LUTH QAYYID menarik nafas dalam sambil duduk di atas bangku. Peluh yang membasahi dahi itu mula dikesat menggunakan kekura tangan. Berkali-kali dia cuba mengatur nafas supaya dapat bernafas dengan normal. Air mineral di dalam botol terus diteguk tanpa sisa.
"Penat dah?" soal Ammar sambil memegang bola baling bersaiz tiga. Matanya kali ini menatap wajah temannya seorang itu. Tercungap-cungap Luth selepas bermain dengannya. Iyalah, bila semakin berusia. Stamina pun makin lama, makin berkurang.
Tetapi cara untuk mengekalkan stamina itu, hanya dengan bersukan.
"Take five."
Ammar mengangguk. Lantas, dia melabuhkan duduk di atas bangku bersebelahan dengan Luth. Bola baling tadi diletakkan di bawah bangku.
"Mar, aku nak tanya kau..." tanyanya. Anak mata mula memandang ke wajah itu.
"Apa?"
"Siapa perempuan yang ada kat rumah Tan Sri Sufyan?" soal Luth sekali lagi. Ingin tahu.
"Siapa?" Ammar mula kerutkan dahi.
"Perempuan berbaju kurung warna biru muda. Tak pakai tudung. Seingat aku, dia pakai baju kurung corak bunga kecil," jelasnya. Dengan terperinci. Dia masih ingat bagaimana penampilan gadis itu saat mereka bertemu pada malam itu.
"Oh... Syifa?"
"Syifa ke nama dia?"
Ammar mengangguk mengiyakan.
"Ya, nama dia Syifa."
"Oh..." Luth menganggukkan kepalanya. Kedua-dua tangannya mula disatukan hingga melekap. Ketika mengetahui nama itu, perlahan-lahan bibir merahnya menarik senyuman nipis.
SYIFA mengeluh panjang. Lama dia merenung rupa masakannya yang tak berapa jadi. Berkali-kali dia menghela nafas berat. Beberapa hari yang lepas, dia mengikuti kelas memasak untuk meluangkan sedikit masa. Daripada bosan duduk di rumah, lebih baik dia luangkan masa dengan perkara yang lebih berfaedah.
Lagipun dia suka memasak.
"Termenung apa tu?" tegur Puan Sri Kinan dari kejauhan saat melihat Syifa asyik menatap hidangan makanan di atas meja.
"Ni, masakan tak berapa nak jadi."
"Tak jadi? Elok aje ibu tengok tu." Puan Sri Kinan tatap rupa makanan itu. Semuanya nampak okey saja, tak ada pun nampak hangus. Lagipula Syifa pandai memasak. Mustahillah tak jadi.
"Rasa dia kurang."
"Lah, at least ada rupa dan ada rasa tu kira okey dah. Kamu tu pandai memasak. Mustahil sangat kalau ada benda yang tak jadi."
Sesaat, Syifa hanya tersenyum. Dia suka memasak. Sangat suka. Banyak benda yang dia nak belajar sebab itu bila ada masa terluang, dia akan memasak di dalam dapur.
"Syifa, ni ibu nak cakap sikit." Langkah wanita itu semakin mendekat. Syifa cuma diam sambil memerhati pergerakan ibunya.
"Kamu tak nak berkawan dengan sesiapa ke?" tanya Puan Sri Kinan tanpa basa-basi. Dalam sungguh pandangan si ibu ke wajah satu-satunya anak perempuan yang dia ada.
"Entahlah. Syifa tak rasa nak kenal sesiapa."
"Kenapa?"
Syifa senyum kemudian menundukkan kepala itu. Sebelah tangannya mula menguis hujung meja.
"Syifa dah okey hidup macam ni. Lagipun kalau Syifa kahwin lagi, belum tentu Syifa boleh bahagia."
"Kamu tak nak cuba?"
"Nantilah. Syifa nak fokus benda lain dulu." Acuh tak acuh dia menjawab. Tentang hubungan ini, biarlah masa menyembuhkan luka di dalam hati. Dia tidak mahu menambahkan luka yang sudah lama menjadi bekas.
"Dengar sini, Syifa... ibu cakap macam ni bukan sebab ibu pentingkan diri. Tapi ibu tak nak Syifa terlalu larut dengan luka tu. Percayalah cakap ibu, masih ada lelaki yang baik di dalam dunia ni. Jodoh kamu tu masih ada di luar sana." Tekan si ibu.
