LEGA hati Puan Aminah setelah menerima kepulangan Muiz, anak tirinya. Pada awalnya memang dia tidak tahu apa-apa tentang keadaan lelaki itu tapi Afiq yang beritahu.
Kata Afiq, dia ingin merahsiakan perihal Muiz daripada pengetahuan Puan Aminah. Namun begitu, lama-kelamaan Puan Aminah akan tahu juga memandangkan Muiz masih lagi menetap di rumah itu bersama-sama Puan Aminah.
"Doktor pesan, jangan paksa Muiz untuk ingat. Biar dia ingat sendiri perlahan-lahan." Kata Afiq sambil memapah Muiz yang kelihatan kebingungan.
Puan Aminah mengangguk. Mungkin ada hikmahnya perkara seperti itu berlaku. Sekurang-kurangnya dia boleh gunakan masa yang ada untuk merapatkan lagi hubungannya dengan Muiz sekali gus menebus kesalahan lampaunya.
"Fiq..."
"Ya, Iz."
"Siapa orang tua ni?"
"Ini..."
"Ini mama, sayang. Mama Muiz." Belum sempat Afiq bersuara, Puan Aminah terlebih dahulu memotong.
Afiq agak terkejut dengan kenyataan wanita separuh abad itu tetapi dia juga tidak membantah. Dia hanya diam dan mengangguk mengiakan.
Muiz memerhatikan raut wajah lembut wanita itu dengan riak muka kosong. Dia cuba untuk ingat tapi tidak berjaya. Akhirnya, dia menerima bulat-bulat kenyataan Puan Aminah ialah ibunya.
"Saya ada kerja nak disiapkan. Mak cik tolonglah jaga Muiz ni. Kalau ada apa-apa beritahu Afiq," ujar Afiq.
"Baik. Terima kasih sebab sudi hantarkan anak mak cik balik." Ucap Puan Aminah.
Afiq mengangguk. Tidak dapat tidak, fikirannya menerawang jauh. Apa yang jadi agaknya kalau Muiz dah ingat kembali? Mesti Muiz akan membenci Puan Aminah semula.
"Jom, sayang. Kita masuk dalam. Mama dah siapkan tempat tidur Iz. Buat masa sekarang Iz banyakkan berehat, ya? Iz pun baru keluar dari hospital." Puan Aminah memapah lelaki muda itu masuk ke dalam bilik tidurnya.
Muiz akur. Setibanya di bilik tidur yang seolah-olah dirasakan familiar di matanya, Muiz memerhatikan segenap ruang yang tampak kosong. Seolah-olah bilik itu baru sahaja diubah suai dan ada beberapa bahagian yang tidak lengkap.
"Ini bilik saya?" soalnya.
"Ya, Iz. Ini bilik kamu. Mama kemaskan sikit supaya Iz tak serabut duduk dalam bilik ni. Cadar semua mama dah tukar."
Muiz diam. Matanya memandang pula satu bingkai gambar yang kosong di atas meja solek. Dahinya berkerut.
"Bingkai gambar tu memang kosong ke?" soalnya lagi.
Puan Aminah terkedu seketika. Sebenarnya, dia membuang gambar ibu kandung lelaki itu kerana dia tidak mahu Muiz menganggapnya ibu tiri lagi. Baginya, hari itu adalah satu permulaan yang baik untuk dia dan Muiz saling mengenal diri masing-masing.
"Mama?"
"Ya?"
"Saya tanya ni. Bingkai gambar tu memang kosong ke?" soal Muiz, ingin tahu.
Puan Aminah mengangguk mengiakan. Dia seolah-olah hilang kata-kata. Didudukkan Muiz di birai katil.
"Iz rehatlah. Mama nak mop lantai dapur sekejap. Tadi air oren tumpah. Nanti mama bawakan makanan untuk Iz."
"Okey."
Sebaik sahaja bayang Puan Aminah tidak lagi kelihatan, Muiz menyandarkan badannya ke kepala katil. Pelipisnya diurut-urut perlahan. Bayang Mahairah menerjah mindanya. Entah kenapa rasa rindunya kepada perempuan itu semakin membuak-buak.
SUP telur disuakan ke dalam mulut. Mahairah memandang tepat ke dalam mata bapanya. Encik Radzi turut memandangnya. Dia tersengih kecil. Masakan baba tak pernah mengecewakan.
"Mairah nak teruskan tak hubungan Mairah dengan Azman?" soal Encik Radzi.
Hirupan Mahairah terhenti. Terkejip-kejip matanya memandang Encik Radzi. "Kenapa baba tanya? Benda dah tak ada jodoh, kan?"
"Baba boleh aje bincang elok-elok dengan Azman dan keluarganya. Baba tak nak Mairah buat hal sendiri. Mairah tu perempuan."
"Tak payahlah, baba. Mairah tak nak teruskan hubungan dengan Azman lagi dah." Lembut Mahairah menolak.
Kalau dia teruskan dengan Azman mesti Azman akan fikir yang bukan-bukan. Sementelah Muiz sudah memburukkan namanya dekat Azman. Biarlah Azman cari perempuan yang lagi baik daripada dirinya.
"Kenapa? Mairah nak Muiz ke?" Encik Radzi mula serkap jarang.
"Apa baba mengarut ni?"
"Baba tak mengarut. Baba ni ayah Mairah. Ayah kandung. Baba yang besarkan Mairah dengan Umai dari sekecil telapak tangan sampailah dah besar panjang macam ni. Mairah tak boleh nak tipu baba." Sangkal Encik Radzi.
Mahairah terdiam.
"Baba sebenarnya kurang berkenan nak bermenantukan lelaki macam tu tapi kalau Mairah rasa Muiz tu sesuai untuk jaga dan lindungi Mairah, baba terima apa aje keputusan Mairah."
"Mairah tak nak dia, baba. Kalau boleh Mairah tak nak jumpa dia lagi dah. Biarlah apa yang jadi sebelum ni jadi pengajaran untuk Mairah. Dia dengan hidup dia. Mairah dengan hidup Mairah." Tekan Mahairah.
"Sebab tu baba nak Mairah nikah cepat-cepat. Lelaki ni Mairah... selagi dia tak dapat apa yang dia nak selagi itulah dia akan kejar. Kalau Mairah kahwin, peluang untuk Muiz usik Mairah dah tak ada lagi dah sebab Mairah dah jadi kepunyaan suami Mairah. Faham tak maksud baba?"
Mahairah diam lagi. Dia melepaskan keluhan berat. Mairah memang sukakan Muiz, baba. Tapi Muiz sukakan Umai, getus hati kecilnya.
"Macam inilah, baba. Apa pun keputusan baba, Mairah ikut. Asalkan bukan dengan Azman. Baba bebas nak cari calon menantu untuk baba. Cuma bukan dengan Azman."
Encik Radzi mengangguk. "Kalau macam tu nanti baba cubalah satukan Mairah dengan anak Pak Cik Walid dan Mak Cik Tursinah. Si Azmi anak dia tu kerja askar."
"Ikut baba la."
YOU ARE READING
HIS MAFIA SIDE [C]
Romance"Lapan tahun lagi aku nak jadikan dia isteri aku." - Muiz. Siapa sangka, kata-katanya itu menjadi satu doa yang telah dimakbulkan oleh Sang Pencipta. Sayangnya, gadis yang dia nampak bukanlah gadis yang dia sukai sejak di bangku sekolah lagi. Sebal...