Dari kejauhan, sepasang mata Dhiara asyik merenung ke arah pasangan suami isteri yang sedang berjalan mengelilingi laluan pejalan kaki di tasik. Di wajah isteri terlihat senyuman lebar bila tangan kekar suami lembut mengusap perut membukit si isteri. Juga terselit kata- kata yang menggambarkan kegembiraan kepada pasangan suami isteri itu.
Tanpa sedar, tangan Dhiara elok melekap ke perut sendiri. Kempis. Langsung tak ada isi. Bukan kerana dia yang kurus. Tetapi bukan rezeki dia untuk merasa pengalaman indah seperti wanita itu. Usia perkahwinan dia dan suami hampir mencecah enam tahun. Tipulah kalau kata enam tahun itu berlalu tanpa ada pergaduhan kecil antaranya dan suami. Dan semestinya isunya adalah zuriat.
Mereka berdua sudah membuat pemeriksaan kesihatan. Hasil ujian yang dibuat, kedua- dua mereka membuktikan tiada siapa yang bermasalah. Sama ada dia, mahupun suaminya. Cumanya bila enam tahun berlalu, masih tiada tanda- tanda dia untuk mengandung membuatkan dia merasa ragu- ragu dengan ujian yang telah dibuat setahun yang lalu. Suaminya pula tidak berhenti memberikannya semangat dan selalu berdoa agar suatu hari nanti mereka dikurniakan zuriat seperti pasangan- pasangan yang lain.
Leka Dhiara pada pasangan itu, tak perasan elok suaminya berdiri di belakang. Bahu Dhiara disentuh. Tak semena- mena tubuh Dhiara sedikit terhinjut gara- gara kejutan di belakang tubuh. Nuh mengambil tempat di sebelah Dhiara. Air tembikai diserahkan kepada isterinya. Polisterin dibuka. Kecur liur Dhiara melihat rojak petis yang dibeli suaminya. Tak tunggu suaminya, laju dia mencapai garfu dan mengambil sedikit rojak petis sebelum disuapkan ke dalam mulut. Terpejam mata Dhiara.
Nuh sembunyi senyum. Rojak petis salah satu kegemaran isterinya. Sewaktu dia berjalan ke pondok bersama isterinya, dia perasan ada gerai rojak petis yang dibuka di tepi laluan pejalan kaki. Dhiara disuruh duduk di pondok. Sementara dia berpatah balik untuk membeli rojak petis dan minuman buat isterinya.
"Terima kasih, abang... Macam tahu- tahu Dhia teringin nak makan rojak petis." Dhiara tersenyum manis. Sungguh, dah lama sangat dia tak makan rojak petis. Hilang rasa mengidam nak makan. Bukan kerana dia mengandung, tetapi lama sangat dia mencari di bandar tetapi tidak ada yang menjual.
Nuh mencapai tisu yang turut diberi penjual tadi. Tisu dibawa ke bibir isterinya lalu dikesat perlahan hujung bibir yang sedikit comot daripada sisa kuah.
Tersengih- sengih Dhiara dengan aksi suaminya. Walaupun perkahwinan mereka sudah bertahun- tahun, kasih sayang dicurahkan oleh suaminya tidak pernah berkurang. Kadang kala Dhira risau bila Nuh sudah muak untuk hidup berdua bersamanya. Bukan hanya kerana itu saja. Dia risau jika Nuh dan tak mampu menunggu dia mengandung, akhirnya mencari pengganti dia.
Laju- laju kepala Dhiara menggeleng. Risau apa yang dia cakap bakal jadi satu kenyataan. Harapnya tidak. Dia berharap Nuh akan kekal setia bersama dengannya.
Dahi Nuh sedikit berkerut. Melihat Dhiara yang termenung sendiri seolah- olah sedang bercakap sendiri. Kepalanya pula menggeleng- geleng.
"Are you okay, sayang?"
Dhiara panggung wajah. Wajah Nuh ditatap. Kepala diangguk sekali.
"Dhia okey aje. Kenapa abang tanya macam tu?" Soal Dhiara ingin tahu. Tak akanlah suaminya boleh perasan apa yang sedang membelenggunya saat ini.
"Dari jauh lagi abang perasan Dhia macam sedang fikirkan sesuatu. Macam ada sesuatu yang mengusutkan fikiran sayang. Abang ada depan mata pun Dhia tergeleng- geleng kepala. Mind to share with me?"
Nuh tak mahu isterinya memendam perasaan seorang diri jika Dhiara punya masalah. Dia sebagai seorang suami perlu ambil tahu apa yang sedang dialami isterinya. Sekurang- kurangnya, dia dapat mengurangkan beban Dhiara selepas meluahkan kepadanya.
