Tengku Qayyum pandang Maisarah atas bawah. Gadis itu tak berkelip melihatnya dari tadi. Tentulah buat jiwanya kacau seketika. Apalah perempuan ni buat dekat sini? Tak pernah tahu pun bonda dan ayahanda ambil mana-mana orang jadikan adik angkatnya. Tak cukup dengan Tengku Bunga ke? Tengku Bunga seorang pun dah buat kepalanya pusing lalat.
"Apahal kau pandang aku macam tu? Kau ingat aku makanan ke?" sentak Tengku Qayyum menghilangkan lamunan Maisarah yang sempat larut melihat wajahnya. Muka aku serupa harta karun ke? Tengku Qayyum usap mukanya. Muka aku hensem sangat kut. Sempat jejaka itu masuk bakul angkat sendiri.
Maisarah senyum lucu sebelum menggeleng. Dia tak tahu nak panggil Tengku Qayyum apa kalau status mereka sekarang ini 'adik beradik angkat'. Kenapalah status tu juga diambil Permaisuri Widuri? Sungguh dia hairan kenapa Permaisuri Widuri halang dia daripada beritahu Tengku Qayyum hal sebenar.
Sekarang, dia nak gelar Tengku Qayyum apa?
"Ha mengelamun lagi! Kau ni kenapa? Mana bonda dan ayahanda?" Tengku Qayyum tak habis fikir dengan Maisarah. Apa masalah gadis itu? Tak bisu, mengelamun. Tak mengelamun, nangis tiba-tiba. Dia juga yang gelabah nak memujuk. Haish!
Maisarah tahan rasa hati. Boleh tahan kuat hilang ingatan suaminya ini. Nak aje jerit kuat-kuat depan lelaki itu bahawa dia ini isteri lelaki itu. Tapi, kesal bila ingat kesihatan suaminya belum sepenuhnya membaik. Kalau desak, dia sendiri susah kerana Tengku Qayyum kesakitan.
"Bo... bonda dengan ayahanda keluar kejap. Mai yang... yang kena jaga a... abang." Setelah itu, Maisarah menunduk. Mata dipejam rapat. Apa ni? Kenapa lidah kaku sangat nak bercakap? Sudahlah jantung rasa nak melompat keluar! Ah, Mai! Tolong jaga gerak-geri tubuh kau. Kau dan dia sekarang ini adik beradik angkat. Bukan suami isteri seperti dulu.
Kenapa, bonda... Maisarah mengeluh dalam hati.
"Oh. Bangun jap. Pergi potong buah untuk aku. Aku lapar tak makan sebulan ni. Pergi sana!" sesuka Tengku Qayyum memerintah 'adik angkatnya' itu untuk potongkan buah-buahan untuknya. Maisarah angkat kepala. Membalas tatapan Tengku Qayyum. Sedar, Mai! Dia bukan suami tapi 'abang' kau. Arghhh!
Tertekan lama-lama kalau macam ni!
"O... okey." Maisarah menurut. Perlahan bangun dari duduk untuk dapatkan bakul buah. Buah anggur dan epal diambil lalu basuh di sinki bilik air. Kemudian, Maisarah keluar semula. Pisau kecil di kabinet, diambil lalu pergi ke meja atas katil pesakit. Maisarah mula kopek kulit buah epal. Tunduk saja kepala gadis itu dan diam tak bercakap. Membiarkan suasana wad itu sunyi sepi walau ada mereka berdua.
Tengku Qayyum perhati tindak-tanduk Maisarah sambil peluk tubuh. Tengku Qayyum agak terkejut bila Permaisuri Widuri perkenalkan Maisarah sebagai adik angkatnya. Fikirkan gadis itu kekasihnya atau kawan atau lain-lain. Maisarah dikategorikan perempuan tercantik. Mana bisa jadi adik angkatnya? Selain itu, sudah berkahwinkah gadis itu?
Takkan secantik ini tiada mana-mana lelaki melekat? Melihat cincin di jari manis pasti sudah berpunya. Tengku Qayyum hela nafas. Sakit pula kepala ni banyak berfikir. Tengku Qayyum pegang kepalanya lalu diurut kecil. Memorinya saat ini kembali pada 10 tahun lalu. Dia tak tahu siapa dia yang sekarang ini. Dia hanya mengenali dirinya sebagai seorang Qay.
