Bab 57

4K 148 5
                                    

TELEFON dilekapkan ke telinga. Pak Hassan menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan butir bicaranya. Sang isteri masih setia menunggu di sebelah sambil mengusap-usap lengannya bagi meredakan perasaan panik yang menjengah minda.

"Assalamualaikum, Ji." Pak Hassan menyapa sebaik sahaja panggilannya itu dijawab.

"Waalaikumussalam. Kenapa telefon aku malam-malam ni, San? Ada apa-apa yang berlaku ke?" Seolah-olah Pak Hassan dapat menangkap reaksi risau yang menimpa sahabatnya itu melalui ton suara di corong telefon.

"Ji, aku rasa menantu kau dah tahulah mana kau sembunyikan anak kau tu. Siang tadi ada dua orang lelaki Siam cari Mahairah. Aku risaulah, Ji." Beritahu Pak Hassan.

Sesekali Pak Hassan menjengah ke pintu bilik tidur Mahairah. Sebenarnya dia sudah berjanji dengan Mahairah untuk tidak memberitahu tentang perkara itu kepada Encik Radzi. Tapi, dia rasa keselamatan Mahairah lebih bermakna berbanding janji yang termeterai.

"Allah... jadi macam mana dengan anak perempuan aku, Hassan?"

"Buat masa ni dia selamatlah tapi aku risau esok lusa orang suruhan menantu kau tu tahu lokasi rumah aku." Jelas Pak Hassan lagi.

"Aku tahu, San. Cumanya aku tak tahu dah nak hantar Mahairah ke mana lagi. Aku rasa Kelantan la negeri paling jauh sekali. Takkanlah aku nak hantar anak aku bersembunyi di luar negara. Aku ni bukannya berduit sangat. Si Mairah tu pun tak pernah ke luar negara. Harapkan Umai saja. Itu pun Umai entah ke mana." Keluh Encik Radzi di dalam talian.

Terbit rasa simpati dalam hati Pak Hassan. Dia akui, hidup Encik Radzi mula susah sejak kehilangan isterinya. Apa tidaknya. Dua-dua anak perempuannya dia sendiri yang uruskan tanpa ada memasang niat hendak menikah lagi.

"Tak apalah. Macam nilah. Aku rasa mungkin aku cepatkan aje proses pengambilan Mahairah semula dan cepatkan juga proses penceraian dia dengan Muiz. Bila semua dah selesai nanti tahulah aku macam mana nak jaga anak aku tu," ujar Encik Radzi apabila Pak Hassan cuma membisukan diri.

"Perlahan-lahan, Ji. Bab cerai semua tu tolak ke tepi dulu. Yang penting keselamatan Mahairah diutamakan," balas Pak Hassan.

"Baik, San. Terima kasih sebab kau sudi jaga Mairah untuk aku. Aku pun masih trauma dengan apa yang jadi. Orang-orang jahat tu datang rumah aku lepas tu tembak aku. Mujurlah dekat paha. Rasanya kalau ditembaknya aku di dada. Mungkin sekarang ni aku dah tak ada."

Membulat besar mata Pak Hassan. Tidak dapat tidak bayangkan kejadian hitam itu dihadap sendiri oleh sahabatnya sementelah dia di sini bersuka-ria.

"Allah... dah tu macam mana kau sekarang? Mahairah tahu tak tentang kejadian tu?"

"Aku okey dah cuma jalan tu masih macam dengkut-dengkut sikitlah. Eh... tak usahlah beritahu dia, Hassan. Aku tak nak tambahkan lagi tekanan dalam jiwa dia tu."

"Tapi kau ayah dia, Ji."

"Tak apa, San. Bila aku dah sedia nanti aku beritahu. Buat masa sekarang ni aku cuma nak fokus tentang anak-anak aku sahaja." Tolak Encik Radzi lagi.

"Kalau itulah yang kau kata aku tak boleh nak cakap apa lagilah. Aku minta diri dulu, Ji. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam." Talian dimatikan.

"Ji cakap apa, bang?" soal Mak Puteh ingin tahu. Gaya dua orang lelaki itu bercakap di dalam telefon nampak serius.

Pak Hassan melepaskan satu keluhan. "Masuk biliklah baru abang cerita. Bahaya cerita di sini. Takut anak angkat kita tu dengar."

"Baik, bang."

SELEPAS menerima khabar tentang keselamatan anak perempuannya yang terancam. Esok paginya juga Encik Radzi memandu menuju ke Pasir Puteh, Kelantan. Dia perlu memastikan Mahairah selamat. Jiwanya meronta-ronta kerana sudah berbulan-bulan dia tidak menjenguk anaknya.

Lafaz basmalah dibacakan. Kaki menekan clutch. Sesekali dia menoleh ke cermin sisi sebelum membelokkan keretanya ke Bukit Besi.

Encik Radzi perasan akan sebuah kereta berjenama BMW biru mengekorinya dari belakang. Namun begitu, dia tetap menyedapkan hatinya. Dia memandu sehingga tiba di halaman rumah Pak Hassan.

