AKU cuba meronta kasar. Cuba membebaskan diri daripada ditindih. Segala kudrat digunakan untuk menolaknya. Kaki dan tangan bekerjasama, namun kudratnya lagi kuat untuk melawan tenaga wanitaku.
Nafas pula makin terasa singkat. Tersekat gara-gara tubuh berat yang menghimpitku itu. Air mata mula mengalir bila terasa bibirnya mendarat di sekeliling kulit leherku. Aku mula melayu agar dilepaskan bila terasa tangannya mula meliar di serata lekuk tubuhku.
Namun segalanya sia-sia. Terasa sebelah tangannya yang berada di perutku itu merentap kasar pakaianku dan aku terus menjerit.
"Hazel!" Sayup-sayup suara itu.
Aku terus meronta.
"Hazel!" Lebih kuat. Kali ini tubuhku digoncang sekali.
Aku tersedar. Gelap. Terasa bagaikan ada benda berat menghimpit tubuhku. Dan bayangkan tadi kembali lagi. Aku menjerit lagi.
Seketika kemudian, bilik gelap itu diterangi sedikit cahaya.
"Hazel, ni abang."
Dan aku tahu semuanya tadi adalah mimpi semata. Tiada lelaki itu. Apa yang aku takutkan selama ini tak berulang lagi. Naik turun dada mencuba untuk bertenang.
"Hilman?" panggilku perlahan. Wajah Hilman berada dekat denganku. Terus aku pegang.
"Ya, sweetheart. Ni abang."
"Abang." Terus aku peluk lehernya. Erat-erat. Hilman pun jelas-jelas tergamam. Tapi aku tak peduli. Pelukan yang erat makin dieratkan.
"Semua tu cuma mimpi. Hazel selamat dengan abang." Hilman memujukku. Bahuku diusap-usap perlahan.
"Sorry," gumamku perlahan. Rasa bersalah kerana dan kacau nikmat tidurnya.
Hilman mengubah posisi tubuhnya. Dia menelentang tanpa melepaskanku, buatkan kepalaku mendarat di atas lengan sasanya. Sebelah tangannya lagi memeluk pinggangku.
"Shhh... It's okay. Sambung tidur, Hazel. Abang ada. Nothing is going to happen to you," kata Hilman lagi.
Aku cuma diam. Dah lama aku tak mimpi ngeri macam ni. Gara-gara Hilman yang memprovokasiku sebelum kami tidur tadi buatkan segala-galanya kembali segar. Tapi kali ini aku lega walaupun aku bermimpi seperti itu. Sebab aku tahu aku dah tak sendirian. Aku ada Hilman. Aku percaya dengan janjinya.
Mataku mula memberat. Dan aku terus lena tanpa rasa gundah. Kali pertama aku dapat tidur dengan nyenyak selepas bermimpi ngeri. semuanya sebab aku tahu, Hilman selalu ada denganku.
DARI jauh lagi aku dah dapat menghidu bau sedap masakan umi. Ketung-kentang ketung-kentang bunyi Sudip berperang kuali. Kalau hidung tak salah bau, umi sedang menggoreng kuetiau untuk sarapan kami.
"Hmmm... Sedapnya bau. Masak apa, umi?" tegurku sebaik kaki jejak dapur.
Umi senyum dulu sebelum tangan lincah mengacau.
"Kuetiau goreng." Kan aku dah cakap.
"Kenapa umi tak panggil kakak untuk tolong?" soalku.
"Tak apalah, kakak. Umi tak nak ganggu. Maklumlah... Pengantin baru. Mesti penat. Umi faham." Sempat nampak umi senyum nakal.
Aku rasa muka jadi merah. Walaupun tiada apa-apa yang berlaku semalam, aku tak tahu apa yang dimaksudkan umi itu.
"Nak kakak tolong apa-apa ke?" Aku cepat-cepat tanya. Sebelum umi mula berangan tentang rupa bakal cucu-cucu dia yang tak wujud itu.
"Tolong buat air untuk minum."
Aku akur. Mula melakukan tugas yang diberikan. Capai teko dan sudu. Letak berapa sudu gula dan air panas sebelum berdiri di depan balang pelagai jenis itu. Umi tak cakap pula suruh buat air apa. Teh atau kopi, ya? Biasanya pagi-pagi selalu minum teh, jarang kopi. Ahli keluargaku tiada masalah kalau teh atau kopi. Tapi Hilman suka kopi. Lantas balang yang berisi serbuk kopi ditarik.