BAB 25

509 13 0
                                    

SELEPAS solat subuh, aku terus berjaga. Bersihkan  diri sebelum kembali baring di atas katil bersaiz king itu sambil tenung sekeliling bilik besar itu. Bilik tetamu, kata Hilman. Berdindingkan biru lembut dan besarnya mengalahkan dua bilik rumahku yang digabungkan.

Katil empuk. Bilik berpendingin hawa. Bilik air siap berjakuzi. Lengkap dengan TV LCD lagi. Pendek kata, sangat selesa. Tapi... Terlalu selesa buatkan aku jadi tak selesa.  Aku tak tahulah kedatanganku ini diketahui oleh ahli keluarga Hilman atau tak. Sebab semasa Hilman seludup aku masuk semalam, rumah sunyi sepi walaupun meriah berlampu.

Hilman pun semalam  cuma tunjukkan bilik ini. Turunkan  beberapa pesanan seperti ucapan selamat malam, selamat beristirahat dan segera memberitahunya kalau perlukan apa-apa pertolongan. Dan setelah itu, Dia berlalu ke biliknya yang terletak selang dua bilik dari bilik ini. Dan sampai sekarang, aku dah tak dengar apa-apa daripada Hilman.

Bosan berbaring, aku mengiring ke kiri. Bantal empuk berbulu burung itu dipeluk. Memang kebiasaanku. Aku tak boleh tidur kalau aku tak peluk sesuatu. Tak kiralah apapun asalkan boleh dibuat peluk. Tabiat tidurku memang pelik sikit.

Apalah aku nak buat sekarang ni? Hilman ni pula, ingat ke tak yang aku ni ada di dalam  rumahnya. Karang kalau aku tiba-tiba muncul di depan ahli keluarganya, mahu disalah anggap sebagai pencuri.

Kriukkk.... Perut mula bagi salam nak berdangdut. Laparnya! Kali terakhir aku makan, tengah  hari semalam. Gara-gara kejadian semalam, aku lupa untuk makan. Badan pula memang terlalu penat, hanya katil yang aku ingat.

Resah aku menunggu Hilman. Perlu ke aku WhatsApp dia? Kalau dia tak bangun lagi macam mana? Sengsaralah kau wahai sel-sel perut. Selamat berperang dengan asid hidroklorik dalam perut tu.

Man... Saya lapar.

Aku tenung apa yang ktulis dalam Chat WhatsApp itu. Serius kau Hazel nak hantar mesej tu? Bagilah salam dulu.

Salam. Man... Saya lapar.

Macam pelik aje? Kau ingat dia babu kau? Sediakan makanan kau? Aku mula berfikir ayat baru. Apa kata aku tambah soalan 'Bila awak nak hantar saya balik?' kat tengah-tengah. Nampaklah yang aku ni tak nak menyusahkan dia.

Aku angguk-angguk kepala. Setuju dengan pemikiran sendiri. Jari ditekan selepas perkataan 'Man'. Mahu padam perkataan itu dan menggantikan dengan soalan 'Bila awak nak hantar saya balik?' Sedang jari ketuk-ketuk skrin, entah macam mana silapnya, tiba-tiba aku tertekan butang send.

Apa yang aku lihat setelah itu buatkan aku hampir jatuh katil. Terus terjerit kecil. Oh, tidak!

Salam. Bi... Saya lapar.

Bi? Weh... Lain macam ni! Gerenti tersalah faham. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak WhatsApp, kau tunggulah dia datang ketuk bertalu-talu pintu bilik kau.

Macam apa yang aku agak, tak sampai setengah minit, pintu bilikku ini diketuk bertalu-talu. Langkah diatur ke pintu. Walaupun aku takut untuk bersemuka dengan Hilman, tapi aku tetap harap orang di luar bilik ini adalah Hilman, bukan orang lain.

Pintu bilik perlahan-lahan dibuka. Hilman. Lega aku rasa. Dia segak dengan seluar jean gelap dan baju T berwarna hitam-kelabu. Rambutnya agak basah. Mungkin baru lepas mandi. Sebaik sahaja aku melihat iPhone dalam genggamannya, ringan rasa tangan mahu kembali hempas pintu.

"Bi?"

Dan sekarang aku rasa macam nak terjun masuk ke dalam almari pula. Malu! Maksudnya dia memang dah baca. Dalam hati, berbakul sumpah seranah khas untuk diri sendiri yang cuai.

"Somehow, actually I think you really want to call me baby," katanya lagi. Ada senyuman mengusik terhias di bibirnya. Makin berbahang kulit wajahku.

"Saya tersalah hantar," terangku laju.

DR. ALPHA MALEWhere stories live. Discover now