CHOCOLATE ICE BLENDED yang macam belum disentuh itu dikacau menggunakan straw. Seperti yang dijanjikan dengan Sabiha. Kami keluar untuk menghabiskan masa bersama-sama. Kali ini, Hariz pun ikut sekali. Alamanda di Putrajaya menjadi pilihan.
Termenung jauh dan mengeluh. Dua sahabat baik baruku sejak dua hari ini. Selepas perdebatanku dengan Hilman dua hari lepas, aku tak dapat tidur. Rasa bersalah dan tak senang duduk selagi belum berbaki dengannya.
Lagi buatkan aku rasa bersalah bila Hilman tidur di dalam bilik lain. Bila bersua, aku bagaikan halimunan. Sepatah pun dia tak bercakap denganku. Ketika aku minta izin untuk keluar daripadanya tadi pun dia tak berkata apa. Angguk pun tak. Dia memang betul-betul marah denganku. Atau merajuk.
Tapi... Aku rindu dia!
"Kau ni kenapa, Hazel? Dari tadi aku tengok kau monyok aje? Aku tahulah kau nanti sedih nak berpisah dengan aku. Tapi... Enjoylah hari ni," tegur Sabiha. Ketika itu kami sedang makan di medan selera.
Aku mengeluh lagi. Serius moodku ke laut hari ni. Tapi aku juga perlukan hiburan untuk lari dari masalahku walaupun cuma sekejap.
"Ni mesti kau gaduh dengan Abang Man, kan?" tebak Sabiha lagi bila soalannya dibiarkan sepi.
Aku angguk.
"Apa aku nak buat ni, Biha? Tak pernah-pernah Hilman marah aku macam ni," aduku.
"Marah ke merajuk?"
Aku jongket bahu. Dua-dua agaknya!
"Apa yang kau dah buat?"
"Malas la aku nak cerita. Yang penting, memang salah aku. Aku dah lukakan hati dia. Apa aku nak buat?"
"Minta maaf. Then, pujuklah dia."
Pujuk orang ni la yang buat aku nak high five dahi dengan meja! Aku paling gagal dalam bab-bab memujuk orang ni. Orang tua merajuk pula tu! Pujuk pakai espresso pun tak jalan. Apa lagi yang aku nak buat?
"Aku tak reti, Biha! Orang macam Hilman pula tu. Kena pula masa tu dia tengah angin monsun barat Daya, tak ke aniaya aku?" Mengingatkan bad mood Hilman pun boleh bikin bulu roma menegak.
"Habis tu?" Sabiha seolah-olah berfikir sekejap.
"Haaa... Aku tahu! Yang ni gerenti menjadi." Sabiha senyum misteri. Musykil aku dibuatnya. Risau nak dengar apa yang bakal dikatanya itu. Aku tahu aku takkan suka.
"Goda dia. Kau pakai seksi-seksi, lepas tu kau goda la dia. Gerenti dia maafkan kau. Takkanlah dia nak menolak?" Sabiha gelak miang. Kan aku dah cakap! Berbahang wajahku mendengarnya.
"Gila kau! Memang tak la! Dahlah aku dengan dia tak pernah bersama." Aku terlepas cakap. Tak boleh bayang aku. Pakai seksi-seksi, lepas tu goda Hilman. Memang taklah!
"Kau dengan dia tak pernah?" Sabiha terkejut. Aku angguk. Nasib baiklah sekeliling bingit mengalahkan pasar. Tak adalah mencuri perhatian orang lain.
"Macam mana kau boleh tahan ni?" Terus aku ketuk tangan Sabiha. Terus sengih minah tu.
"Macam mana dia boleh tahan dengan kau? Kau perempuan, dia lelaki. Kau cantik. Isteri dia yang halal pula tu. Kalau lelaki lain, aku rasa dah lama terkam kau," kata Sabiha lagi.
"Mungkin dia rasa aku tak cantik, menarik?" bahasku. Sedih juga kalau Hilman tak tertarik denganku. Sepanjang kami berkahwin, mana pernah Hilman bangkitkan tentang perkara ni? Minta aku jalankan tanggungjawab sebagai isteri yang sebenar-benarnya? Entah-entah memang betul Hilman tak tertarik denganku.
"Nonsense. Dia gay kalau sekali pun dia tak terpikat dengan kau. Mesti ada masanya especially bila dia off guard."
Diam dan berfikir. Sabiha betul. Malam aku diserang dua lelaki dulu, Hilman cakap aku cuba goda dia. Dia tika itu jelas cuba mengawal diri. Teringat pula memori di Cherating dulu, ketika dia melihatku dalam baju kemejanya. Pandangan Hilman juga sama. Tapi... Iman Hilman kuat! Aku tabik dengannya.
![](https://img.wattpad.com/cover/356114347-288-k661161.jpg)