UJIAN YANG INDAH IV

1.1K 87 18
                                    


Belakang tubuh Dhiara dipandang hiba. Hampir seminggu Dhiara di bawa pulang ke rumah keluarganya atas permintaan mummy untuk menjaga Dhiara sepanjang tempoh berpantang. Sepanjang seminggu itu juga Nuh terpaksa menahan diri daripada bertemu dengan Dhiara gara- gara isterinya tidak mahu melihat wajahnya jikalau mahu dia tinggal di sini.

Waktu ini barulah Nuh punya keberanian. Waktu Dhiara sedang tidur. Hanya DIA saja yang tahu apa yang Nuh rasa bila Dhiara bertegas tak mahu bertemu dia. Dhiara salahkan dia atas kehilangan anak mereka. Sudahnya Nuh mengalah kerana tidak mahu biarkan Dhiara terus marahkan dia.

Berhati- hati Nuh berjalan. Perlahan dan langsung tak keluarkan sebarang bunyi. Di hadapan Dhiara, Nuh jatuhkan lutut di atas lantai. Sayu dia melihat wajah sembap Dhiara. Kata mummy, bila mummy masuk nak uruskan Dhiara, dia akan melihat menantunya menangis. Bukan sehari, malah seminggu ini Dhiara tak berhenti menangis kenangkan anak mereka.

Nuh kepal penumbuk. Seksa jiwa raga dia melihat bawah mata Dhiara yang kelihatan sembap. Sebelum ini Dhiara sangat jaga bawah matanya. Jarang dia nak melihat Dhiara menangis. Tetapi kali ini wajah itu kelihatan berbeza. Mukanya agak sembap dan bengkak. Malah dia perasan juga badan Dhiara yang semakin menyusut selepas keguguran.

Bergetar tangan Nuh saat ingin membawa tangan naik ke wajah Dhiara. Jari jemarinya didiamkan. Langsung tak bergerak bila terletak elok di wajah Dhiara. Dengan penuh berhati- hati baru Nuh punya keberanian untuk mengusap wajah Dhiara. Terasa kesan air mata yang masih belum mengering di bawah mata isterinya.

"Maafkan abang, sayang..." Bisik Nuh hanya dia saja yang mampu dengar.

"Sebab abang, Dhia perlu lalui benda ni. Dhia betul. Dhia patut salahkan abang atas apa yang abang dah buat pada Dhia." Sebak dada Nuh. Ya Allah, kau kuatkanlah aku untuk menempuh ujian- Mu ini, rintih Nuh di dalam hati.

"Abang minta maaf sayang. Abang tak sengaja. Abang cuai. Abang tak tahu Dhia nak turun bawah. Kalau abang tahu tentu abang tak akan biarkan lantai basah." Bahu Nuh terhinjut. Dia sudah menangis. Birai mata basah. Air mata laju menuruni wajah. Tanpa Nuh sedar, air matanya terkena tangan Dhiara. Dan tanpa dia juga sedar, Dhiara dah mula tersedar bila mendengar esakan halus seseorang.

Dhiara buka mata. Matanya mengecil. Dia melirik ke sebelah. Sekujur tubuh Nuh melutut di sebelahnya. Wajahnya menunduk ke bawah. Wajahnya lencun dengan air mata.

"Apa abang buat dekat sini?" Dhiara jauhkan tubuh. Tangannya disembunyikan di bawah selimut.

Nuh tersentak. Dia tak perasan sepasang mata Dhiara sudah terbuka merenung tajam ke arahnya. Walaupun hanya berbekalkan cahaya lampu meja, dia dapat melihat jelas wajah isterinya.

"Abang..." Lidah Nuh kelu. Dia mati kata melihat penerimaan Dhiara selepas keguguran. Layanan isterinya sudah berubah. Tiada lagi suara lembut Dhiara. Hanya digantikan dengan suara yang agak dingin.

"Abang rindu Dhia." Bibir Dhia mencemik. Langsung tak terkesan dengan perasaan rindu suaminya. Malah dia mahu tergelak bila Nuh meluahkan perasaan.

"Jangan cakap rindu kalau abang sendiri buat Dhia sampai macam ni." Angkuh suara Dhiara. Semua kesalahan diletak di atas bahu suaminya.

"Abang tak sengaja sayang. Tolonglah... abang merayu dengan Dhia. Maafkan abang." Nuh cuba mencapai tangan Dhiara namun laju isterinya menepis kasar.

"Jangan sentuh Dhia! Tangan abang tak layak sentuh Dhia. Dhia risau kalau abang sentuh Dhia, Dhia pula yang mati lepasni." Tajamnya renungan Dhiara sepertinya tajamnya lidah dia berbicara begitu.

