BAB 26

500 13 0
                                    

AKU jalan beriringan dengan Hilman. Tangan memegang satu bakul yang mengandungi beberapa jenis buah-buahan. Buah tangan yang selalu dibawa untuk melawat orang sakit. Bau hospital mula menusuk hidung, buatkan aku agak pening. Namun, kaki dikuatkan juga. Masih meneruskan niat untuk pergi melawat walaupun hati sebenarnya di antara dua.

Panggilan umi membawa khabar duka yang  melanda Iwan, bekas tunangku. Dia terlantar di hospital gara-gara kemalangan jalan raya, perasaanku setelah mendengar khabar itu? Simpati. Dan bila umi jelaskan sedikit sebanyak tentang apa yang telah berlaku, aku mendapati Iwan dimasukkan ke hospital yang berdekatan dengan tempat ku ketika itu.

Lalu aku mengajak Hilman untuk melawat Iwan. Aku pun tak tahu kenapa aku ajak dia. Mungkin kerana dia mengenali keluarga Mak Su Halijah. Orang kampung mummynya. Mungkin juga kerana aku memang mahu Hilman ada denganku, menemaniku untuk menghadap mereka semua. Hilman pula cuma setuju selepas dalam-dalam memandang wajahku. Mungkin sedang mencari emosiku yang mungkin terpancar pada wajahku setelah menerima berita duka itu.

Aku memberi salam sebaik sahaja tiba di muka pintu bilik pesakit Iwan. Perlahan saja bunyi salam dijawab sedangkan di dalam bilik itu ada beberapa orang. Mungkin semua tak menyangka dengan kehadiranku. Mungkin juga kurang senang.

Aku tak mempedulikan semua itu. Kedatanganku bukannya untuk bergaduh atau bermasam muka. Niatku ikhlas mahu melawat Iwan yang sakit. Aku cuma melakukan tugas selayaknya sebagai seorang ahli keluarga setelah mendengar bencana yang menimpa ahli keluarganya yang lain.

Tangan Mak Su Halijah dan Pak Su Idris didalam dengan penuh hormat. Hilman juga turut bersalam dengan Pak Su Idris dan Abang Syakir, abang Safura. Aku pandang  pula ke katil pesakit. Nampak kaki kanan Iwan berbalut. Dahinya pula bertampal. Si isteri pula setia berada di sisi suaminya.

Aku senyum kepada mereka sekadar cukup syarat. Tapi dibalas pula dengan jelingan maut oleh safura. Terkesima juga aku melihat pandangannya yang penuh kebencian itu. Apa pula salahku kali ini? Eh, kejap! Sebelum ni memang salah aku ke?

Aku berlagak tenang. Kau datang sini bukan nak cari gaduh, Hazel. Ingat tu. Aku berkata kepada dri sendiri.

"Maaf sebab baru datang. Umi baru beritahu. Ni... Hazel ada bawakan buah-buahan," kataku sekadar mahu memulakan perbualan. Perhatian diberikan sepenuhnya kepada mak su dan pak su. Bakul buah di tangan dihulurkan kepada Mak Su Halijah.

"Tak apa, Hazel. Terima kasih. Dah datang ni pun dah dikira cukup bagus. Lagipun Iwan bukannya cedera teruk. Cuma retak tulang kaki aje," jawab mak su. Bekas buah disambut lalu diletakkan  di atas meja kecil di sisi katil Iwan.

"Macam mana boleh accient, mak su?" tanyaku sekadar berbasa-basi.

"Dua hari lepas. Iwan keluar pergi beli barang. Entah macam mana, ada motor langgar lari."

Dua hari lepas? Bukankah kami berjumpa dua hari lepas? Maksudnya dia kemalangan setelah bertemu denganku. Terus kepala dipusingkan ke tengah katil pesakit. Bagaikan sedang menungguku, pandangan kami bersabung. Riak wajah Iwan serba salah. Seakan-akan merayu supaya aku tak menceritakan pekara sebenar.

Hai... Nasib baik kau sakit, Iwan!

"Oh, ya ke? Saya turut bersimpati. Lain kali, hati-hati, Iwan."

Lain kali juga, keluar ruah jangan nak menipu isteri! Beli baranglah sangat!

"Yalah tu. Berlagak baiklah sangat. Entah-entah kau memang suka tengok  Iwan jadi macam ni, kan?" Safura bersuara. Sekali lagi pandangan marah dihalakan ke arahku.

Aku diam.

Safura cuma tertekan, Hazel. Itu adalah emosinya yang bercakap. Jangan ambil hati. Aku ingatkan diri sendiri. Cuba mengumpul sabar.

DR. ALPHA MALEWhere stories live. Discover now