HAMPIR sejam aku duduk di taman itu. Hari dah menginjak ke malam, tapi aku peduli apa. Tak rasa nak pulang ke rumah dengan emosi kurang stabil macam ni. Menghadap Hilman pula! Aku tak rasa aku boleh berdepan dengan Hilman sekarang ni.
"Bahaya duduk sorang-sorang kat sini," tegur satu suara. Zaquan yang entah muncul dari mana.
Aku diam. Tak ada nafsu untuk menjawab. Bahaya ke? Apa nak bahaya kalau dalang yang dicari-cari rupa-rupanya tinggal sebumbung denganku.
Zaquan yang melihat kebisuanku itu melangkah ke arahku. Duduk di atas kerusi Batu, bersebelahan denganku. Telefonku tak putus-putus berbunyi. Sama macam tadi, aku biarkan sepi tak berjawab.
"Awak gaduh dengan Hilman ke?"
Kali ini aku angguk.
"Awak betul. Hilman mengaku yang dia pukul awak dan dia mengaku yang Mizan tu orang upahan dia."
Zaquan diam. Bagi aku bertenang.
Jauh fikiranku melayang. Semestinya teringat kepada si alpha male itu. Hilman mengaku akhirnya! Kenapa aku boleh tertipu dengan helahnya. Sekarang... Semuanya dah terlambat. Cintaku pada Hilman bukan sedikit. Aku tak rasa aku boleh hidup tanpa Hilman. Lihatlah betapa pentingnya dia dalam hidupku.
"Awak tahu, Zaquan? Walaupun saya tahu apa yang dia dah buat pada saya, saya masih cintakan dia. Sayang saya pada dia tak kurang satu inci pun. Saya cuma rasa marah sebab dia tipu saya. I try to hate him. But I can't," luahku.
Pejam mata. Macam mana aku nak rawat sakit hati dlukai? Aku cuba ingat Hilman. Yang muncul dalam kepalaku adalah waktu indah-indah. Dari mula aku hampir dirogol dulu. Hilman selalu berada di sampingku. Walaupun sebenarnya dia yang bertanggungjawab atas trauma jiwaku.
Hilman tak sekeji itu, Hazel! Macam mana kalau semua ni salah faham? Macam mana kalau Hilman tak salah? Tiba-tiba terdetik sesuatu dalam hatiku. Mula memikirkannya selepas fikiran kembali rasional. Kata hati mula berdebat sesama sendiri.
Kau yakin ke Hilman sekeji itu? Sejahat-jahat Hilman, tak mungkin dia sanggup buat macam tu.
Tapi dia sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan apa yang dia nak.
Tapi dia juga pernah berkata yang cinta tak semestinya memiliki. Dia sanggup lepaskan kau kalau itu yang buatkan kau bahagia dulu.
Mungkin dia cuma menipu.
Dan... Pernah ke dia tipu kau?
Kali ini, suara hatiku yang satu lagi diam. Tak punya jawapan sebab tahu Hilman tak pernah berbohong. Hingga kali terakhir kami bersua tadi. Hilman tetap jujur. Walaupun kejujurannya itulah yang membawaku ke sini. Hilman tetap jujur walaupun dia memang boleh berbohong. Malah, aku doakan supaya dia berbohong tadi.
Lantas kepala melayang kembali k peristiwa yang aku cuba lupakan dulu. Reaksi Hilman setelah dia menjumpaiku. Rasa terkejut pada wajahnya bukan ciptaan. Marah yang ditunjukkannya bukan gurauan. Sepanjang masa setelah itu, Hilman sering memberiku sokongan. Membantu untuk mengatasi traumaku yang bukan senang.
Dan ketika kali pertama kami bersama, wajah Hilman jelas terkejut dan keliru bila dapat tahu aku masih dara. Ketika itu, Hilman melayanku umpama kacau. Takut aku kena apa-apa dan penuh kasih sayang. Tak mungkin Hilman sekeji itu!
Sedikit harapan, aku mahu percayakan Hilman. Tidak... Aku percaya yang Hilman tak bersalah. Mungkin semua ini hanya salah faham. Mungkin aku telah terburu-buru membuat keputusan. Mungkin aku harus balik dan berbincang dengan Hilman. Daripada hati ke hati. Biarkan Hilman ceritakan semuanya tanpa aku menyampuk. Mungkin cerita yang aku faham dan cerita yang Hilman cuba sampaikan adalah tidak sama. Barulah aku boleh menghukumnya.