"WEH... Bihar, aku teman aje tau. Cameron kau." Sejak aku ambil Sabiha di kampus, sampailah dah selamat sampai di tingkat G pusat beli-belah Mid Valley ini, aku dah macam radio buruk mengulang ayat yang sama. Adalah nak dekat sepuluh kali.
"Ya... Aku tahulah. Kau cuma teman aku. Kau Cameron aku. Dah... Jangan cakap lagi." Sabiha tayang muka menyampah.
"Kau dah beritahu Iwan ke belum? Karang tak pasal-pasal dia tembak aku dengan senapang dinosaur sebab dah ajar tunang dia curang," soal Sabiha pula.
Aku ketawa.
"Dah. Kesian dia. Hari ni pun kena kerja. Dia takkan jealous punya sebab dia tahu aku sayang dia aje. Dia suruh aku enjoy dan ingat dia." Aku ulang apa yang dikatakan oleh Iwan sewaktu aku memberitahunya tadi.
"Perasan betul mamat tu." Sabiha menjulingkan matanya ke atas. Menyampah.
"Dia tahu ke kau nak ke Mid Valley?"
Aku geleng kepala. Sama ajelah di mana-mana pun. Si Hariz ni satu hal. Mula-mula cakap Pavilion. Alih-alih jumpa di Mid Valley. Nasib baiklah aku memandu kereta sendiri.
"Kau janji nak jumpa dia kat mana?" soalku. sekelilingmu dipandang. Mid Valley makin sesak. Maklumlah, hujung minggu, penuh dengan anak-anak muda yang keluar berhibur.
"Kejap aku tanya."
Aku cuma diam. Klise betul. Asal nak keluar dating, mesti di pusat beli-belah. Cuba jadi klasik sikit. Macam zaman P. Ramlee dulu. Bila nak dating, pergi taman bunga. Lepas tu, nyanyi-nyanyi. Nak Hindustan sikit, joget-joget.
Nak lain sikit, ke taman buaya. Buaya menjadi pencegah maksiat. Barulah rasa macam beringat-ingat sikit sebelum nak buat maksiat. Sebelum sempat berpegangan tangan. dah hilang kepala kena ngap dengan buaya. Tak gitu?
"Dia orang tunggu di restoran Secret Recipe. Makan dulu."
Aku cuma mengikut. Nasib baiklah restoran itu masih terletak di tingkat G. Tak adalah penat sangat mahu berjalan. Beberapa minit berjalan, akhirnya sampai juga. Kepala mula pusing ke kiri dan kanan untuk mencari susuk Hariz.
Jumpa. Dari jauh aku melihat Hariz yang segak dengan baju T hitam dan seluar jean lusuhnya. Dia senyum apabila melihat kami. Perhatianku beralih pula pada teman Hariz. Sedang bercakap di telefon sambil membelakangi aku dan Sabiha. Hanya tangannya yang sedang memegang telefonnya yang aku nampak.
Makin kaki mendekati, makin jelas susuk teman Hariz. Makin aku rasa familiar dengan gerak tubuh lelaki itu. Makin jelas juga aku nampak model jam tangan yang melekap gah pada tangan kiri yang memegang iPhonenya itu. Jaeger-LeCoultre.
Macam pernah kulihat jam itu, tapi di mana, ya?
"Ya, mummy. Insya-Allah. Nanti Man cuba cari. Waalaikumussalam." Suara yang cukup kukenali!
Seakan-akan tahu aku dan Sabiha sedang berdiri di belakangnya, dia berpusing. Sah! Tak perlu kata apa-apa...
"Dr.?" Serentak aku dan Sabiha berkata. Sama-sama tak percaya. Sama-sama ternganga.
Gorila hijau dah bertukar jadi alpha male!
"Eh, kenal ke? Ni Hilman, abang saya."
"Abang?" Sekali lagi aku dan Sabiha bersepakat suara.
Kemudian kami berdua bergilir-gilir memandang dua jejaka hangat yang berada di depan kami. Aku dan Sabiha berpandangan. Bagaikan telepati, aku tahu otak kami berkisar tentang perkara yang sama.
Orang yang wajah Hariz punya iras adalah Dr. Hilman, abangnya sendiri. Hari ini baru jumpa jawapannya. Bila duduk sebelah-menyebelah, baru nampak persamaannya. Bukan nak kata macam kembar atau banyak irasnya, tapi wajah mereka ada persamaan walaupun tak banyak. Sekilas pandang, orang dah tahu mesti adik-beradik punya.