Bab 70

5.8K 186 17
                                    

SUNYI. Seorang duduk di tangga manakala seorang lagi bersandar di dinding. Hanya mata saling bertembung seolah-olah meluahkan rasa rindu dalam hati masing-masing. Lama mereka membisukan diri sebelum Mahairah sendiri yang membuka bicara.

"Awak buat apa datang hotel ni?" soalnya. Jauh di sudut hati amat berharap yang Muiz tidak lagi mengulang kembali kejadian lama apatah lagi bekerja seperti itu.

"Jadi gigolo." Sepatah.

Membulat mata Mahairah. Spontan, dia menampar lengan lelaki itu. Sedar akan keterlanjurannya. Cepat-cepat tangannya ditarik semula.

"Minta kerja. Housekeeping. Tapi tak tahulah dapat ke tidak. Bekas banduan, kan?" Muiz sengih.

"Insya-Allah dapat. Saya doakan."

"Habis tu, kau pula macam mana? Semakin cantik. Semakin kurus. Pandai suami baru kau jaga. Dah jadi isteri tentera, kan? Mesti bahagia hidup kau."

Perlahan-lahan raut wajah Mahairah berubah. Terkejip-kejip matanya memandang sisi muka bekas suaminya itu.

"Dah ada anak belum?"

Sekali lagi soalan cepumas itu menyesakkan dadanya. Takkanlah Muiz tidak tahu apa yang berlaku? Enam tahun lelaki itu di dalam takkanlah Puan Aminah tidak ada cerita apa-apa, kut?

"Mama tiri awak tak beritahu ke apa yang jadi selama enam tahun awak dekat dalam tu?" soalnya.

Muiz pandang Mahairah lalu dia mengangguk. "Ada. Dia cakap kau dah tunang dengan lelaki lain. Lepas tu dia ada beritahu yang family kau tak suka kehadiran dia dengan Hasya. Itu sahaja."

Mahairah memberanikan diri untuk mengambil tempat duduk di sebelah Muiz. Dia berfikir sebelum melontarkan apa yang hendak dia lontarkan kepada lelaki itu.

"Kita orang cuma sempat bertunang. Tak sempat kahwin. Cuma Umai saja yang kahwin. Saya dengan lelaki tu tak ada jodoh." Beritahunya.

"Kenapa pulak?"

"Sebab kami tak sehaluan. Dia terlalu sibuk dengan kerja. Saya pula tak kuat untuk menunggu. Jadi isteri seorang tentera bukan mudah. Hati pun kena cekal macam tak ada perasaan. Betul tak?"

"Sama aja pun situasinya kalau kau jadi isteri seorang mafia. Hati kau kena cekal. Lagi-lagi kena reda makan duit haram." Sempat Muiz menyindir perempuan itu. Siapa suruh minta cerai. Padan muka dialah.

"Sekurang-kurangnya saya tahu awak takkan ulang benda tu lagi. Sekurang-kurangnya saya boleh tengok awak hari-hari." Balas Mahairah. Senada.

Muiz menghamburkan gelak sinis. "Aku ni bukan yang terbaik untuk kau. Sebab tu kau minta cerai. Lepas tu sekarang ni kau nak apa? Nak tackle aku semula ke?"

"Saya minta cerai sebab baba suruh. Sebab baba cakap awak dah tak mampu nak bayar nafkah. Sebab baba cakap awak bahaya." Beritahu Mahairah bersungguh-sungguh.

"Dah tu ikut ajelah cakap baba kau. Anak yang baik, kan? Dengar cakap orang tua sampai sanggup buang suami sendiri." Selar Muiz lagi.

Mahairah menggelengkan kepalanya. Beria-ia dia menafikan kenyataan Muiz. Tidak pernah terdetik langsung dalam hatinya nak membuang Muiz. Hanya keadaan yang memaksa dia melakukan itu.

"Saya harap awak lupakan apa yang dah berlaku. Past is past. Baba pun dah lama maafkan awak. Sebab baba tahu, semakin dia membenci awak, semakin dia menyeksa diri saya."

"Jadi kau nak apa sekarang ni?"

"Jom, kahwin semula. Nak?"

Muiz terbatuk. Eh, perempuan ni. Tak tahu malu betul. Dah buang aku jauh-jauh. Tiba-tiba nak aku semula, gerutunya dalam hati.

"Aku tak nak." Balasnya.

