BAB 36

845 72 3
                                    

JUBAH hitam yang tersarung di tubuh dipandang lama. Sesekali, selendang hitam di kepala dikemaskan sedikit. Muka pula hanya dibiarkan kosong. Malas nak melaram lebih-lebih. Bila mana aku rasa sudah sempurna, tangan terus jatuh mencapai minyak wangi kegemaranku. Disembur seadanya di tubuh sebelum aku lorek senyum.

"Macam perempuan melayu terakhir siot!" bisikku penuh teruja. Terselit rasa puas hati bila melihat penampilanku hari ini.

Jam di pergelangan tanganku dipandang sekilas. Jarum jam sudah menginjak ke angka lima petang. Lekas-lekas, aku mencapai begku. Kaki terus dibawa keluar dari bilik tidur.

"Nak pergi mana?" Baru sahaja aku nak cabut keluar, ada satu suara garang menegur. Aku mengeluh dulu. Pusing belakang sebelum aku tunduk kebawah.

"Keluar mak," balasku perlahan.

Mak berdecit.

"Keluar? Dengan jantan mana pula kalini? Aku tengok kau ni Senja, makin lama makin liar pula perangainya. Apa? Teringin nak jadi macam aku pulak ke?" sindir mak sedas.

"Mak jangan risau, Senja pandai lagi nak jaga diri Senja. Dan lagi satu mak kena ingat, Senja tak akan sesekali jadi macam mak. Tak akan," tegasku penuh berani.

Aku nampak mak hanya kaku. Diam tanpa membalas apa-apa. Mungkin dia pun dah habis modal nak sembur aku. Kasut yang berada di anak tangga lekas-lekas disarung.

"Senja pergi dulu," pamitku tanpa sekilas pun memandang mak dibelakang. Kemudian, pintu rumah terus dikatup rapat. Aku turun dari anak tangga. Mata menyapu kawasan sekeliling. Menunggu kedatangan si dia namun, bayang keretanya langsung tidak kelihatan.

Lima minit menunggu, barulah pacuan empat roda milik Amirul mula kelihatan. Amirul hon sekali memberi isyarat supaya aku masuk ke dalam perut keretanya. Tanpa melengahkan masa, aku terus berlari ke dalam.

"Asal kau datang lambat?" soalku garang.

Amirul hanya diam sambil anak mata tak lepas dari merenungku. Automatik, keningku terjungkit sebelah. Sebelah tangan sudah siap naik di udara gaya mahu memukulnya.

"Boleh pandang tempat lain kut..." gumamku perlahan. Entah kenapa, pipi mula berona merah. Aku tahu mungkin dia tengah judge aku dalam hati. Atau mungkin sedikit terkejut dengan penampilanku tika ini.

Amirul senyum segaris.

"Cantik. Nampak ayu."

Sebaris pujian yang keluar dari mulut Amirul tadi buatkan aku rasa nak meloncat keluar guna tingkap. Jantung tak usah dikata, serasa nak meletup keluar. Memang sejak azali, pujian dari Amirul pasti buatkan hati aku tak keruan. Ah, entahlah!

"Kita nak melawat rumah anak-anak yatim kau tu kan?" Cepat sahaja aku menukar topik perbualan. Niatnya hanya mahu mengurangkan debar di dada.

Amirul angguk sekali. "Haah, lagipun I dah maklumkan pada dia orang yang kita nak datang," beritahunya.

Dan setelah itu, kami berdua hanya diam. Memulakan perjalanan dengan hati yang tenang, tanpa seorang pun perlu buka mulut.







PERJALANAN ke rumah anak-anak yatim yang dimaksudkan Amirul mengambil masa dalam dua jam setengah. Kami sempat berhenti makan dan solat di RnR berdekatan. Setelah selesai, kami menyambung perjalanan dan jam tujuh petang barulah kami sampai ke destinasi yang dituju.

Kereta milik Amirul diparkir betul-betul dihadapan sebuah kawasan kampung. Rumah anak yatim itu tak ubah seperti sebuah madrasah. Tidak terlalu mewah, tetapi nampak sangat selesa. Kawasan yang dikelilingi pokok-pokok hijau yang merimbun. Sangat tenang.

SENJA [OG]Where stories live. Discover now