TUBUH Mahairah dipandang dengan perasaan jengkel. Apa taknya, ibu ayahnya beria-ia suruh dia berkenalan dengan Mahairah sedangkan tidak ada satu inci tubuh Mahairah pun berjaya menggodanya.
Emak pun satu. Kalau ya pun nak carikan isteri untuk aku carilah yang elok sikit. Dugong macam ni juga yang dia berkenan, kutuk Azmi dalam hatinya.
"Kerja mana?" Dengan mimik muka menyampah, Azmi menyoal Mahairah.
Mahairah berdeham. Aura ketika bersama Azmi agak lain. Tidak sama ketika dia bersama dengan Azman. Cara Azmi jelas-jelas tidak meminati dirinya.
"Kerja biasa-biasa aje," jawab Mahairah.
"Oh, awak tahulah, kan keluarga kita tengah cuba nak satukan kita dalam masa terdekat ni?" soal Azmi.
Mahairah mengangguk mengiakan.
"Kali terakhir saya nampak awak pun waktu kecil, Mahairah. Sekarang ni dah lain. Zaman pun dah berubah. Saya tak fahamlah kenapa masih ada sesetengah ibu bapa yang nak aturkan jodoh anak-anak mereka. Macam ibu bapa kita la." Luah Azmi. Tidak puas hati.
Mahairah menunduk. Tiba-tiba rasa terhimpit dengan kata-kata lelaki itu. Dia mengerti. Azmi bukan lelaki biasa-biasa. Mesti Azmi mengharapkan lebih daripada dia.
"Saya ikut aje apa yang baba saya nak kalau itu boleh bahagiakan dia," jawabnya.
"Dah tu, awak bahagia ke bila jodoh awak diaturkan macam ni? Lagi-lagi awak akan kahwin dengan orang yang awak tak cinta?" soal Azmi. Dingin.
Mahairah terkedu.
"Jujur saya katakan, Mahairah. Saya tak bahagia. Awak tak ada ciri-ciri macam perempuan yang saya nak. Saya bukan nak kurang ajar tapi awak tengoklah sendiri diri awak macam mana. Kalau diri sendiri pun awak tak jaga apatah lagi nak jaga saya. Awak faham, kan?"
Mahairah lantas mengangkat wajahnya. Tunak dia memandang Azmi. Lelaki itu sedang menghinanya secara halus. Sampainya hati. Tak layakkah perempuan seperti dia bahagia?
"Maksud awak apa?"
"Come on la. Awak faham maksud saya, Mahairah. Hari ni saya saja ajak awak jumpa sebab saya tak nak awak fikir yang saya rela dengan perjodohan kita ni. Kenal awak pun tak rapat. Tiba-tiba nak kahwin dengan awak. Bullshit!"
"Kalau macam tu awak beritahulah keluarga awak." Gesa Mahairah. Birai matanya bergenang. Sakit hati kerana dihina.
"Saya perlukan bantuan awak. Saya nak awak sendiri cakap dekat ayah awak yang awak tak nak teruskan perkahwinan bodoh ni. Jadi, ayah awak tak payahlah nak desak-desak ibu ayah saya untuk satukan kita. Faham?"
"Baba saya tak desak..."
"Saya tak nak tahu, Mahairah. Apa yang saya tahu, saya tak nak awak. Jadi awak kena faham. Atau ayah awak kemaruk sangat nak bermenantukan government? Yalah, senanglah nanti nak kikis harta saya, kan?" Sinis Azmi.
Mahairah bingkas bangun dari duduknya. Azmi dah melampau. "Cukup, Azmi! Awak dah melampau tahu tak? Baba saya bukan macam tu."
"Dah tu, buktikanlah."
Tanpa melengahkan masa, Mahairah melangkah pergi dari kafe yang menjadi tempat pertemuan mereka itu. Hatinya betul-betul sakit dengan hinaan demi hinaan yang diberikan oleh Azmi terhadap dirinya dan keluarganya.
"MACAM mana dengan pertemuan kamu dan Azmi tadi? Dah cuba kenal hati budi masing-masingkah?" soal Encik Radzi kepada anak gadisnya.
Mahairah membuka matanya. Baru nak terlelap, dia dah disoal oleh orang tuanya. Fikirnya, dia nak tidur sebentar untuk melegakan rasa panas dalam hatinya.
"Biasa aje," jawabnya.
"Mairah berkenan tak dengan budak Azmi tu? Baba nak tahu. Kalau Mairah okey, kita awalkan majlis. Cukuplah kenal dua minggu. Tunang aje terus. Keluarga Azmi pun okey." Usul Encik Radzi.
Mahairah tercengang. Kenal dua minggu pun belum. Hari ni mental dia betul-betul breakdown. Lagipun, dia yang nak kahwin. Dua minggu bukan waktu yang lama. Dia kena kenal betul-betul dengan bakal suaminya. Zaman sekarang tak sama dengan zaman dahulu.
"Baba memang nak Mairah kahwin awal, ya?" soalnya. Ingin tahu.
Encik Radzi mengangguk. "Baba nak ada orang yang boleh jaga anak baba. Lagipun, bila Mairah dah jadi milik orang nanti Muiz tak boleh nak kacau Mairah dah. Itu yang Mairah nak, kan?"
Sebaik sahaja nama Muiz disebut, tubuh Mahairah terasa segar. Apa khabar lelaki itu sekarang? Sihatkah dia?
"Baba, Mairah..."
"Hmm?"
"Boleh tak kalau Mairah nak minta izin dengan baba. Mairah nak cari kebahagiaan Mairah sendiri?" Mahairah menunduk sayu.
"Kenapa, sayang? Azmi ada sakitkan hati kamu ke? Dia ada cakap apa-apa yang Mairah tak suka?" soal Encik Radzi. Kecewa jugalah bila Mahairah menolak cadangannya lagi. Dia yakin, Azmi mampu jaga anaknya itu.
Mahairah menggelengkan kepalanya. Biarlah segala kepahitan itu ditelan sendiri supaya hubungan Encik Radzi dan kawan-kawannya baik-baik sahaja. Kutukan Azmi akan cuba dia lupakan.
"Mahairah ada calon ke?" soal Encik Radzi.
"Baba... sebenarnya Mairah memang sukakan Muiz. Mairah tipu baba. Mairah tipu perasaan sendiri. Mairah tak boleh selesa dengan orang lain macam Mairah selesa dengan dia, ba." Kata Mahairah, jujur.
Encik Radzi terkejut mendengar luahan hati anak gadisnya. "Tapi, Mairah sendiri yang cakap Mairah tak suka Muiz. Dia selalu kacau Mairah. Disebabkan dia juga Mairah terlibat dalam kemalangan. Mairah lupa ke?"
"Ya, baba. Mulut memang cakap tak suka. Mulut memang cakap benci tapi hati berkata sebaliknya. Mairah... Mairah sukakan dia, baba." Mahairah menunduk. Birai matanya bergenang.
Sakit untuk dia luahkan perasaan yang terpendam walaupun dia tahu realitinya Muiz tidak mencintai dirinya. Sebaliknya, Muiz mencintai Umairah iaitu adiknya.
Encik Radzi menghela nafas berat.
YOU ARE READING
HIS MAFIA SIDE [C]
Romance"Lapan tahun lagi aku nak jadikan dia isteri aku." - Muiz. Siapa sangka, kata-katanya itu menjadi satu doa yang telah dimakbulkan oleh Sang Pencipta. Sayangnya, gadis yang dia nampak bukanlah gadis yang dia sukai sejak di bangku sekolah lagi. Sebal...