Dhiara tersenyum kelat. Serba salah jadinya. Mereka dah berjanji tak mahu membangkitkan lagi isu anak. Tetapi melihatkan pasangan tadi, tak semena- mena jiwa Dhiara jadi berkecamuk. Dia terlalu menginginkan. Cumanya... dia tahu yang Nuh tak mahu lagi mereka fikirkan tentang itu lagi.
"Sayang..." Tangannya disentuh Nuh. Tatapan kembali kepada suaminya. Bibirnya digigit halus. Ada getaran yang sedang dipendam.
"Dhia tahukan abang tak suka Dhia pendam masalah seorang diri. Abang sudi dengar jika Dhia lapang hati nak berkongsi." Nuh tak mahu mendesak. Mungkin Dhiara perlukan masa yang sesuai.
"Abang..." Lirih panggilan Dhiara. Tangan Nuh yang menyentuh dibawa ke dalam genggaman. Hangat.
"Dhia minta maaf..." Dhiara tak mampu nak habiskan ayat dia. "Dhia masih terfikirkan isu anak." Jatuh kepala Dhiara. Dia menunduk pada lantai pondok.
Ada keluhan nipis terlepas dari bibir Nuh. Patutlah dia perasan pandangan Dhiara tadi. Rupanya Dhiara terkesan melihat pasangan suami isteri yang sedang bahagia menanti bakal anak mereka.
Sebelah tangan yang bebas naik mengusap kepala Dhiara yang terselindung tudung bawal. Dagu Dhiara dipaut. Kepala isterinya terdongak memandangnya. Renungan penuh dalam diberikan kepada isterinya.
"Tak perlu minta maaf dengan abang. Abang tahu Dhia nak sangat- sangat ada anak. Abang pun sama. Walaupun kita cuba nak melupakan, tapi hati abang tak lari bila keinginan untuk menjadi seorang ayah itu berkobar- kobar dalam hati abang." Cukup lembut kata- kata Nuh.
"Tapi kita manusia sayang... Kita hanya mampu berdoa dan berusaha. Selebihnya kita serahkan kepada DIA untuk memakbulkan doa dan impian kita." Nuh tak mahu isterinya terlalu fikirkan sangat soal ini. Dia risau jika Dhiara tertekan bila apa yang isterinya mahukan tidak dapat ditunaikan.
"Kalau sampai bila- bila kita tak ada anak macam mana?"
Tergeleng- geleng kepala Nuh.
"Jangan kita sibuk fikirkan urusan DIA. Sepatutnya sebagai hambanya, kita kenalah bekerja keras berdoa untuk meminta sesuatu kepada Allah. Abang yakin... ada sebab kenapa kita masih berdua sehingga sekarang. Mungkin DIA nak kita luangkan masa bersama- sama macam sekarang." Diusap- usap tangan isterinya.
Sedikit sebanyak Dhiara mampu menerima. Bukan sekali Nuh menasihati dia. Malah, sudah berkali- kali bibir Nuh sering menyakinkan dia untuk tidak bersangka buruk dengan setiap apa yang Allah sudah tetapkan buat mereka berdua.
"Dhia takut... abang cari perempuan lain kalau Dhia tak mampu berikan abang zuriat."
"Allah! Macam tu sekali Dhia fikir tentang abang." Nuh meraup muka. Terkilan dengan apa yang keluar dari bibir Dhiara. Tak tergamak dia mahu mencari wanita lain semata- mata untuk menunaikan impian dia memiliki zuriat.
"Abang tak kisah tentang anak. Cukup Dhia tahu yang abang hanya mahukan Dhia. Soal anak itu kisah serahkan urusan pada DIA. Cuma abang nak Dhia yakin yang abang tak akan cari perempuan lain untuk gantikan tempat Dhia. Boleh percayakan abang?"
Dhiara tahu Nuh terkilan dengan kata- katanya. Dia sendiri tak mampu menafikan bila dia kata begitu. Hati dia juga cemburu jika betul Nuh akan berpaling pada wanita lain.
"Dhia percayakan abang. Tolong jangan tinggalkan Dhia."
Nuh menarik nafas lega. Tubuh Dhiara ditarik rapat ke tubuhnya. Belakang pinggang Dhiara diusap- usap.
"Abang tak akan tinggalkan Dhia walau apa pun yang berlaku."
-ˋˏ ༻❁༺ ˎˊ-
Bersambung
Assalamualaikum semua. Short story baru dari saya🫶🏻 Maaf jika ada kekurangan sepanjang saya menghabiskan UJIAN YANG INDAH. Jangan lupa vote dan komen okies💗 Nak next update bila?
YOU ARE READING
KOMPILASI CERITA PENDEK [EDISI 2]
Historia CortaKOMPILASI CERITA PENDEK [EDISI 2] ©️ 2022 Status: On-going Start: 11 March 2022 End: