MAJLIS tahlil diadakan pada waktu malam. Ruang tamu sudah dipenuhi dengan ramai lelaki. Majoritinya yang datang terus dari masjid. Aku pula bersama beberapa orang wanita berkumpul di bahagian dapur. Menyiapkan hidangan untuk dihidangkan kepada semua orang nanti.
Aku cuma berbaju kurung tak berapa nak moden, berwarna coklat tua dikenakan dengan tudung bawal kosong berwarna pic. Biasa-biasa aje. Buat apa nak pakai lawa-lawa? Beberapa jiran aku turut ada, tapi tak adalah seramai pagi tadi. Ramai yang dah balik selepas juadah siap dimasak.
Seketika kemudian Dr. Hilman muncul di dapur. Menandakan hidangan sudah sedia untuk diangkat kepada tetamu. Beberapa orang lelaki turut muncul di dapur untuk membantu mengangkat talam yang berat berisi pelbagai jenis lauk-pauk itu.
Tugas aku pada malam itu adalah tukang cuci pinggan mangkuk. Kata umi, kesian Mak Cik Lyn tak ada anak perempuan sebab Nana tak balik. Makin menyedapkan cerita, cuma aku anak dara kat situ. Seharusnya aku berkorban dan merelakan bahuku terkena percikan air Sunlight nanti. Kan aku dah cakap tadi. Buat apa pakai lawa-lawa? Last-last berdiri depan sinki juga.
Lengan baju disingsing separas bawah siku. Nasib baik ada seorang jiran aku yang turut menolong. Kami berbual-bual sambil melakukan kerja untuk menghabiskan masa. Tak sedar masa berlalu, tengok-tengok dah hampir habis pinggang mangkuk kami basuh. Berpeluh juga dahi.
Yang tinggal tak berbasuh cuma beberapa periuk dan kuali yang besar. Mak Cik Lyn dah tegah aku daripada membasuh. Katanya, itu tugas Dr. Hilman pagi besok. Dalam hati aku gelak. Cuba bayangkan pensyarah aku yang bermuka ego tu tengah berus kuali. Mesti kelakar,kan? Pukul berapa agaknya dia basuh besok? Nak juga aku ambil gambar sekeping dua. Buat bahan gelak bila tengah stress. Haha.
Rumah Mak Cik Lyn dah makin sepi. Ramai yang dah balik ke rumah masing-masing. Aku jeling jam di dinding. Beberapa minit lagi hari hampir menginjak. Patutlah dah rasa macam ada ungka tengah bertenggek di atas kelopak mata. Berat.
Pinggan-pinggan yang dibasuh diatur mengikut saiz. Mahu mengangkat ke kabinet supaya ruangan dapur menjadi sedikit kemas. Saja aku angkat awal-awal sebab mahu menyenangkan tuan rumah nanti.
Boleh tahan berat juga. Tengah gigih mengangkat pinggan-pinggan itu, tiba-tiba ada suara mencelah.
"Need help?"
Kepalaku dipusingkan ke arah itu. Tak payah pusing sebenarnya sebab suara itu sudah sebati di gegendang telingaku. Dr. Hilman. Tak puas hati. Kenapa suara dia sedap?
"Tak apa. Tulang saya ni masih cukup kalsium. Mitochondria pun masih banyak berenang-renang dalam otot saya ni. Jadi, saya banyak tenaga dan tak perlukan pertolongan Dr.," jawabku angkuh. Dah kenapa aku bercakap macam Pasha ni?
Dr. Hilman ni pula ternyata tak faham bahasa Melayu. Buat pekak dan kemudiannya dengan selamba mengangkat pinggan-pinggan itu. Tenaga lelakinya buatkan wajahnya tak beriak. Angkat pinggan yang berkilo-kilo tu macam angkat kapas. Eleh... Nak cakap otot dia lebih banyak mitochondria daripada aku la tu!
Aku cuma diam. Nak angkat sangat, kau angkatlah semua. Biar aku sekarang ni angkat kaki pula. Adios! Tanpa buang masa, aku tinggalkan dia di dapur. Agak biadap. Tapi aku peduli apa! Umi dicari.
"Umi.... Kakak nak balik. Ngantuk lah," kataku sebaik sahaja aku jumpa umi. Umi sedang berbincang dengan Mak Cik Lyn.
"Pergilah balik dulu. Umi ada benda nak bincang dengan Lyn. Lambat lagi nak siap. Nah kunci rumah." Umi serahkan kunci rumah. Maksudnya cuma satu. Tiada orang di rumah! Aku memang tahu Abi ada kursus di Alor Setar. Pasha? Haaa... Mana budak bertuah tu?
"Pasha mana, umi?" soalku.
"Tadi ada lepak dengan kawan-kawan dia. Ke mana entah budak tu menghilang."