PERKAHWINAN mereka berdua tampak semakin bahagia. Walau bagaimanapun, pekerjaan Muiz masih lagi menjadi rahsia. Mahairah sendiri bingung. Suaminya keluar pagi balik malam. Kadangkala, keluar malam balik pagi. Jadual kerja Muiz seolah-olah tidak menentu.
Tipulah kalau sesekali dia tidak merajuk. Jadual kerja Muiz membuatkan masa mereka untuk bersama semakin berkurangan. Walaupun masih timbul rasa waswas dalam hati Mahairah, namun sebagai seorang isteri dia pun hendak dimanjakan juga.
"Fikirkan apa tu?"
Mahairah menggeliat kegelian apabila bibir basah Muiz hinggap di bahunya. Dia memusingkan badan menghadap lelaki yang segak mengenakan kemeja hitam berlengan pendek. Kedua-dua belah tangan Muiz melingar di pinggangnya.
"Tak ada apa-apa. Awal balik hari ni? Ingatkan balik jam tiga pagi tadi." Kata Mahairah separuh menyindir.
"Kerja abang siap awal. Abang balik awallah. Biarlah selebihnya Si Afiq tu ambil alih. Dia bujang lagi. Abang ni dah ada bini. Kenalah balik rumah, kan?" Muiz sengih.
Mahairah mencebik.
"Jangan nak cebik mulut tu. Ada yang hari-hari malam Jumaat, kang!"
Mahairah berdecit. Bab itu laju betul suaminya. Dasar lelaki!
"Gatal! Abang dah makan belum?"
"Belumlah. Sayang ada masak ke?"
"Ada buat jemput-jemput tadi petang. Kalau abang nak makan, Mairah panaskan kejap. Kalau tak nak makan pun lagi bagus. Jimat tenaga."
"Nak la sayang. Abang lapar ni. Tak kesiankan abang ke?" Muiz mencebikkan bibirnya. Sesekali bermanja dengan isteri apa salahnya.
Lemah betul Mahairah dengan sikap manja Muiz. Bibir bawah digigit sebelum dia melepaskan pelukan lelaki itu. Ditarik tangan Muiz. Diheret lelaki itu ke dapur bersamanya.
"Sayang ni heret abang pergi dapur dah macam nak heret abang masuk bilik pulak."Seloroh Muiz.
"Diamlah. Gatal tak habis-habis." Gerutu Mahairah. Semenjak mereka berdua pindah masuk ke dalam rumah yang dihadiahkan oleh majikan Muiz, fiil suaminya semakin menjadi-jadi. Suka sangat cakap lepas plus miang.
Muiz gelak. "Gatal dengan bini sendiri apa salahnya. Daripada abang gatal dengan MJ. Menganga sayang nanti."
"MJ?"
"Mak Janda. Grrr!"
"Diamlah Muiz!" Marah Mahairah.
Semakin kuat Muiz meletuskan ketawa. Seronok mengusik Mahairah. Dia suka bila Mahairah menunjukkam reaksi cemburu. Yalah, cemburu tu tandanya sayang. Dia yakin, Mahairah menyayanginya.
"Duduk dekat kerusi tu diam-diam." Arah Mahairah setibanya mereka di dapur. Dia bingkas mencapai kuali.
Muiz akur. Dia perhatikan saja tindak-tanduk isteri tercinta yang rajin nak panaskan jemput-jemput untuknya. Untung badan dapat perempuan macam ?Mahairah. Pandai kemas rumah. Pandai masak. Perfect!
USAI memanaskan jemput-jemput, Mahairah hidangkan cemilan tersebut kepada suaminya. Dia menarik kerusi lalu duduk berdepan dengan Muiz. Sambal kicap diberikan kepada Muiz.
"Sayang tak nak makan?"
"Tak naklah. Petang tadi dah makan banyak. Minyak tak elok untuk kesihatan." Balas Mahairah bersahaja.