Nuh tercengang. Tergamak Dhiara berkata begitu pada dia. Seolah- olah Dhiara tak mampu nak menerima takdir yang tertulis buat mereka.

"Apa yang perlu abang buat untuk dapatkan kembali isteri abang?" Soal Nuh merintih. Apa jua sekalipun permintaan Dhiara, Nuh cuba untuk tunaikan asalkan kemaafan sebagai balasan.

Bersinar mata Dhiara. Jelas terpancar wajahnya tertarik dengan permintaan suaminya.

"Betul abang nak tahu apa yang Dhia mahukan?" Hujung bibir Dhiara terjungkit senyuman. Senyuman yang menutup segala kepura- puraanya bila berdepan dengan suaminya.

Laju kepala Nuh mengangguk.

"Dhia tak nak tengok muka abang! Tolonglah pergi... Jangan buat Dhia tertekan sebab abang." Ujar Dhiara tanpa sedikit pun terkesan melihat perubahan di wajah Nuh.

Nuh tercengang. Dia kelu tanpa kata. Helaan nafas terhela kasar.

"Abang tak mampu Dhia. Abang tak mampu nak tinggalkan Dhia. Dhia perlukan abang. Dan abang juga perlukan Dhia."

"Siapa cakap?!" Naik tinggi suara Dhiara. "Siapa cakap Dhia perlukan abang?" Dhiara membentak bersama ego yang menggunung. Kerana kesilapan Nuh, Dhiara menjungjung ego setinggi langit.

Terkesan Nuh di lubuk hati paling dalam. Dia tak mampu menerima pabila Dhiara menafikan haknya.

"Hanya kerana bukan rezeki kita... Hanya kerana silap abang... Dhia dah bencikan abang?" Jelas suara Nuh menahan sebak. Hanya kerana isterinya, Nuh bukanlah seperti dulu. Hanya kini, jelas terlihat kelemahan seorang suami yang mahu kembali kepada isterinya.

Dhiara kemam bibir rapat. Sedaya upaya dia cuba tahan hati dari terus terkesan dengan rintihan suaminya.

"Ya! Dhia benci abang! Sebab abang anak kita mati. Sebab abang Dhia hilang separuh nyawa Dhia. Lama abang.... Lama Dhia tunggu dia dalam rahim Dhia. Tapi, sekelip mata abang bunuh dia. Abang memang ayah yang jahat! Abang pembunuh!" Kata- kata Dhiara bersambung dengan tangisan.

Dia lemah.

Dia tak kuat.

Dia rapuh.

Disebabkan kehilangan seorang anak yang dinantikan bertahun lamanya.

"Abang tak tahu apa yang Dhia rasa! Dhia yang bawa dia selama lima bulan. Mati dia, mati juga Dhia. Dan Dhia harap abang tak akan ganggu hidup Dhia lepasni. Dhia tak nak tengok muka abang!" Turun naik nafas Dhiara.

"Tolong pergi dari sini!" Sambung Dhiara bersama esakan makin kuat.

Nuh terundur. Dia mahu memujuk. Tapi hati seorang sudah keras. Keras seperti batu konkrit. Untuk leburkannya mungkin perlu makan masa. Sungguh apa yang terluah dari isterinya buat Nuh rasa kecewa.

Dhiara salahkan dia. Sedangkan apa yang berlaku ini semuanya sudah tertulis.

Memang... memang ianya salah berpunca daripada dia sendiri. Tapi Dhia tak boleh terus menerus menyalahkan dirinya. Jika DIA hanya pinjamkan zuriat untuk sementara waktu, mereka berdua harus redha.

"Tolong keluar abang!" Suara Dhiara memecah keheningan malam.

Bingkas Nuh bangun. Berat langkah dia ingin meninggalkan Dhiara dalam keadaan yang begitu. Kerana tidak mahu buat Dhiara tertekan, lebih baik Nuh keluar dari bilik.

Dhiara perlukan masa. Nuh tenangkan hati. Bersangka baik walaupun hakikatnya dia mula rasa yang Dhiara tak mampu dipujuk lagi. Dhiara akan berkeras hati.

Dan kerana itu, Nuh risaukan sesuatu...

Dia takut Dhiara akan menuntut sebuah...

Perpisahan.

-ˋˏ ༻❁༺ ˎˊ-

Bersambung


Kita bagi Dhia masa. Harapnya Dhia tak terfikir untuk berpisah🥹
Jangan lupa vote dan komen, terima kasih💗

Tinggal dua part lagi. Nak saya update esok serentak atau pagi dan petang?

KOMPILASI CERITA PENDEK [EDISI 2]Where stories live. Discover now