AKHIRNYA tiba juga majlis makan malam tahunan untuk jurusanku. Kali ini majlis makan malam diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC). Aku, Sabiha, Aqilah dan Hanani pergi ke sana dengan keretaku. Malas nak naik bas. Nanti tak payah pergi awal-awal. Lepas solat maghrib pun sempat nak bertolak.
Majlis kononnya akan bermula pukul lapan malam. Tapi pukul lapan Lima minit malam pun, kami berempat masih berlenggang kangkung mencari dewan. Bukan aku tak tahu, biasanya pukul lapan mula bersamaan dengan lapan setengah malam. Kami dulu dah makan geramlah, uruskan benda alah ni. Jadi, relaks sudah.
Suasana dewan besar itu dihiaskn mengikut tema. Cantik! Aku puji ahli jawatankuasa penganjur makan malam kali ini. Nampak elegan. Pasti mereka bekerja keras untuk dapatkan sponsor. Aku harap semua berjalan lancar.
Kami menuju ke meja bulat yang dikhaskan untuk pelajar semester enam ijazah. Gara-gara dah tahun akhir, meja kami dan pelajar semester akhir diploma adalah paling depan setelah meja tetamu VIP, pensyarah dan alumni. Sebuah meja bulat itu dikhaskan untuk sepuluh orang.
Dewan besar itu meriah dengan suara para pelajar. Semua sibuk berselfie sementara menunggu majlis mula. tetamu VIP masih belum tiba. Aku pun sama. Klik sana, klik sini. Apa lagi? Update Instagram la. Penat tahu aku nak berlawa macam ni. Dah macam pengantin turun dari langit. Haha.
Pakaian aku simple sahaja. Tak adalah segempak apa yang dipakai orang lain yang sanggup menghabiskan duit semata-mata nak kena dengan tema. Cinderella, Snow White, Rapunzel, macam-macam ada. Nasib baik tak ada The Little Mermaid aje.
Walaupun aku ni Snow White, aku aci hentam aje pakai. Maxi dress berwarna putih dan berselendang royal blue berkilat. Juga dipadankan dengan clutch putih dan sepasang wedges Lima inci berwarna putih. Aku kan memang suka putih. Kena apa dengan 'white' tu? Haha.
Sabiha suruh aku pakai kostum Snow White supaya lakonan lebih berkesan. Memang tak la! Penat nak berdebat, akhirnya aku pakai cekak warna merah di atas kepala untuk menampakkan aku adalah Snow White masa berlakon nanti.
Pandanganku berlegar ke meja-meja pensyarah. Ramai pensyarah bawa pasangan masing-masing. Bawa anak-anak pun ada. Yang perempuan comel-comel pakai gaun kembang. Yang lelaki segak berjean dan berbaju T.
Tapi masih tiada bayang Hilman.
"Kau tengok Dr. Hilman, handsome nak mati." Aku dengar suara teruja Hanani.
Kepadaku automatik berpaling ke arah yang dimaksudkan Hanani. Itu dia... Dr. Hilman dah buat grand entrancernya dengan... Dr. Alana? Dia datang sini dengan Dr. Alana? Dia tak cakap kat aku pun!
"Sweetnya nampak dia orang berdua tu? Berjanji ke apa? Sorang pakai macam Cinderella. Sorang dah macam Prince Charming. Mesti comel kalau dia orang couple," sampuk Hawa pula. Mata dah berbintang-bintang.
Sabiha dah jeling ke arahku. Tapi aku cuma diam. Tahan rasa. Sweet kaki dia! Berbahang aje dengar orang lain padankan tunang aku dengan perempuan lain.
Langkah. Mayat. Aku. Dulu. La.
Whoa... Hazel! Sejak bila kau jadi possessive dengan Hilman ni?
Kedua-dua manusia yang sedang berjalan itu diperhati. Dr. Alana cantik dalam gaun labuh berwarna biru lembut. Rambut hitam lebatnya disanggul tinggi dan sedikit rambutnya sengaja dibiarkan beralun di tepi pipinya. Macam yang Hawa cakap tadi, macam Cinderella.
Dalam hati mengeyakan. Macam berjanji. Dahlah warna baju hampir sama. Cinderella dan Prince Charming. Mereka berdua macam pinang dibelah dua. Sorang cantik. Sorang kacak. Dua-dua bijak. Jauhnya kalau dibandingkan denganku ini.
Aku terus alihkan wajah. Malas nak terus tengok. Rasa sakit dalam hati dikaburi dengan wajah selamba. Terus aku hirup air putih yang berada di dalam gelas tinggi di depanku itu. Sejukkan hati sendiri.