"Baba!" Mahairah berlari-lari anak mendapatkan ayahnya yang baru sahaja melangkah keluar dari perut kereta. Tubuh Encik Radzi ditarik ke dalam pelukan. Sungguh dia amat merindukan lelaki separuh abad itu.

"Mairah..." Encik Radzi membalas pelukan Mahairah. Ubun-ubun Mahairah dikecup berkali-kali. Melepaskan rasa rindu dan sayangnya.

Pak Hassan dan Mak Puteh turut menghampiri Encik Radzi. Mereka bertiga saling bersalaman.

"Dua, tiga hari ni Ji duduklah dulu di sini. Jangan balik terus. Pastikan Ji betul-betul sihat dan hilang penat baru balik." Kata Mak Puteh.

"Tak menyusahkan ke? Kalau boleh aku nak bawa Mairah ni secepat yang mungkin." Kata Encik Radzi.

"Baba jangan risaulah. Mairah okey aja di sini. Mak Cik Puteh dan Pak Cik Hassan jaga Mairah baik-baik," ujar Mahairah tanpa menyentuh sedikit pun tentang isu kehadiran dua orang lelaki Siam itu. Dia tidak ingin membuat ayahnya risau.

Encik Radzi melorekkan senyuman kelat. Dia tahu Mahairah sedang berbohong. Kaki diatur mengekori langkah Pak Hassan dan Mak Puteh naik ke rumah.

"Kenapa kaki baba dengkut-dengkut tu?" soal Mahairah yang perasan akan perubahan bentuk berjalan bapanya dari belakang.

Encik Radzi menoleh. "Baba jatuh tandas. Itu yang terseliuh sikit. Jangan risaulah. Baba okey dah."

Mahairah menggelengkan kepalanya. Masak sangat dah dengan sikap baba yang selalu menyembunyikan kesakitannya.

Dari jauh, kelihatan sepasang mata sedang memerhatikan mereka dengan perasaan yang bercampur-baur.

TENGAH malam menjelang. Mak Puteh terkocoh-kocoh mengangkat bakul baju ke ampaian. Sudah tengah malam baru dia sempat cuci baju memandangkan dia menghabiskan seharian masanya untuk melayan tetamu, iaitu Encik Radzi.

Usai Encik Radzi tidur barulah Mak Puteh menyiapkan kerja rumah yang tergendala. Mahairah turut membantunya.

"Esok-esok boleh aje basuh baju. Sibuk nak buat malam ni." Bebel Pak Hassan kepada isterinya.

"Eh, eh, abang ni. Dah baju awak semua tu berlonggok dalam bakul baju takkanlah saya nak tengok aje. Habis tu, esok awak nak pakai apa? Takkan nak bogel aje abang, oi! Awak nak pakai lampin ke gantikan seluar dalam awak tu?" Bersahaja Mak Puteh menyindir suaminya.

Pak Hassan terdiam. Itulah orang perempuan. Emosinya saja lebih. Dia cakap sikit mulalah isterinya melenting tidak tentu pasal. Itulah padahnya kalau dapat isteri garang bak singa.

Mahairah tergelak kecil. "Tak apalah. Biar Mairah aje tolong sidaikan kain baju tu semua. Kesian mak cik dah penat kemas rumah."

"Eh, tak menyusahkan kamu ke?" Mata Mak Puteh sudah bersinar-sinar. Kalaulah dia ada anak perempuan. Mesti budak itu akan rajin seperti Mahairah dan boleh diharapkan.

"Ala, setakat jemur kain saja. Bolehlah mak cik. Tak menyusahkan pun." Kata Mahairah lalu berjalan keluar ke ampaian yang berada di tepi rumah kayu moden itu.

Mahairah bernyanyi-nyanyi kecil sambil ligat mengibas pakaian lalu disangkutkan ke ampaian. Dia gembira kerana ayahnya ada. Dia gembira kerana Encik Radzi ingin menjemputnya pulang.

Sttk!

Mahairah tersentak kecil apabila halwa telinganya menangkap bunyi seseorang yang terpijak akan plastik. Dia menoleh ke belakang tetapi tiada sesiapa di situ. Hanya dia seorang. Air liur ditelan berkali-kali.

"Aku tak kacau kau. Kau janganlah kacah aku." Gumamnya sendirian. Sudahlah lampu di luar rumah itu telah dimatikan oleh Pak Hassan. Hendak jimatkan elektrik katanya. Ini pun dia ditemani dengan sinaran bulan sahaja.

Mahairah sambung menyidai pakaian. Dia membongkok ingin mencapai baju di dalam bakul jaring-jaring itu tetapi tiba-tiba mulutnya ditekup dengan kain. Dia cuba meronta tetapi tidak berhasil. Akhirnya dia tidak sedarkan diri disebabkan pening dengan bau pelik yang hadir daripada kain tersebut.

HIS MAFIA SIDE [C]Where stories live. Discover now