Seorang Qay yang ditakuti ramai orang kerana kecepatan dia dalam... meragut nyawa manusia. Ya. Dia tak ubah seperti haiwan liar yang hauskan darah dan laparkan daging manusia. Bahkan seorang Qay yang tiada siapa mahukan sosok itu ada di dalam Negara Vhagar. Tak peduli walau anak raja sekali pun, kuasanya seperti seorang pemerintah.
Maisarah ketap bibir. Sekejap dia mencuri pandang Tengku Qayyum yang melihat luar jendela. Apa yang difikirkan lelaki itu? Maisarah tersentak apabila Tengku Qayyum menangkap pandangannya. Cepat-cepat dia menunduk dan mengopek kembali kulit buah epal. Mata kuning keemasan itu berjaya buat tangannya menggeletar dan bergerak tak tenang.
Oh rasanya dada dia hendak pecah saat ini. Rasa sebak mula menyeruak masuk. Berkobar-kobar ingin beritahu siapa dirinya tapi dia tak mampu meluahkan kerana percuma saja Tengku Qayyum takkan mampu mengingat dirinya semula.
"Kau menangis." Bukan soalan tapi kenyataan daripada Tengku Qayyum bila menangkap satu titisan air mata mengalir di pipi mulus memerah itu.
Maisarah berhenti. Makin kabur pandangannya pada buah epal yang sedang dikupas. Ucapan Tengku Qayyum semakin mengoyakkan hatinya. Kenapa? Kenapa air matanya ingin jatuh sekarang? Dia tak mahu dipandang lemah oleh Tengku Qayyum tapi... tapi air matanya tetap degil ingin jatuh. Menyebalkan!
Maisarah gigit bibir. Perasan Tengku Qayyum turun dari katil. Berjalan ke arahnya. Maisarah cuba hiraukan dan kuatkan hati yang ingin jatuh. Dia tak mahu merayu pada lelaki itu agar mengingatnya semula!
Keteguhan Maisarah runtuh bila Tengku Qayyum menyentuh lengannya lalu cuba tariknya untuk menghadap satu sama lain. Ya Allah, kuatkan hatinya! Maisarah makin tundukkan kepalanya. Maisarah pejam mata. Air mata menurun lagi dan lagi. Berhenti menangis, Maisarah!
"Air mata kau degil betul ya. Siapa yang sakitkan kau ni? Sini bagitahu aku. Biar aku cari manusia bangsat tu. Berani dia usik adik aku yang cantik ni."
Tak dapat menahan, tangisan Maisarah terhambur. Teresak-esak sampai Tengku Qayyum mula gelabah. Dia rindukan perhatian lelaki itu. Dia rindukan keprihatinan lelaki itu. Dia rindukan semuanya! Maisarah angkat kepala. Melihat wajah tampan garang itu dengan muka basah. Tak peduli wajahnya sudah comot kerana air mata asalkan dia dapat keluarkan rasa yang memberatkan hatinya.
"Dah. Janganlah menangis. Aku kan ada. Aku boleh jaga kau dari orang yang sakitkan kau tu. Shhh..." Pujuk Tengku Qayyum dengan wajah datar lalu membawa Maisarah ke pelukan. Makin kuat tangisan Maisarah. Rasa cengkaman gadis itu pada sisi baju hospital dan dada basah dengan air mata gadis itu.
Maisarah menikmati pelukan itu. Cengkaman pada baju Tengku Qayyum dilepaskan lalu menyelusur naik memeluk leher Tengku Qayyum. Kuat sehingga kaki agak menjengket-jengket. Tengku Qayyum agak tersentak. Mula perasaan aneh menyelubungi hatinya tapi dia tak mengatakan apa-apa. Hanya menepuk belakang tubuh Maisarah dan berbisik memujuk.
"Aku ada."
Sebahagian dipotong untuk memudahkan penerbitan
YOU ARE READING
𝐏𝐫𝐢𝐧𝐜𝐞𝐬𝐬 𝐌𝐚𝐢𝐬𝐚𝐫𝐚𝐡 | TERBIT
RomanceMaisarah Az- Zahra Sombong, angkuh, percaya diri, berlagak, dingin, hati beku, mudah marah dan sinikal, semuanya dicampak kepada Maisarah. Si puteri mahkota yang sering jadi bualan orang kerana sikap dan kecantikannya. Mungkin kerana dia cantik, di...