BAB 4

5.8K 215 10
                                    

"SILAKAN masuk, tuan puteri." Senyuman paling manis Muiz hadiahkan untuk Mahairah. Dia tahu, Mahairah tengah bengang dengan dirinya. Apa tidaknya, pukul dua petang baru dia nak hantar Mahairah ke KFC.

Mahairah mencerlung tajam tangan Muiz yang memegang pintu kaca itu. Ikutkan hati, ingin ditendang-tendang lelaki itu. Mujurlah imannya masih tebal.

"Lepas ni jangan datang sini lagi. Anggap ajelah ini pertemuan pertama dan terakhir kita. Sejak kau muncul dalam hidup aku semuanya hancur. Jangan disebabkan kau, aku diberhentikan kerja atau aku sendiri yang berhenti kerja." Tegas Mahairah.

"Ini KFC. Sesiapa pun boleh datang, sayang. Termasuklah aku dan aku takkan berhenti daripada kejar kau sampailah kau sudi jadi isteri aku." Kata Muiz bersahaja.

"Sampai bila-bila pun aku tak ingin jadi isteri kau. Kau sukakan Um..."

"Wah, seronok masuk lambat?"

Kata-kata Mahairah terhenti tatkala suara seseorang menerjah halwa telinganya. Tertelan liur Mahairah dibuatnya memandang mimik muka bengis Mastura, iaitu penyelianya.

"Err... kak, saya..."

"Apa alasan kau kali ni? Sekarang ni waktu bekerja. Kalau kau rasa nak bercinta 24 jam, silakan berhenti kerja. Kau ingat Si Amy tu babu kau ke? Sesuka hati masuk kerja lambat!" Marah Mastura.

Muiz sakit hati melihat wanitanya dimarahi oleh gadis berbadan gempal itu. Lantas dia berdiri di hadapan Mahairah. Ditolak Mahairah ke belakang tubuhnya. Gayanya persis seorang ayah sedang melindungi anaknya.

"Apa hak kau nak marah bakal isteri aku?!" Suara Muiz melengking tinggi. Tidak dihiraukan lagi pandangan sinis para pelanggan di situ. Satu cubitan yang dihadiahkan oleh Mahairah turut tidak diendahkan.

Mastura tercengang. Ini yang dia menyampah ni. Dan-dan pulalah lelaki asing ini nak membela pekerjanya yang terang-terang melakukan kesalahan.

"Saya tak marah. Saya tegur dia. Sepatutnya dia masuk pagi tadi. Sekarang ni dah pukul dua petang, encik. KFC ni bukan bapak dia punya," ujar Mastura. Senada.

"Kalau tegur perlu ke depan pelanggan? Kau saja nak malukan Mahairah, kan? Kau nak makan guna straw ke lepas ni?" Muiz menggertak Mastura di hujung ayatnya.

Mastura mengerutkan dahinya.

"Kau ingat aku tak cam muka kau, perempuan? Kau pernah ikut pakwe kau pergi pinjam duit dekat bos aku, kan?" Sinis Muiz.

Mastura bungkam.

"Sekarang kau tahu, kan aku siapa? Jadi, kau jangan menyibuk hal aku dengan Mahairah. Suka hati dialah nak buat apa pun. Kalau dia nak buat KFC ni macam bapak dia punya pun apa masalah kau?!" Marah Muiz lagi.

Terkejip-kejip mata Mastura memandang lelaki itu. Dia sudah melakukan satu kesilapan besar. Habislah... tidak tenanglah hidup dia lepas ini. Dia dah cari masalah dengan orang yang salah.

"Muiz, apa kau buat ni?" Bisik Mahairah di belakang Muiz. Sungguh dia tidak selesa dengan cara Muiz memarahi penyelianya. Nyatanya, memang dia salah kerana curi tulang.

"Abang cuma nak bela nasib sayang. Nenek lampir ni tak sepatutnya marah sayang depan orang ramai. Ah, sudahlah. Sayang berhenti ajelah kerja. Kita kahwin cepat-cepat. Abang boleh tanggung sayang," ujar Muiz bersahaja.

Membulat mata Mahairah. Ya Allah, mulut jantan ni. Bila masa pulalah aku jadi sayang dia ni? Menyakitkan hati sungguhlah. Dia ni sakit mental agaknya, getus hati kecilnya.

Tidak betah berada di belakang Muiz, Mahairah beranjak ke tepi. Dipandang sekali lalu mimik muka jengkel penyelianya. Mesti Mastura tengah maki hamun dia dalam hati sekarang ni.

