BAB 5

6K 195 5
                                    

"MAMA nampak ada cincin emas dekat atas meja solek dalam bilik Iz. Tengok gaya macam mahal sangat. Ada belikan untuk sesiapa ke?"

Langkah Muiz untuk ke dapur tergendala. Dia berpaling memandang Puan Aminah. Dia merengus kasar.

"Kalau Iz belikan untuk sesiapa pun apa kena mengena dengan mak cik?"

Sebenarnya, Muiz dah bosan duduk satu rumah dengan ibu tirinya. Tapi, disebabkan amanah arwah ayahnya agar dia menjaga Puan Aminah yang mengalami lumpuh di kedua-dua belah kaki, dia terpaksa turutkan.

Mungkin balasan daripada Tuhan. Dahulu, wanita ini telah merampas arwah ayahnya daripada arwah ibunya. Sekarang, wanita ini telah menerima akibatnya. Puan Aminah mengalami lumpuh di kedua-dua belah kaki akibat daripada kemalangan empat tahun yang lalu manakala ayahnya meninggal dunia di tempat kejadian.

Puan Aminah melepaskan keluhan berat. "Mama ni dah menyusahkan hidup Iz ke? Iz bencikan mama?"

Memang! Memang aku bencikan kau. Disebabkan kau, mak aku mati akibat kemurungan, bentak Muiz dalam hati.

"Kalau mak cik tak ada benda nak cakap tak payah cakap. Urusan peribadi saya mak cik jangan sibuk. Kira bersyukurlah saya tak campak mak cik dekat rumah orang-orang tua," balas Muiz. Berang.

Puan Aminah mengukirkan senyuman kelat. Dia terpaksa menelan pahit-pahit kebencian anak tirinya itu kepadanya. Dia akui kesilapan lampaunya. Tergamak rampas kebahagiaan kawan baik sendiri akibat diri sendiri gagal untuk bahagia.

"Iz tak melawat Hasya dekat Rumah Titian Kasih? Dah lima bulan rasanya Iz tak melawat dia, kan?" soal Puan Aminah. Cuba mengalihkan topik perbualan mereka.

Muiz bengang. Baik-baik dia dah boleh lupakan nama itu. Wanita tua itu sengaja nak buat dia rasa serba salah. Dia memandang tunak ke dalam mata Puan Aminah.

"Lantak dialah sana. Dia dah besar. Bukan budak-budak lagi. Pandai-pandailah dia hidup. Yang campak dia ke sana pun emak dia sendiri!" Jerkahnya.

"Tapi, Hasya tu, kan masih lagi..."

"Dahlah, mak cik. Diamlah! Serabutlah aku dengan kau ni!" Herdik Muiz. Rambutnya disebak ke belakang.

Puan Aminah tersentap. Hilang terus kata-kata yang ingin dilontarkan. Dia menunduk menekur lantai.

REDUP pandangannya memandang patung yang dibuat daripada tanah liat itu. Gadis kecil berusia empat tahun itu duduk termenung di tepi pokok-pokok bunga yang terdapat di Rumah Titian Kasih.

Sedikit pun dia tidak gemar bermain-main dengan anak-anak kecil lain. Perasaan rindunya kepada sosok tubuh itu semakin menggebu-gebu.

"Sya... kenapa tak ikut kawan-kawan main?" soal satu suara.

Hasya mendongak memandang pemilik suara itu. Terkejip-kejip matanya memandang wanita bertudung labuh yang sudah diperlakukan seperti ibunya sendiri.

"Tak nak... Sya nak ayah..." Sayu suara Hasya.

Qaseh, selaku pemilik Rumah Titian Kasih itu memandang redup ke dalam mata gadis cilik itu. Dia bertinggung di hadapan Hasya lalu pipi gebu itu diusap-usap.

"Papa sibuk agaknya. Nanti dia datanglah tu." Katanya.

"Bila?" soal Hasya, berharap.

