BAB 11

5K 178 3
                                    

JARI-JEMARI tembam itu bergerak-gerak kecil menandakan ada respons positif daripada sekujur tubuh yang terbaring kaku di atas katil hospital. Cepat-cepat Encik Radzi merapati anak gadisnya. Hati tuanya menangis hiba setelah mengetahui anak sulungnya kemalangan. Mujurlah Mahairah tidak apa-apa.

"Mairah, bangun. Mairah okey aje, kan?" Lembut suara Encik Radzi memanggil anak perempuannya. Kepala Mahairah diusap-usap.

Sayup-sayup kedengaran satu suara yang amat dia kenali. Mahairah membuka sepasang matanya. Terpampang raut wajah sayu bapanya. Dia melirik ke kiri. Kelihatan satu sosok figura yang agak lama tidak dia temui.

"Umai..."

"Akak dah sedar? Alhamdulillah..." Umairah bergegas mendapatkan Mahairah tatkala namanya dipanggil. Tangan Mahairah digenggam kemas.

Tipulah kalau dia tidak terkesan dengan nasib yang menimpa kakaknya. Sebaik sahaja mendapat tahu Mahairah kemalangan, Umairah bergegas pulang ke terataknya. Dia ingin menemankan bapanya sekali gus mengambil tahu keadaan kakaknya.

"Ap... Apa yang jadi?" soal Mahairah kepada adik dan bapanya. Ingatannya samar-samar.

"Mairah kemalangan dua hari lepas. Baru hari ni Mairah sedarkan diri. Baba risau. Umai pun risau." Beritahu Encik Radzi. Matanya bergenang.

Mahairah membisu. Dia cuba mengimbau kembali kejadian itu. Perlahan-lahan dia ingat semula. Nama Muiz terdetik dalam hatinya.

"Mu... Muiz macam mana, baba?"

"Akak tak usahlah ambil tahu tentang dia. Umai yakin. Disebabkan dialah akak kemalangan." Suara Umairah berubah tegang apabila Mahairah menyeru nama Muiz Aiman.

"Umai..." Tegur Encik Radzi.

Kemarahan Umairah yang semakin meledak tidak dihiraukan. Sejahat-jahat Muiz pun, lelaki itu turut kemalangan bersama dia. Tidak salah rasanya dia ambil tahu tentang lelaki itu.

"Baba." Panggilnya.

"Muiz ada juga dalam hospital ni. Dia pun tak sedarkan diri lagi. Kawan dia ada jaga dia," beritahu Encik Radzi.

"Dia tak apa-apa, kan?"

"Insya-Allah dia tak apa-apa. Buat masa ni dia tak sedarkan diri lagi. Kita doakanlah dia tak apa-apa."

Mahairah memejamkan matanya. Satu keluhan berat dilepaskan. Tangannya yang digenggam kemas oleh Umairah dilepas perlahan.

"BODOH piang kau ni, Iz. Aku dah cakap dah jangan buat benda bodoh tapi kau buat juga. Tak pasal-pasal terlantar atas katil hospital macam ni. Kalau tak disebabkan Robert suruh jaga kau. Dah lama aku tekap muka kau pakai bantal biar mati terus." Bebel Afiq.

Bukan niatnya ingin menganiaya sahabat tapi kadangkala fiil Muiz memang menyebalkan. Sesak dadanya bila mendapat tahu Muiz kemalangan bersama Mahairah.

Dia kenal Muiz bukan sekejap. Dah lama. Muiz sangat berhati-hati ketika memandu. Kalau kawannya kemalangan maksudnya mesti ada sesuatu yang berlaku di dalam kereta. Mungkin Muiz bergelut dengan Mahairah?

Punggung dihempas kembali ke atas kerusi apabila satu sosok tubuh tinggi lampai melangkah masuk ke dalam ruangan persendirian yang menempatkan Muiz. Doktor Radj merupakan doktor yang merawat Muiz sejak hari pertama Muiz berada di hospital itu.

"Result dah keluar. Encik Afiq dah hubungi waris pesakit?" soal Doktor Radj.

"Saya waris dia, doktor. Parents dia dah tak ada. Saya yang jaga dia sekarang." Beritahu Afiq. Dia bukannya tak nak telefon Puan Aminah tapi dia jelas sangat dengan keretakan hubungan Muiz dengan ibu tirinya itu.

"Baiklah kalau begitu. Apa yang saya nak beritahu ni mungkin tak sedap didengar tapi tahap kesihatan pesakit adalah keutamaan saya."

"Kenapa dengan kawan saya, doktor?" Afiq mula risau.

"Encik Muiz mengalami transient global amnesia. Di mana beliau mungkin tak akan mengingati kejadian tertentu baik masa lampau ataupun sekarang." Jelas Doktor Radj.

Afiq tergamam.

"Mak... Maksud, doktor?"

"Berlaku kecederaan di kepala Encik Muiz akibat daripada kemalangan yang dihadapi. Walau bagaimanapun, TGA bukanlah satu penyakit amnesia jangka panjang. Encik Muiz boleh mengingat kembali kalau penyakitnya berjaya di atasi. Selain tanggungjawab pihak hospital, encik juga boleh turut membantu Encik Muiz untuk mengingat semula," ujar Doktor Radj.

Sekali lagi Afiq terkedu. Dia tidak sanggup sekiranya Muiz melupakan dirinya. Sudahlah Muiz satu-satunya kawan rapat yang dia ada.

"Biasanya berapa lama penyakit ni boleh pulih, doktor?" soal Afiq.

"Ikut pada pesakit juga. Namun, pesakit tak boleh memaksa memorinya untuk kembali dalam jangka masa yang cepat. Semuanya perlukan masa."

Afiq menekur lantai. Kedua-dua belah telapak tangan meraup wajah. Pasti banyak perkara berubah sebaik sahaja Muiz sedar nanti.

HIS MAFIA SIDE [C]Where stories live. Discover now