Syifa yang mendengar terus melakar sengihan.
"Kalaulah jodoh Syifa tu seorang duda, Syifa okey. Tapi kalau jodoh Syifa tu seorang teruna? Syifa tak rasa Syifa boleh terima." Dia menggelengkan kepala itu.
"Lagipun Syifa tak layak untuk lelaki macam tu. Ibu pun tahu, kan? Syifa ni janda, mana ada orang nak janda. Dulu pun Syifa dah banyak kali gugur sampaikan doktor kata rahim Syifa tak kuat lagi. Jadi, kalau Syifa tetap kahwin dengan dia. Syifa tak mampu nak bagi dia zuriat," balasnya dengan nada perlahan. Dia tahu apa yang kurang dalam diri itu.
Kerana itu juga dia merasakan lebih baik tidak berkahwin lagi. Cukuplah dia sudah pernah mengalaminya dulu. Tidak mahu mengulang perkara yang sama.
Pada masa yang sama, Puan Sri Kinan menahan air mata daripada gugur. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana anak perempuannya mampu bertahan dengan orang-orang yang kejam. Sampaikan hati gadis kecil itu terluka.
"Syifa okey je kalau memang ditakdirkan untuk hidup sendiri. Lagipula dalam dunia ni tak ada lagi berita perempuan yang tak kahwin meninggal dunia, kan?" katanya berselang dengan tawa kecil itu.
"Yalah, tapi siapa nak temankan kamu bila ibu dan ayah dah tak ada? Abang-abang kamu pun dah ada keluarga masing-masing."
Sekali lagi Syifa diam. Memang betul, pada akhirnya nanti dia akan berseorangan jika tidak memiliki pasangan. Hidupnya akan terasa sunyi. Lebih-lebih bila banyak meluangkan masa seorang diri.
"Ibu jangan risaulah... Syifa okey je."
"Sebab ibu risaulah, ibu tanya benda-benda macam ni. Kamu perempuan, Syifa. Setegar mana pun diri ni, kita tetap memerlukan lelaki."
"Tapi bu, memang betul kita perlukan lelaki. Dalam perkahwinan pun ada cakap yang wanita dan lelaki akan hidup saling melengkapi. Tapi tak semua orang akan buat macam tu..."
"Betul tak semua. Bergantung pada nasib orang dan lelaki yang kamu pilih sebagai pemimpin. Pemimpin yang baik boleh membina keluarga yang bahagia, tetapi pemimpin yang hanya ingin memuaskan nafsu semata-mata, takkan boleh bina keluarga yang bahagia. Jadi bukan salah kamu..." Puan Sri Kinan menegaskan tentang itu.
Ibu mana yang tidak kasihan dengan nasib anaknya sendiri? Maruah anak perempuannya dipijak seperti tak ada guna. Sebagai seorang ibu yang mengandung selama sembilan bulan dan melahirkan dengan titisan air mata darah, jiwanya paling sakit.
Mendengarkan itu, Syifa tersenyum. Entahlah, jika mengharapkan air mata itu jatuh. Dia sudah tidak mampu. Mungkin kerana masa lalu, dia sudah menghabiskan air mata terlalu banyak.
"Syifa tak risau tentang hidup Syifa. Sebab Syifa percaya, hidup Syifa akan okey dengan doa ibu," ucapnya perlahan.
Kerana tahu doa ibu tidak ada galang-gantinya, Syifa percaya apa yang baik semuanya datang daripada doa seorang ibu. Bila Puan Sri Kinan melafazkan doa yang baik, Insya Allah hidupnya juga akan baik-baik saja.
BERSAMBUNG
YOU ARE READING
𝐑𝐚𝐭𝐮 𝐊𝐢𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐓𝐮𝐡𝐚𝐧
Romance𝐋𝐮𝐭𝐡 𝐐𝐚𝐲𝐲𝐢𝐝 | 𝐍𝐮𝐫 𝐒𝐲𝐢𝐟𝐚 𝐈𝐤𝐡𝐚𝐰𝐚𝐧𝐚 Mereka kata perkahwinan itu membahagiakan. Perkahwinan itu menyeronokkan. Tetapi kenapa apa yang dirasakan selama ini hanyalah sebaliknya? Dicurangi, dihina bahkan maruah diri itu seakan-aka...