang nasib diri. Kenapa sebegini sekali takdirnya? Sudahlah hidupnya tak ubah seperti di penjara dunia. Ditambah lagi, dia harus bertahan dengan fobia kedua yang baru menimpanya. Ya, dua fobia!
YOU ARE READING
| C | CARLO : THE SILENT DESTINY
Lãng mạn'Let go of your fears of starting over' || Known as Carlo Revino, Han Dylen's Bodyguard Malaikha Amanda. Gadis yang hidup sekadar menumpang di rumah mewah namun tak ubah seperti penjara dunia. Dipukul, didera, dimaki. Apa sebenarnya salah dia sampai...