USAI solat Jumaat, kami berlapan bertolak ke Cherating untuk menghadiri seminar Parellel Computing. Kami pergi dengan menaiki dua buah kereta. Kereta Dr. Hilman dan kereta Dr. Alana. Kami semua berkumpul di lobi fakulti sebelum mula bertolak.
Kami bahagikan kepada dua kumpulan. Empat orang naik kereta Dr. Hilman dan empat orang lagi naik kereta Dr. Alana. Memandangkan Dr. Alana dah buat keputusan untuk naik dengan Dr. Hilman. Maka kekosongan tinggal lagi dua untuk yang menumpang kereta Dr. Hilman. Selebihnya harus menaiki kereta Dr. Alana yang dipandu oleh Muiz.
"Hilman, you tolonglah angkatkan beg I. Beratlah," adu Dr. Alana. Sambal menunjukkan ke arah beg sederhana besarnya itu. Dari tadi lagi terkial-kial cuba mengangkat, tapi kekuatannya tak cukup.
Hilman cuma mengikut. Mengangkat beg itu macam angkat kapas dan disumbat ke dalam bonet kereta Mercedeznya yang sedang ternganga itu.
"Thank you, Hilman. You tahu tak I excited sangat nak pergi. Rasa macam nak pergi bercuti pula. Dah lama I tak tengok pantai," Dr. Alana tayang muka teruja."You tu bukan I tak tahu. Dekat US dulu pun suka sangat pergi LA, Vegas."
"You ingat lagi?"
"Of course I ingat, Alana. I pun pernah join you. In group summer trip two years ago."
Lepas tu entah apa yang mereka berdua bualkan. Menggamit memori lama. Diam-diam aku cuma memerhati. Hilman ni... Dia sedari ke tak yang aku ni dengar semuanya?
"Geng... Siapa nak naik dengan kami, siapa nak naik dengan Dr. Hilman?" Soalan Azwan buatkan aku kembali ke alam nyata. Cuma aku, Sabiha, Hawa dan Adila yang belum buat keputusan.
"Weh... Aku tak nak naik dengan lecturer. Awkward dowh. Mesti jadi skema. Nak tidur pun susah." Adila bersuara perlahan. Siapa nak sekereta dengan pensyarah, wei? Buatnya tiba-tiba Dr. Hilman atau Dr. Alana bosan, lepas tu buka sesi viva dalam kereta, mahu terjun tingkap semua.
"Aku nak naik kereta Dr. Hilman. Bila lagi nak merasa naik Mercz?" Sabiha sengih.
"Aku mana-mana pun boleh." Hawa jongket sebelah bahu.
"Kalau macam tu, Hazel naik dengan aku. Baru semangat nak bawa kereta kalau ada Hazel." Muiz pula bersuara. Senyu manis ke arahku.
Aku mana-mana pun boleh. Kalau tak sekereta dengan Dr. Hilman dan Dr. Alana lagi bagus. Tak payah sakit hati sangat. Nak tidur pun senang. Dahlah aku agak kurang sihat dari pagi lagi.
"Hazel, Sabiha naik dengan saya. Yang lain naik kereta Alana." Belum sempat aku bersetuju, suara Dr. Hilman terlebih dulu membuat keputusan. Entah bila dia muncul, aku pun tak perasan.
"Okey." Dah dah tentulah semua akur. Termasuk aku walaupun aku berat hati.
Malas-malas aku tarik beg pakaianku. Nak sumbat masuk ke dalam bonet kereta. Baru aje aku nak angkat, ada tangan asing yang mencelah. Hilman. Tanpa mengucapkan apa-apa, aku terus berlalu untuk masuk kereta. Tempat duduk di depan dah tentulah dihuni oleh Dr. Alana. Memandangkan Sabiha dah ambil tempat di belakang Dr. Alana, maka aku terpaksa duduk di bahagian belakang Hilman.
Sepanjang perjalanan bermula, aku dan Sabiha lebih selesa diam. Ni la agaknya apa yang dikata Adila tadi. Automatik berubah skema bila sekereta dengan pensyarah sendiri. Nak berbual dengan Sabiha pun tak selesa. Serius aku dengki dengan kereta belakang! Aku dah boleh bayang suasana meriah dengan gelak ketawa. Tak pun tengah layan Azwan yang suka loyar buruk. Tak pun berkaraoke bila dengar lagu Aiman Tino.
Akhirnya, cuma Dr. Hilman dan Dr. Alana yang rancak berbual. Mereka bercakap macam aku dan Sabiha tak wujud.
"Hai... Senyap aje orang belakang?" Dr. Alana bersuara. Sekali dia menoleh ke arah belakang. Aku dan Sabiha saling berpandangan.