"Hei, nenek lampir. Kau ingat ayat aku ni, ye! Satu Batu Pahat kenal aku siapa. Kalau kau atau sesiapa pun la berani cari pasal dengan bakal isteri aku. Kau orang kena berdepan dengan aku." Amaran Muiz. Mastura kecut perut.

"Iz, sudahlah!" Bisik Mahairah.

"Ya, abang nak berhentilah ni. Sayang kerja baik-baik. Jangan risau. Mata-mata abang akan selalu perhatikan sayang dari jauh. Abang akan pastikan secebis kuman pun tak hinggap dekat sayang." Kata Muiz sambil mencerlung Mastura yang masih kaku di hadapannya.

"Kau merepek apa ni, Iz?" Mahairah naik serabut dengan perangai pelik lelaki itu. Kenapalah takdir tu pertemukan aku dengan dia, keluhnya dalam hati.

"Abang balik dulu. Jaga diri baik-baik sayang. Terima kasih temankan abang tengok wayang tadi. Kirim salam dekat bakal bapa mentua abang." Pamit Muiz sebelum beredar meninggalkan Mahairah yang terpinga-pinga.

Mental punya jantan!

"Kau bercinta ke dengan lelaki tu, Mairah?" soal Mastura bernada dingin setelah kelibat Muiz semakin hilang dari radar.

Beria-ia Mahairah menggelengkan kepalanya. Tanda menafikan tekaan penyelianya itu. "Tak, kak. Saya tak bercinta dengan dia. Dia tu bekas pelajar sekolah saya dulu. Dia syok dekat adik saya. Bukan saya."

"Dah tu, kenapa dia layan kau macam kau ni kekasih dia? Dia tak boleh bezakan ke kau dengan adik kau?" soal Mastura. Ingin tahu.

Mahairah menjungkit bahu. "Saya tak tahu, kak. Mungkin dalam otak dia tu ada wayar putus agaknya sampai tak boleh bezakan saya dengan adik saya."

"Kau tahu tak dia tu ahli kongsi gel..."

"Sayang!"

Macam nak putus nafas Mastura bila suara nyaring Muiz tiba-tiba bergema memanggil Mahairah. Nasib baiklah dia tak terlepas cakap lagi.

"Ya Allah, malapetaka betullah." Mahairah berdecit perlahan. Tak tenang hidupnya hari ini dek diganggu oleh Muiz.

Muiz menghampiri Mahairah lalu digenggam kemas pergelangan tangan gadis itu. Dia menjeling lagi Mastura di hadapannya.

"Abang nak balik tapi baru beberapa langkah abang jalan, hati abang dah rindu dekat sayang. Hari ni abang nak tunggu sayanglah. Sayang balik pukul sepuluh malam, kan? Abang duduk situ. Tunggu sampai sayang habis kerja." Usul Muiz sambil menudingkan jarinya ke arah meja kecil yang terletak berdekatan dengan tempat cashier.

"Muiz, kepala otak kau ada wayar putus ke? Kenapa kau pelik sangat hari ni? Boleh tak jangan ganggu waktu kerja aku?" Terkacip-kacip gigi Mahairah menahan marah.

"Tak baik cakap dalam otak abang ada wayar putus. Abang normal, tau! Ala, kita kenalah manja-manja sebelum kahwin. Betul tak?"

"Kau pergilah manja-manja dengan perempuan nama Julie tu. Jangan ganggu waktu bekerja aku." Tegas Mahairah.

"Wah, Mahairah cemburu. Maksudnya, sayang suka abang jugalah, kan? Kalau suka cakap ajelah suka. Jangan jual mahal." Muiz tersengih-sengih persis kerang busuk.

"Go to hell!" Usai berkata sedemikian, Mahairah merentap tangannya dan meninggalkan Muiz.

"Abang tak nak go to hell tapi abang nak go to pelamin dengan sayang!" Jerit Muiz bagaikan tiada perasaan malu dalam dirinya.

Mastura pula yang malu bagi pihak Muiz. Orang dah tak nak tu sedarlah diri. Geli-geleman pula dia tengok perangai tak semenggah Muiz. Hilang terus keganasannya. Tetapi, bila Muiz merapatinya, dia kecut semula.

"Kalau kau beritahu Mahairah tentang aku, aku akan pastikan mayat teman lelaki kau tergantung di hadapan rumah kau." Bisik Muiz berbaur amaran.

Gulp!

HIS MAFIA SIDE [C]Where stories live. Discover now