"Please, Muiz. Saya dah kehilangan awak selama enam tahun. Saya tak nak hilang awak lagi. Kisah silam awak memang teruk tapi saya tak nak ingat dah. Jomlah, kahwin semula. Hari-hari saya tunggu awak keluar penjara." Kata Mahairah bersungguh-sungguh.

"Kau merepek apa ni, Mairah? Kau baru jumpa aku hari ni dah hilang akal ke apa nak ajak aku kahwin semula?" Muiz bingkas bangun dari duduknya. Dia berura-ura ingin melangkah pergi.

Cepat-cepat Mahairah menarik lengan bekas suaminya itu. "Memang kita baru jumpa semula hari ini. Tapi awak tak boleh lupakan yang kita dah berkongsi hidup sejak enam tahun yang lalu!"

Muiz menahan senyum. Tak sangka. Kuning juga otak bekas isteri aku ni, getusnya dalam hati. Tangannya ditarik kasar daripada genggaman perempuan itu.

"Kau... kalau dah kemaruk sangat nak berlaki semula. Kau boleh jumpa mama aku. Masuk meminang aku. Tapi kena cepatlah. Takut anak jiran sebelah beratur nakkan aku," ujar Muiz tanpa memandang Mahairah.

"Awak la masuk meminang saya. Awak, kan lelaki!" Bentak Mahairah.

"Kau tak nak sudah. Sikit pun aku tak kisah. Aku nak chao dulu." Usai berkata begitu, Muiz melulu berjalan meninggalkan Mahairah di belakangnya.

SUARA gelak ketawa Hasya terhenti apabila terdengar seseorang memberi salam. Cepat-cepat suara televisyen diperlahankan. Hasya menoleh ke belakang. Kaki diatur menuju ke pintu. Tombol dipulas. Dahinya berkerut.

"Papa dengan nenda ada?" Lembut Encik Radzi menyoal anak dara itu. Hasya kelihatan semakin cantik. Tidak comot seperti dahulu.

Hasya mengangguk. Dia beralih ke tepi. Memberikan laluan kepada lelaki tua itu melangkah masuk ke dalam rumah neneknya.

"Kejap. Sya panggil nenda dengan papa. Dia orang tengah makan dekat dapur." Katanya.

Encik Radzi mengangguk. Punggung dilabuhkan di atas sofa kulit... ah, entahlah. Dia sendiri tak pasti sofa itu guna kulit apa. Kulit manusia agaknya. Matanya bergelintar memerhatikan segenap ruang rumah Puan Aminah. Pandai wanita tua itu jaga rumah. Nampak bersih saja keadaannya.

"Eh, baba. Buat apa datang sini?" Muiz yang terkejut dengan kehadiran bekas bapa mentuanya hanya menghulurkan tangan untuk bersalaman. Tidak lama kemudian, Puan Aminah menghampiri mereka berdua.

"Baba datang sini bawa hajat. Bukan ke siang tadi Iz cakap dengan Mairah yang Iz suruh baba datang meminang kamu?"

Berbahang terus muka Muiz dibuatnya. Kurang asam jawa punya budak. Aku main-main aja tapi kau pergi beritahu baba kau betul-betul. Muiz menepuk dahi.

"Janda Iz cakap gitu dekat baba?"

"Yalah. Sebab tulah baba datang malam ni. Mairah tu dah lama tunggu kamu. Dia tak nak orang lain dah. Dia cuma nak kamu. Baba sayangkan anak-anak baba. Kalau dengan menikahkan dia dengan Iz mampu buat dia bahagia. Baba sanggup ambil risiko yang kedua kalinya." Beritahu Encik Radzi.

"Tapi anak saya ni bekas banduan. Bukan ke dulu Radzi sendiri cakap Muiz tak layak berdamping dengan Mairah?" Puan Aminah mencelah.

"Ya, itu dulu. Tapi siapa kita nak menghalang cinta mereka? Kalau hati dah suka. Terpaksalah lanjutkan. Kalau dibiarkan saya risau Mairah buat benda yang bukan-bukan," jawabnya.

"Kalau nak kahwin pun bukannya ada duit baba. Iz ni baru aja keluar dari penjara. Duit makan pun harapkan mama. Inikan pula nak bela anak baba tu." Kata Muiz pula.

"Tak apa. Buat yang wajib sahaja. Ada rezeki lebih baru fikir buat majlis ke apa semua tu." Usul Encik Radzi.

Muiz termangu-mangu. Kalau itu keputusannya, dia rela dikahwinkan semula dengan bekas isterinya. Rela dalam gembira. Yes! Yes! Yes!

HIS MAFIA SIDE [C]Where stories live. Discover now