"DHEO!" Jeritku gembira sebaik sahaja melihat susuk tubuhnya. Dia senyum sekilas sebelum kembali kepada muka asalnya. Tegak berdiri di depanku.
Wah... Dheo senyum!
"Hazel," tegurnya sepatah. Macam biasa.
"Buat apa kat sini?" Soalku pelik.
"Saya ada meeting di tingkat sepuluh. Hilman pulak cakap awak kerja kat sini. So, alang-alang saya dah kat sini, I pay you a visit. Miss me, little girl?"
Tersengih aku mendengarnya. Wah... Dheo dah pandai bergurau! Tiba-tiba panggil aku little girl. Apa dah jadi dengan Dheo sekarang ni? Nampak lain sikit. Well... kelainan ke arah yang lebih bagus maksudku. Tengah dilamun cinta ke? Haha.
"Perasan. Siapa rindu dia?" cebikku.
Kenyataannya, aku agak rindukan dia. Kalau tak, takkan lebar senghku bila nampak dia muncul di depan mata. Tapi... Dah tentulah rindu macam adik rindukan abangnya. Walaupun kamu baru kenal, aku dapat rasakan Dheo istimewa. Mungkin kerana dia pun punya aura yang lain macam.
"Whatever keeps you happy, little girl." Itu tandanya Dheo dah malas layan.
Aku terus gelak.
"Dah lunch? Jom... Kita keluar makan?" ajak Dheo.
Aku berfikir sejenak. Kot-kot aku berjanji dengan sesiapa. Tapi rasanya tiada. Terus aku angguk.
"Apa lagi? Jomlah," ajak Dheo.
"Tapi awak belanja, boleh?" gurauku.
"Of course, Hazel. Saya yang ajak awak. Jom."
Aku sengih. Yay... Tak malunya aku minta orang belanja. Tapi... Aku tak tahu kenapa dengan Dheo aku rasa selesa. Mungkin kerana aku anggap dia tak lebih daripada abang. Dan Dheo pula tak pernah ambil kesempatan denganku.
"Kita berdua ke? Side kick mana?" soalku. Bertanyakan kembar Siam Dheo. Siapa lagi kalau bukan Si Lucca.
"Keluar makan agaknya. Dua petang nanti dia ambil saya. So, kita nak makan kat mana? Surprise me."
"Tapi kat sini restoran biasa-biasa. Tak macam makanan La Prince," kataku. Risau pula nak bawa orang berkemas tinggi macam Dheo masuk kedai makan. Manalah nak sama dengan hotel kelas lima bintangnya itu.
"Anywhere, Hazel. Janji bersih."
"KENAPA semua orang tengok sini?" soalku perlahan. Dapatku rasakan perhatian semua orang tertumpu ke meja kami. Bukan... Sebaik sahaja aku masuk dengan Dheo tadi, suasana terus berubah. Pelayan yang mengambil pesanan tadi pun sampai tergagap-gagap bila bertanya Dheo.
Tapi Dheo cuma selamba. Hirup air kosongnya macam kami berdua bukan menjadi tumpuan semua orang.
"Well... Because you're with Dheo Han." Bukan nak berlagak, tapi itu adalah kenyataannya.
"Tapi, kenapa? Awak Dheo Han, so what? Kita cuma nak makan."
"Mungkin sebab ini tempat musuh saya?"
Ayat itu hampir buatkan aku tercekik nasi. Bulat mataku tak percaya.
"Kenapa tak cakap awal-awal?" marahku perlahan. Dheo cuma tenang.
"Macam awak cakap tadi, kita cuma makan. No harms done." Mudah jawapannya.
"Tapi... Kenapa semua pelik tengok awak dengan saya? Awak ni tak pernah keluar makan dengan perempuan ke?"
Dheo angguk.
Dheo angguk?! Aku tak percaya. Anti perempuan ke apa dia ni? Habis, aku perempuan pertama yang dilihat berdua-duaan dengannya? Sekali masuk paper, mahu haru jadinya. Aku ni isteri Hilman.