"SERONOK jadi matchmaker?" celah satu suara membuatkan senyumanku terus mati.
Anak angkat kepala. Hilman. Tegak berdiri di depan kaunter dengan kedua-dua tangan diseluk ke dalam kocek seluar sleknya. Entah bila dia muncul. Aku senyum nipis ke arahnya.
"Matchmaker? Matchmaker apa?" tanyaku. Buat-buat dungu. Tapi pelik juga. Takkan Hilman tahu Dheo yang jadi arnab itu?
"I know, Hazel. I know you especially," jawab Hilman mudah. Cukuplah jawapan itu, aku dah tak mahu mempersoalkannya.
"Shhh... Jangan cakap kat orang lain Dr., buat-buat tak tahu, ya?"
Hilman tundukkan sedikit badannya. Kedua-dua tangan disilangkan di atas kaunter servis pelanggan yang cuma dihuni olehku sendirian itu.
"Kalau abang ikut, malam ni agak-agak boleh dapat kiss tak?" Perlahan saja suara Hilman. Cuma untuk kami dengari. Dia senyum nakal.
"Gatal!" cebikku. Sikit-sikit cium, sikit-sikit kiss. Menyampah.
Hilman ketawa perlahan.
"Dr. buat apa kat sini? Turun lawat kawasan ke?" soalku. Tak nak orang lain syak bukan-bukan bila tengok Hilman lepak sini.
"Ya, saya nak tengok booth kita. Sekarang ada masalah apa-apa? Atau perlukan barang apa-apa?" Hilman bertukar mood kepada Dr. Hilman.
"So far, tak ada apa-apa kut."
"Kalau macam tu, baguslah." Hilman angguk. Tubuhnya kembali ditegakkan.
"Sebelum saya pergi, saya nak tunjukkan awak satu magik."
"Magik?"
Hilman keluarkan satu keping duit syiling lima puluh sen.
"Ini duit Lima puluh sen. Sekarang ni duit ni ada kat sini." Aku cuma mendengar dan menanti.
Hilman genggam duit syiling itu. Tangan kiri atas tangan kanan, tangan kanan atas kiri. Kemudian entah apa yang dia buat, aku pun tak tahu. Kedua-dua tangannya dibuka.
"See... Duit tu dah hilang."
"Lame!" cebikku. Aku tak tahu helah apa yang dia gunakan, tapi magik pasal hilangkan duit syiling ni memang dah lapuk.
Tapi Hilman cuma senyum. Muka tak kesah bila aku kutuk dia.
"Nak tahu kat mana saya sorokkan syiling tu?"
"Hmmm... Kat mana? Kat lengan baju? Ke celah kolar? Ke dah sesat dalam usus besar?" Aku masih melayan.
"Syiling tu saya letak berdekatan dengan awak. Tapi saya dah hembus-hembus syiling tu dan tukarkan kepada something. Cuba awak cari."
Aku masih melayan. Mengikut katanya. Belek-belek kertas yang tersusun cantik, alihkan pen-pen dari dalam bekas. Manalah tahu duit syiling tu jadi lima puluh ringgit? Boleh juga aku beli sepuluh aiskrim Magnum nanti. Haha.
Kemudian aku tarik drawer kecil yang berada di atas kaunter itu dan tanganku terus terkaku. Ada tiga kuntum awar merah cantik terletak di dalamnya. Aku angkat kepala pandang Hilman. Dia senyum lawa. Badannya dibongkokkan rapat ke kaunter.
"Is that still lame, sweetheart?" Mahu menggigil tubuhku mendengar bisikannya itu.
Automatik aku telan liur. Entah kenapa boleh nervous.
Kemudian Hilman tegakkan tubuhnya. Pusing dan berjalan pergi macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Bibirku menguntum senyuman. Lantas tiga kuntum bunga mawar itu diambil dan dicium. Wangi. Sah-sah bunga ni untukku. Macam mana dan bila masa Hilman letak ni pun aku tak tahu? Ini baru betul magik. Hilman... Hilman... Ada saja akalnya.