"Tak apa. Nanti ibu cuba telefonkan ayah untuk Hasya, ye?" Pujuk Qaseh. Berharap Hasya mengerti.

"Janji?"

"Janji."

Hasya mendepangkan tangannya. Ingin didukung oleh Qaseh. Lantas Qaseh menggendong anak itu dan membawanya masuk ke dalam rumah.

SEPERTI kebiasaannya, Muiz datang ke tempat kerja Mahairah bersama satu beg plastik berjenama Peach. Dengan lagak angkuh, dia melangkah masuk.

"Aduh, malapetaka betul." Gumam Mahairah bila nampak kelibat lelaki yang dibenci. Mesti mood kerjanya terganggu lagi.

"Datang dah hero kau." Sinis Mastura.

Muiz megenyitkan matanya. Rasa bahagia pula bila dipandang begitu oleh Mahairah. Dia kacak sangat agaknya hari ni. Sebab tu Mahairah tergoda.

Aww!

"Selamat petang, sayang!" Muiz sengaja menyapa dengan lantunan suara yang kuat. Seolah-olah nak memberitahu satu restoran yang Mahairah itu miliknya.

"Hoi!" Mahairah kaget. Mukanya berona merah menahan malu.

"Tak baik hoi-hoi bakal suami. Abang gigit bibir tu nanti baru tahu!"

Mastura buat aksi nak muntah. Kalaulah dia diberikan peluang. Ingin sahaja dibakar Muiz hidup-hidup. Tapi, cari pasal dengan lelaki itu umpama dia sedang menempah maut.

"Sejak bila..."

"Tak lama lagi. Oh, ya. Abang ada belikan sayang seluar dekat Butik Peach dalam Aeon Big tu. Sayang pakailah buat jalan-jalan. Abang nampak seluar tu cantik. Itu yang abang beli. Mahal ni. RM65.00." Muiz hulurkan beg plastik itu kepada Mahairah.

Teragak-agak Mahairah menyambut huluran itu dengan harapan Muiz akan beredar. Ternyata telahannya silap. Eh, boleh pula lelaki itu masih tercongok di hadapannya.

"Kalau rasa nak bercinta pergi tempat lain. Orang lain lapar nak order makan." Marah satu suara garau di belakang Muiz.

Muiz berdecit. Dia menoleh ke belakang. Dia merapatkan bibirnya ke telinga kiri lelaki tua berkopiah kuning itu. Dia membisikkan sesuatu.

"Kau rasa nak aku hantar kau pergi wad ICU atau ke syurga terus? Jangan main-main dengan aku." Bisik Muiz. Kerambit kecil di saku seluarnya dikeluarkan dan ditekan sedikit ke tepi pinggang lelaki tua itu.

Lelaki tua berkopiah kuning itu tergamam mendengar ugutan itu. Lantas dia berlari keluar dari KFC tanpa sempat memesan makanan.

Muiz mempamerkan senyuman sinis. Seronok bila tengok semua orang takut akan dirinya. Kerambit disimpan kembali. Disebabkan bentuknya yang kecil, sukar untuk orang lain melihat dia sedang memegang benda itu. Walaupun kecil, tajamnya tidak boleh dibuat main.

Ehem!

"Tak apalah, sayang. Malam nanti abang datang rumah sayang. Nak jumpa ayah. Sayang jangan lari. Ada yang abang terkam awal-awal nanti." Kata Muiz sebelum beredar. Caranya macam tak ada apa-apa berlaku.

Mahairah tercengang. Dia tengah berada dalam filem ke sekarang ni? Semuanya berlaku secara drastik. Sejak Muiz muncul ke dalam hidupnya, semuanya jadi kucar-kacir.

"Dia tu syaitan yang bertopengkan malaikat, Mairah. Kau kena hati-hati dengan dia. Dia tu  lebih teruk daripada iblis." Kata Mastura sebelum berlalu pergi.

HIS MAFIA SIDE [C]Where stories live. Discover now