"Kenapa pula minyak tak elok untuk kesihatan?" soal Muiz selamba. Jemput-jemput ditolak masuk ke dalam mulutnya.
"Yalah, minyak tu ada kolestrol. Gemuklah badan Mairah nanti." Keluh Mahairah.
Muiz sengih bersama pandangan sinisnya. "Bukan sayang memang dah temok ke?"
"Dahlah. Awak makanlah seorang diri. Saya nak masuk tidur. Tak berselera pula awak nanti nak makan kalau ada saya." Mahairah bingkas bangun dari duduknya kerana terasa hati dengan kata-kata lelaki itu.
Muiz lantas bangun dari duduknya lalu melelar pergelangan tangan Mahairah. Dia mengucup sekilas pipi perempuan itu sebelum memaksa Mahairah duduk kembali.
"Abang gurau ajelah. Itu pun nak merajuk. Asyik nak merajuk aje kerjanya. Mengandung ke apa ni?" Belakang telapak tangan Mahairah dikucup.
"Mana ada mengandung. Kita kahwin tak sampai lima bulan lagi. Celah mananya saya nak mengandung."
"Manalah tahu, kan? Kalau mengandung pun apa salahnya. Abang dah sedia dah nak jadi ayah."
Mahairah membisu. Belum rezeki lagi nak ada anak. Dia dan Muiz masih lagi mencuba namun hubungan mereka masih baharu. Belum masuk lima bulan. Dia tak nak terburu-buru ada anak sementelah ingatan Muiz masih belum pulih.
"Saya tak mengandunglah. Cepatlah makan. Saya dah mengantuk ni." Mahairah memalingkan pandangannya ke arah peti sejuk.
Jauh di sudut hati, Mahairah takut. Dia takut sekiranya suatu hari nanti Muiz kembali pulih. Dia takut suatu hari nanti Muiz akan membencinya dan meninggalkan dirinya. Dia takut suatu hari nanti timbul rasa penyesalan dalam hati Muiz kerana menikahinya.
Seandainya Mahairah boleh meminta kepada langit agar ingatan Muiz tidak pulih, sudah lama dia minta. Walau bagaimanapun dia hanyalah insan biasa. Mahu ataupun tidak, lama-kelamaan ingatan Muiz pasti pulih. Dan pada saat itu, dia perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku di dalam hubungan mereka.
"Jauh termenung. Abang depan sayang aje ni. Abang tak tampal muka abang dekat pintu peti sejuk." Sindir Muiz kerana sakit hati tidak dihiraukan oleh isterinya. Hilang selera nak makan.
Mahairah tersentak. Dia memandang tunak ke dalam mata suaminya. Satu keluhan berat dilepaskan. Wahai hati. Tolong kawal perasaanmu. Jangan jatuh hati dengan lelaki ini. Dia bukan milikmu, desis hati kecilnya.
Walaupun dia melayan Muiz dengan baik. Dia juga telah meletakkan satu dinding di antara mereka agar dia tidak terlalu jatuh hati dengan suaminya itu. Tapi, sekali lagi. Dia hanyalah manusia biasa. Dia tidak ada kuasa untuk mengawal kehendak hati dan batinnya.
"Mairah nak masuk tidur dulu. Nanti abang cucilah pinggan lepas makan." Mahairah angkat kaki meninggalkan suaminya sendirian di dapur.
Muiz menyandarkan badannya ke dada kerusi. Dia dah lali dengan sikap Mahairah yang tiba-tiba badmood. Susahnya nak faham perempuan ni, getus hati kecilnya.
YOU ARE READING
HIS MAFIA SIDE [C]
Romance"Lapan tahun lagi aku nak jadikan dia isteri aku." - Muiz. Siapa sangka, kata-katanya itu menjadi satu doa yang telah dimakbulkan oleh Sang Pencipta. Sayangnya, gadis yang dia nampak bukanlah gadis yang dia sukai sejak di bangku sekolah lagi. Sebal...