AKU berdiri sambil bersandar pada pintu kereta penumpang bahagian depan. Hilman sedang berbincang sesuatu dengan Dheo beberapa meter dariku. Malas aku nak mengganggu mereka bila diri kita tak dialu-alukan.
Bak kata Dheo... Men's business!
Mataku dijulingkan ke atas. Men's business, men's business juga. Tapi aku ni dah nak jadi Hazel panggang di bawah cahaya matahari terik ni! Lupa pula nak mintak kunci kereta daripada Hilman tadi. Bahananya, Berkipas-kipaslah aku dengan tangan sendiri sambil mengumpul sabar.
Aku pandang sekeliling. Kira orang lalu-lalang untuk menghilangkan kebosanan. Ada yang baru keluar dari kedai makan sebelah. Ada yang baru masuk kedai farmasi. Ada yang sedang berjalan sambil memimpin kanak-kanak kecil yang makan aiskrim. Terliur aku tengok budak tu makan aiskrim. Ni rasa nak mengidam Magnum ni!
Pandanganku teralih pula ke arah kanan. Macam-macam ragam manusia. Ada yang tengah marah-marah ketika bercakap di telefon. Masalah cinta la tu! Ada pula seseorang memakai hoodie kelabu berada di jalan bertentangan. Hanya pegun berdiri.
Lama mataku terpaku di situ. Entah kenapa hati rasa tak sedap. Agak jauh, tapi aku dapat rasakan dia sedang melihat ke arah sini. Pandang kiri kanan. Kosong. Sah dia pandang aku.
Kenapa aku rasa aku macam aku pernah nampak dia walaupun aku tak dapat melihat wajahnya? Hanya gayanya. Lalu aku memejam kedua-dua mataku. Cuba memerah akal. Siapa? Aku kenal ke?
Zap! Dia ke? Orang yang sudah lama kami cari? Stalker aku? Dadaku berdebar-debar laju. Entah kenapa aku yakin dengan firasatku.
Lantas mata kembali dibuka. Tiada! Laju bebola mata bergerak. Mencari. Jumpa! Lelaki berhoodie itu sedang berura-ura mahu meninggalkan tempat itu. Mungkin sedar yang aku dah menyedari kewujudannya.
No! Kali ini aku takkan lepaskan dia. Aku nak tahu dia siapa! Aku tak mahu hidup dalam ketakutan lagi. Aku nak semua ini berakhir.
Bagaikan dirasuk, kaki terus menapak. Dengan satu misi yang nekad.
Kejar. Dia.
Serius aku tak sedar apa yang aku lakukan. Sehinggalah bunyi hon yang kuat membangkitkanku ke dunia nyata. Sedar-sedar, aku berada di tengah-tengah jalan raya.
Terkaku. Terkedu. Kedua-dua kakiku bagaikan terpasak. Bulat mataku saat melihat kereta jenis Proton Preve sedang meluncur laju ke arahku. Kalau bukan ada tangan yang tiba-tiba menarikku, aku rasa aku dah jadi arwah. Kemudian kedengaran sumpah-seranah ditujukan khas untukku daripada pemandu kereta itu.
"Are you stupid? Gila ke?" Kedengaran suara tinggi yang cukup kukenali. Marah tahap teramattt. Di balik suara amarah itu, terselit getaran yang sukar kutafsirkan. Dapat juga kurasakan tubuh penyelamatku itu sedikit menggigil.
Hilman.
Tak Daya untuk bersuara gara-gara masih belum hilang dari rasa terkejut. Kaki juga masih belum mendapat kekuatan. Kalau bukan tangannya yang menampung beratku, aku rasa mahu aku sujud ke tanah.
Aku pandang ke arah lelaki berhoodie berjalan tadi. Dah lesap.
"Kalaulah kereta tu... Damn it, Hazel! I can't even imagine what will happen if I was a second late!" Bersama itu, terasa tangannya di tubuhku dieratkan, menarikku rapat ke dadanya. Mungkin membayangkan segala kemungkinan.
"Jangan takutkan abang, sayang. Abang tak nak kehilangan Hazel." Perlahan suara Hilman kali ini. Rapuh dan penuh rasa takut.
"I saw him! I just want him to be arrested," kataku biladah dapat suara. Kepala dipanggung. Hilman sedang merenungku dengan penuh perasaan. Dia cuma diam.