BAB 13

13.1K 1.2K 89
                                    

Dalam perjalanan pulang ke istana, tiada siapa yang bersuara. Sejak kejadian di kafe tadi, Tengku Qayyum langsung tak buka mulut. Maisarah di sebelah, biarkan saja. Kalau rasa nak cakap, cakap. Kesalahannya, dia takkan buka mulut untuk minta maaf. Lagipun, bukan dia buat apa dengan Iskandar. Sekadar cakap soal masa silam.

Tapi entah kenapa mata Maisarah tak boleh berhenti dari melirik suaminya yang sedang merenung pemandangan di luar jendela. Mungkinkah Tengku Qayyum kecewa padanya? Yalah, baru masuk empat hari kahwin, dia sudah buat masalah dengan berjumpa Iskandar.

Maisarah sedar perbuatannya akan masuk berita. Siapa saja tidak kenal Puteri Mahkota Maisarah Az-Zahra? Tambah lagi, sudah bergelar isteri kepada Tengku Mahkota Qayyum Afkari Falah. Pewaris utama Negara Vhagar. Tentunya setiap berita tentang jejaka itu akan jadi perhatian rakyat.

Sampai di istana, Maisarah turun dari kereta sebelum sempat pengawal bukakan. Terpinga pengawal itu sebentar. Tengku Qayyum di dalam, memandang sepi pemergian isterinya. Dia tak tahu harus beriak bagaimana setelah melihat kelibat isterinya bersama Iskandar. Bukankah Maisarah akan melupakan jejaka itu?

Tengku Qayyum hembus nafas dalam. Keluar dari kereta bila pintu dibuka dari luar. Pintu masuk istana dituju. Dia harus selesaikan masalah baru yang dibina oleh Maisarah. Tengku Qayyum tak mahu kerana masalah ini, mereka bermasam muka. Walaupun Maisarah mengecewakannya, Tengku Qayyum harus tepis rasa itu untuk berbincang soal ini.

Tuanku Hakam yang kebetulan berada di ruang tamu, melihat ke arah Tengku Qayyum yang sedang berjalan pantas ke arah tangga. Baru tadi Tuanku Hakam nampak menantunya. Hurm, sesi pujuk memujuk dah bermulalah tu. Tergeleng kepala Tuanku Hakam dengan karenah pengantin baru ini.

Asal masalah itu tak libatkan sekeluarga, sudahlah, nak.

Maisarah kuak kasar pintu kamar tidur. Tas tangan dicampak ke katil begitu saja lalu berdiri di kaki katil. Tangan naik menyilang dengan hembusan nafas memburu. Entah kenapa Maisarah rasa nak emo. Mungkin marah kerana Tengku Qayyum mendapat tahu atau kesal dengan Iskandar secara tiba-tiba.

"Arghhh!" jerit Maisarah tiba-tiba. Kulit muka berubah merah. Rambut diraup ke belakang sebelum perlahan, punggung melabuh atas tilam katil. Menunduk habis kepala Maisarah dengan kedua-dua tangan sentuh tepi kepala. Maisarah tak tahu kenapa dengan dirinya.

Rasa nak lepaskan marah. Rasa nak menjerit kuat-kuat. Tekanan yang diterima oleh dirinya secara tiba-tiba, membuat Maisarah mula bertingkah tak keruan.

"Maisarah."

Suara Tengku Qayyum kedengaran. Jejaka itu kunci pintu agar tiada sesiapa masuk. Isterinya didekati dengan tatapan berubah teduh. Api yang sedia marak dalam dada, mendadak hilang bila melihat keadaan isterinya. Bergerak bebola mata Tengku Qayyum memerhati gerakan tubuh Maisarah.

Sepertinya... Maisarah perlukan seseorang untuk menenangkannya.

"Mai..." Tengku Qayyum perlahan mendekat. Lutut Tengku Qayyum jatuh mencecah lantai. Berlutut depan Maisarah kerana ingin lihat wajah si isteri yang sedang berperang dengan perasaan sendiri. Dia tahu bahawa isterinya masih mencintai Iskandar tapi apa boleh buat?

Dia tak mahu lepaskan Maisarah.

Tengku Qayyum jatuhkan pandangan. Kening sedikit berkerut dengan rahang bergerak-gerak. Seperti ingin menuturkan sesuatu tapi tak terluah.

"Saya tahu awak masih cintakan Iskandar tapi saya minta maaf, Maisarah. Saya tak dapat lepaskan awak semata-mata nak beri awak semula kepada Iskandar. Saya minta maaf kalau saya ego. Apa yang dah jadi milik saya, saya takkan lepaskan macam tu saja." Ujar Tengku Qayyum separuh berbisik. Tangan meramas kejap kepala lutut isteri. Seperti ingin mengatakan bahawa ayatnya benar belaka.

𝐏𝐫𝐢𝐧𝐜𝐞𝐬𝐬 𝐌𝐚𝐢𝐬𝐚𝐫𝐚𝐡 | TERBITWhere stories live. Discover now