BAB 9

852 16 0
                                    

"KAKAK! Kakak!" Pagi-pagi lagi suara umi dah jadi penggera bergerak ku. Ala... Umi ni! Kacau aku nak tidur betullah.

Aku masih balas. Syaitan masih erat mengikat aku di katil. Kembali pejam mata. Selimut tebal kembali ditarik ke dada. Bantal anak beruang ditarik menutup muka. Tak nak dikacau pada pagi hujung minggu yang damai ini.

"Kakak!" Suara mem besar berada dekat denganku. Aku yakin umi sedang berdiri di muka pintu bilikku.

"Bangunlah. Ya Allah... Budak ni!" Umi mula membebel. Dapat rasa kedua-dua tangan umi dah selamat mendarat di pinggangnya.

Aku dapat mendengar derap langkah kaki umi mendekati katil. Beberapa saat kemudian, selimut kesayanganku ditarik kasar. Sejuk pendingin hawa mula menyentuh kulit. Rasa umi melabuhkan punggungnya di sisi katilku.

"Anakanda kesayangan umi, bangun sayang."

Aku buka mata perlahan-lahan. Umi dah lawa berbaju kurung kuning. Siap bertudung. Nak pergi mana pula dah ni? Anak siapa kahwin? Tapi kalau ada orang kahwin, takkan nak tunjuk muka pagi-pagi? Umi pun tak pakai baju lip lap-lip lap, jadi aku yakin bukan nak pergi kenduri.

"Awal lagi, umi. Bagilah kakak tidur setengah jam lagi." Serak-serak suara pagi aku berkata. Serius rasa macam ada batu diletakkan di atas kelopak mataku. Berat.

"Cepat bangun, kakak. Teman umi pergi rumah Mak Cik Lyn."

Dengar aje rumah Mak Cik Lyn, terus rasa nak hantuk kepala ke dinding. Tak nak pergi sana! Kenapa? Sebab aku nampak dengan jelas kereta Mercedes-Benz CLA hitam berkilat yang cantik terletak di laman rumah Mak Cik Lyn. Tak payah panggil Terence Tai setakat nak tahu jawapannya. Maksudnya, Dr. Alpha Male tu balik! Lagi aku malas nak ke rumah Mak Cik Lyn.

"Ala... Umi. Umi pergilah dulu. Lepas tu kakak pergilah." Aku beralasan.

"Jangan nak mengada-ada, kakak. Cepat bangun. Kalau tak, umi cubit punggung kamu tu!" Umi mula mengugut.

Terus meluas mata aku. Sepit ketam umi di punggungku! Tidak! Mahu naik bisul kalau aku biarkan. Aku rela jumpa Dr. Alpha Male tu daripada menjadikan gluteus maximus aku menjadi mangsa kekejaman umi.

"Ya... Ya... Kakak bangun!" Bingkas aku duduk daripada perbaringan.

"Cepat mandi. Umi tunggu kat luar," arah umi lagi.

Aku jeling jam di telefon bimbitku. Pukul 8.30 pagi. Mengeluh. Sangat awal bagiku untuk hujung minggu. Dahlah aku tidur lambat semalam.

"Kita ni duduk kat kampung. Adat berjiran, kena selalu tolong-menolong. Nak-nak lagi kita ni jiran paling dekat dengan Lyn. Apa pula dia cakap kalau kita tak tolong." Umi mula berceramah. Dah mula dah dia dengan semangat perpaduan penduduk kampung ni.

"Ya, umi. Kakak tahu. Umi keluar dulu. Kakak bersiap," kataku. Lama aku biarkan umi di dalam bilik ini, mahu lagi panjang umi berpidato. Kalau ada orang dengar, sah kena lamar jadi wakil rakyat.

Umi keluar, tapi sempat bagi tahu jelingan amaran supaya aku cepat bersiap. Aku menggeliat malas. Nak tak nak kena cepat bersiap sebelum umi datang mengugut lagi sekali.

AKU lebih selesa membuntuti langkah umi untuk ke rumah Mak Cik Lyn. Makin aku mendekat dengan rumah banglo besar itu, makin kaki berat melangkah. Kenapalah dalam banyak-banyak minggu, minggu ni juga Mak Cik Lyn nak buat majlis tahlil?

Aku mengeluh. Telinga lintah umi yang cepat menangkap terus menoleh ke belakang.

"Kenapa, kakak?" soal umi dengan kerutan di dahi.

"Tak ada apa. Penat," autaku. Mana mungkin aku cakap yang aku ni malas nak ke rumah kawan baik dia tu sebab aku dengan anak kawan baik dia tu masih dalam mood perang dunia. Aku masih sakit hati, tahu?

DR. ALPHA MALEWhere stories live. Discover now